Zaman informasi ini kemudahan-kemudahan untuk mencapai media dan maklumat menjadi sangat mudah, berikutan kewujudan teknologi yang membolehkan kita mencari apa saja maklumat yang kita perlukan.

Nama-nama besar yang sinonim dengan informasi dan maklumat kini menyediakan perkhidmatan dalam bentuk digital, sama ada melalui laman web atau aplikasi telefon pintar yang sangat mesra pengguna. Dengan setiap interaksi kita kini lebih banyak dilakukan melalui capaian internet, tidak menghairankan data tentang pola penggunaan dan jumlah pengguna menjadi sesuatu informasi yang sangat berharga untuk kita ketahui.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima laman web terkenal yang menyimpan angka-angka mengkagumkan dari segi penggunaannya, menjadikan lima laman web ini sebagai antara nama paling penting dalam dunia informasi kini.

1. Wikipedia

wikipedia statistik penggunaan

Wikipedia adalah sebuah laman web yang sangat besar sehinggakan kos operasinya tahun ke tahun semakin meningkat. Setiap masa, dua halaman di Wikipedia sedang diubah atau diperbetulkan oleh editor-editor di seluruh dunia.

Setiap hari Wikipedia akan menerima hampir 514 artikel baru yang dikongsikan dengan jumlah keseluruhan artikel (setakat ini) adalah 5,698,486 artikel kesemuanya dengan 45,574,505 halaman.

Jumlah pengguna rasmi Wikipedia yang menyumbang artikel dalam Wikipedia Bahasa Inggeris adalah 35,254,091 orang individu dipantau oleh 1,210 orang admin dilantik secara rasmi. Setiap masa di seluruh dunia, 120 ribu orang pengguna aktif Wikipedia melayari laman web tersebut.

Ingin tahu statistik ketepatan maklumat di dalam Wikipedia? Dikritik kerana mempunyai sifat terbuka untuk diubah mana-mana pihak, ketepatan maklumat dalam Wikipedia dianggarkan berada pada tahap 80% berbanding sumber-sumber lain yang diterbitkan oleh pihak yang disahkan berkemahiran dalam bidang masing-masing.

2. Youtube

statistik pengguna youtube

Youtube menjadi rujukan utama pengguna internet yang dahagakan media berbentuk video, dengan video-video masyarakat kita pun kerap dikongsikan dalam Youtube dahulu sebelum disebarkan. Dianggarkan setiap bulan, Youtube mempunyai 1.57 billion orang menggunakannya! Statistik pengguna harian pula mampu mencecah 30 juta dalam satu-satu masa.

Setakat ini, dianggarkan lebih 5 billion video telah dikongsikan dengan 50 juta pengguna Youtube menjadikan Youtube sebagai punca pendapatan mereka. Apa yang mengagumkan (atau boleh juga dikatakan menakutkan) purata durasi masa diluangkan menonton video di Youtube adalah 40 minit dan angka ini meningkat tahun demi tahun.

Dalam tinjauan yang dijalankan, kajian mendapati golongan anak muda lebih menggemari Youtube berbanding saluran televisyen dengan 37% daripada pengguna berumur 18 hingga 34 tahun menonton Youtube tanpa henti. Kaum lelaki lebih banyak meluangkan masa menonton bola sepak atau permainan video, sementara wanita menghabiskan masa menonton video petua kecantikan di saluran Youtube. (rujukan)

3. Twitter

jack dorsey pengasas twitter statistik

Ketika dimulakan pada bulan Mac 2006, Twitter hanya mempunyai satu jumlah status yang kita gelarkan 'twit' sekarang ini. Sekarang, Twitter mampu mencapai 6,000 twit dalam satu saat. Semua Twit ini disampaikan oleh 335 juta akaun aktif walaupun jumlah keseluruhan akaun Twitter yang dibuat mencecah 1.3 billion.

Setiap hari, dianggarkan 500 juta twit dikongsikan dengan jumlah pengguna aktif harian purata 100 juta sehari. Majoriti pengguna Twitter datang daripada golongan muda dengan 37% berumur 18 ke 29 tahun dan 25% berumur 30 ke 49 tahun.

Empat negara yang mempunyai pengguna Twitter paling ramai dalam dunia adalah Amerika Syarikat seramai 67 juta orang, Brazil 27.7 juta orang, Jepun seramai 25.9 orang dan Mexico 23.5 juta orang. Akaun Twitter penyanyi Katy Perry mempunyai pengikut paling ramai iaitu 107 juta orang dan Justin Bieber menduduki tempat kedua. (rujukan)

4. IMDB

pengasas imdb mula dari rumah

IMDB adalah laman de facto standard rujukan peminat-peminat filem (selain daripada Wikipedia). Walaupun demikian tak dinafikan penulis semakin jarang melawat IMDB selepas mereka mematikan fungsi papan mesej yang menjadi sarang perbincangan peminat-peminat filem di seluruh dunia. Namun statistik IMDB tetap hebat dengan jumlah 250 juta orang pelawat setiap bulan.

Perlu diberitahu walaupun IMDB menjadi pusat rujukan rasmi peminat filem, hanya 10 peratus daripada keseluruhan halamannya adalah untuk filem dengan selebihnya digunakan untuk merekodkan hal berkaitan dengan siri televisyen.

IMDB juga menjadi penyimpan rekod tidak rasmi kepada 20 juta pelakon lelaki, 12.5 juta pelakon wanita, 3.1 juta pengarah filem, 610 ribu syarikat media dan menempatkan 3.5 juta ulasan tentang filem dan siri televisyen yang ditulis orang ramai. Genre filem/siri televisyen paling besar di IMDB adalah drama dengan 1.2 juta tajuk, komedi dengan 1 juta tajuk dan filem pendek dengan 700 ribu tajuk. (rujukan)

5. Facebook

zuckerberg statistik laman popular facebook

Facebook - gergasi media sosial dan laman web/aplikasi paling kerap diakses masyarakat dunia memang mempunyai statistik pencapaian yang menakutkan. Dengan 5 profil akaun Facebook baru dijana setiap saat, tidak menghairankan Facebook mampu mencapai angka pengguna sehingga 2.23 billion keseluruhan dengan purata 1.15 billion pengguna aktif bulanan. Menakutkan bukan?

Dianggarkan 22% jumlah keseluruhan populasi dunia pernah atau masih menggunakan Facebook, menjadikan Facebook platform media sosial nombor 1 jauh meninggalkan pencabarnya Instagram.

Dari segi statistik jumlah rakan Facebook, secara purata setiap orang mempunyai 155 orang kawan dalam Facebook namun hanya mempercayai sepenuhnya 4 orang daripada 155 itu. Setiap hari, sebanyak 35 juta status baru dimuatnaik menyebabkan purata pengguna Facebook membukanya sebanyak 8 kali sehari. Tiga negara yang mempunyai jumlah pengguna Facebook paling ramai (mengikut turutan) adalah Amerika Syarikat, India dan Brazil.

Statistik paling penting - pada mulanya dianggarkan Facebook mengandungi 83 juta akaun profil palsu yang digunakan untuk bermacam tujuan tertentu, tetapi selepas kontroversi melibatkan Facebook dan propaganda Russia, siasatan Kongres Amerika Syarikat mendapati jumlah sebenar akaun palsu atau tiada pengesahan yang wujud dalam Facebook adalah sekitar 270 juta.

Ini bermakna jumlah troll internet yang bertebaran sebenarnya melebihi jangkaan sebenar jadi nasihat kami, kalau anda kena troll - abaikan saja.




Hakcipta iluminasi.com (2017)