Kredit foto: Instagram Nora Danish & Instagram Datuk Siti Nurhaliza

Aktres Nora Danish juga antara yang gembira menyambut khabar kehamilan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Bukan sahaja menjadi salah seorang peminat yang menantikan berita itu, malah dia teruja kerana mereka berkongsi usia kandungan yang sama iaitu empat bulan.

"Sejak dapat tahu berita kehamilan Datuk Siti, saya antara orang yang paling teruja, apatah lagi kami berkongsi usia kehamilan yang sama.

"Saya sedar, bukan saya saja yang menunggu berita gembira itu selama ini. Pastinya, ramai yang berharap rumah tangga beliau akan dikurniakan cahaya mata," katanya memetik laporan portal BH Online.

Nora membuat kenyataan tersebut sewaktu menghadiri majlis pertunangan rakan artis yang merupakan adik kepada Erma Fatima, Betty Rahmad.

Terdahulu, Siti pada Jumaat lalu mendedahkan dirinya sudah hamil selepas 11 tahun usia perkahwinan dengan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Dalam pada itu, Nora berkata, dia tidak mengidam makanan yang bukan-bukan dalam pengalamannya mengandung buat kali kedua ini.

siti nurhaliza hamil ini kenyataan nora danish 2

Kredit foto: Instagram Nora Danish

"Setakat ini, semuanya masih terkawal dan boleh dikatakan segala jenis makanan saya 'belasah'.

"Keadaan agak berbeza ketika saya mengandungkan anak sulung (Putra Rayqal, 8) dulu. Waktu itu, ada makanan yang saya tak boleh makan, contohnya yang berasaskan ayam," dedahnya.

Menyentuh perkembangan kerjaya, aktres berusia 35 tahun itu terpaksa mengurangkan aktiviti seni demi memberi tumpuan kepada kandungan yang semakin membesar.

Sementara itu, dia masih menantikan tayangan dua filemnya, Makrifat Cinta (gandingan bersama Syamsul Yusof) dan Bukan Cinta Malaikat yang terlebih dahulu ditayangkan di Indonesia.

"Filem Bukan Cinta Malaikat sudahpun ditayangkan di Indonesia, Julai lalu, namun ia hanya akan menemui penonton di Malaysia pada tahun depan," katanya yang turut berlakon dalam filem Surga Yang Tak Dirindukan 2.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)