akhirnya siti nurhaliza mengaku hamil 1

Kredit foto: Instagram Datuk Siti Nurhaliza

Akhirnya teka-teki tentang kehamilan Datuk Siti Nurhaliza terungkai apabila penyanyi itu mengumumkan dia kini hamil empat bulan.

Berita baik tersebut diluahkan dalam sebuah sidang media yang berlangsung di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Ampang Selangor malam tadi.

Pendedahan itu sekaligus menjawab isu kehilangan penyanyi itu daripada industri hiburan tanah air.

“Selama ‘menyepi’ seketika banyak berita dan spekulasi mengenai diri saya yang diperkatakan dan dikongsi atau tular di media sosial.

“Namun saya memilih untuk berdiam diri sahaja kerana ada fokus tersendiri selama waktu saya berehat ini.

“Setelah melalui fasa dan tempoh tertentu, saya dan suami mencapai kata sepakat untuk mengumumkan kepada anda semua bahawa saya sedang hamil empat bulan,” dedahnya.

Sementara itu, Siti mengakui ada membuat rawatan feterliti beberapa kali untuk memperoleh zuriat.

Dia bersyukur kerana usahanya itu membuahkan hasil.

akhirnya siti nurhaliza mengaku hamil 2

Kredit foto: Instagram Datuk Siti Nurhaliza

“Sebelum ini ada bertanya sama ada saya tidak berusaha mendapatkan cahaya mata dan sebenarnya sudah beberapa kali saya cuba lakukan rawatan feterliti.

“Alhamdulillah selepas 11 tahun berkahwin, akhirnya Allah memberikan kami rezeki dan tiada kata dapat menggambarkan perasaan saya.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan saya dan suami dikurniakan cahaya mata. Saya hargai setiap doa anda,” luahnya.

Dalam majlis sidang media itu, Siti ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa serta ahli keluarga.

Pada Julai lalu, timbul spekulasi penyanyi itu hamil apabila satu sampel darah yang dilabelkan atas nama 'Siti Nurhaliza Taruddin' diserahkan sebuah hospital ke makmal patalogi dan klinikal di Petaling Jaya.

Menerusi ujian terhadap sampel tersebut mendapati pemiliknya hamil dalam lingkungan empat ke lima minggu.

Siti pernah mengandung sebelum ini, namun mengalami keguguran dan berita sedih itu dikongsi bersama peminat pada 1 Disember 2015.

Pasangan Siti dan Datuk Khalid mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006.

Sumber berita: Mstar

tags : , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)