hetty koes endang datang rumah siti nurhaliza bawa pemberian 1

Kredit foto: Instagram Hetty Koes Endang & Instagram Rozi Abdul Razak

Kesibukan tidak menghalang penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang untuk mengunjungi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang kini hamil lima bulan.

Pertemuan itu diisi dengan perkongsian pengalaman dan nasihat berguna buat Siti yang bakal bergelar ibu, di samping pemberian buah limau yang menjadi idaman penyanyi itu.

"Puas saya berfikir, apakah buah tangan sesuai untuk diberikan pada Siti yang mungkin sudah melewati masa mengidamnya. Tiba-tiba, timbul idea untuk memberikannya limau manis. Mungkin hadiahnya tidak mahal, tetapi itulah tanda kasih sayang saya padanya.

"Apabila kami berbual di telefon, tiba-tiba Siti memberitahu dia teringin hendak makan buah limau, tetapi yang manis. Kebetulan bukan? Jadi, saya pun bawalah limau manis ke sini," kata Hetty yang dipetik daripada laporan BH Online.

Difahamkan, penyanyi lagu Berdiri Bulu Romaku ini terus ke kediaman Siti di Bukit Antarbangsa sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari semalam.

hetty koes endang datang rumah siti nurhaliza bawa pemberian 2

Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza

Hetty disertai anak sulungnya, Ameer Mahmed yang juga pengurus beliau.

Malah, niat juri tetap Gegar Vaganza musim keempat ini untuk mengunjungi Siti telahpun tercetus sejak awal dia mendengar perkhabaran wanita itu hamil.

"Apabila mendapat tahu Siti hamil, saya berkata pada diri sendiri, saya mesti melawatnya. Tak kiralah sama ada dia terima atau tidak, saya tetap akan berjumpa dengannya.

"Selain itu, (lawatan) ini juga sebagai memenuhi permintaan suami yang mahu saya melawat Siti. Kata suami, sebagai kawan dan kebetulan saban minggu saya berada di KL atas sebab tugas, saya kena cari masa untuk ziarah Siti," katanya yang pernah berkongsi pentas dengan Siti di Istana Budaya, dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Siti dalam kenyataannya melahirkan rasa terharu dengan kehadiran Hetty yang disifatkannya seorang wanita berhati mulia, juga ibu, kakak, teman seperjuangan dan mentor buat dirinya.

Sumber berita: BH Online 

tags : , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)