Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan anaknya, Siti Aafiyah terdedah sepenuhnya kepada dunia hiburan.

Apa yang diharapkan beliau, anak kecil berjantina perempuan itu akan membesar seperti kanak-kanak biasa yang lain, mengikut aturan yang ditetapkan.

siti nurhaliza ambil pendekatan berbeza besarkan anak 2

Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza

“Saya tidak boleh lari daripada hakikat yang mana Aafiyah dilahirkan sebagai anak penyanyi. Sedikit sebanyak dia pasti terkena tempias dunia selebriti. Namun, saya dan suami inginkan anak membesar seperti kanak-kanak biasa.

“Sekiranya anak ada rezeki mendapat tawaran daripada mana-mana pihak, saya serahkan keputusan kepada suami. Sekarang ini, apa sahaja berkaitan anak memang saya dan suami kena berbincang dahulu. Kalau suami kata tidak perlu, saya ikut.

“Sebagai contoh, majlis tahnik dan aqiqah ini kami tidak mahu jadikan ia acara eksklusif untuk mana-mana pihak. Kami cuma ambil masa tujuh hari selepas kelahiran mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada portal Harian Metro.

Buat masa ini, Siti, 39, mengambil pendekatan untuk berkongsi foto dan perkembangan Siti Aafiyah hanya melalui akaun Instagram peribadinya.

Dalam masa sama, penyanyi Segala Perasaan ini belum merancang untuk membuka akaun Instagram khas buat beliau, sebagaimana anak selebriti lain.

siti nurhaliza ambil pendekatan berbeza besarkan anak 3

Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza

“Sebelum ini sudah banyak akaun IG palsu menggunakan pelbagai nama bagi mewakili anak saya. Untuk IG rasmi, saya tidak terfikir lagi. Lagi pula, saya ingin dia membesar seperti orang biasa.

“Jadi, dalam perkara ini peminat saya faham. Apa saja perkara yang saya umumkan barulah ia sahih. Kalau ada pun nanti, ia daripada saya sendiri,” katanya.

Siti terlebih dahulu berkongsi foto dan video wajah penuh Siti Aafiyah pada petang semalam, bersempena dengan genapnya tujuh hari kelahiran bayi itu.

Selain sesi pengumuman nama, acara itu didahului majlis tahnik dan aqiqah yang berlangsung di kediaman Siti bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa di Bukit Antarabangsa.

Sebelum ini, Siti meminta netizen memanggil anaknya dengan nama panggilan sementara, Fatimah Az-Zahra sempena nama anakanda Nabi Muhammad.

Siti Aafiyah dilahirkan dengan berat 3.55 kilogram secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di ibu negara, pada jam 8.17 pagi, 19 Mac lalu.




Hakcipta iluminasi.com (2017)