Oleh pada 31 Aug 2023 kategori

Kredit foto: Instagram Jemputan Ke Neraka

        

Baru-baru ini, filem bergenre psiko thriller berjudul 'Jemputan Ke Neraka' yang diarahkan oleh pengarah muda, Amor Rizan, menjadi tular di platform media sosial.

Filem tempatan ini telah menjadi perbualan hangat di kalangan peminat naskhah seram.

Ia yang masih menghantui penonton sejak tayangan awal di pawagam pada 22 Jun 2023 yang lalu, menampilkan barisan pelakon dan selebriti terkenal tempatan seperti Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Wafariena Roslan, Alif Hadi dan ramai lagi.

         

jemputan ke neraka movie

Kredit foto: Instagram Jemputan Ke Neraka

         

Sinopsis

'Jemputan Ke Neraka' mengisahkan Ivy (Janna Nick), seorang kurator di sebuah balai seni yang menerima jemputan untuk menghadiri perkahwinan sahabat lamanya, Lisa (Jasper Supayah) yang dikenalinya semasa di universiti. Ivy kemudian memujuk tunangnya, Norman (Hafreez Adam) untuk menemani dia ke majlis perkahwinan itu. Dalam masa yang sama, Norman merupakan teman sekolah kepada Lisa.

Majlis perkahwinan yang mewah itu diadakan di sebuah banglo terpencil di atas bukit, yang terletak di dalam hutan, sebuah tempat peranginan yang jauh dari kesibukan bandar.

Setibanya di sana, Norman turut bertemu dengan rakan-rakan lamanya iaitu Rania (Syarifah Sakinah), Sofea (Amy Nurtinie) dan Adam (Nick Syaf) yang pernah bersama-samanya di sebuah sekolah menengah elit terkemuka di ibu kota. Kini, mereka masing-masing telah mempunyai kerjaya tersendiri.

Mereka teruja melihat dekorasi konsep perkahwinan taman yang telah disiapkan, namun berasa pelik kerana tiada seorangpun yang hadir di majlis itu walaupun segala persiapan perkahwinan telahpun selesai.

Kerana tiada tanda-tanda pengunjung lain akan tiba, mereka memutuskan untuk mencari Lisa di dalam banglo. Ketika mencari, kekalutan mula melanda apabila mereka menemui mayat Lisa yang tergantung dalam sebuah bilik, lengkap dengan pakaian pengantin yang berlumuran darah. Mereka panik dan cuba untuk menghidupkan kereta, namun enjin kenderaan nampaknya seperti telah dirosakkan oleh seseorang.

Hujan lebat yang disertai hari yang semakin gelap membuatkan mereka terkandas dan terpaksa bermalam di banglo tersebut. Sementara mereka cuba merungkai misteri di sebalik kewujudan gadis bernama Salina (Wafariena Roslan), mereka berhadapan dengan ancaman yang tersembunyi dalam kegelapan di banglo itu, yang cuba meragut nyawa mereka satu persatu. Dari sinilah, episod ngeri berlaku satu demi satu.

Ivy mula curiga bahawa sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, dan dia yakin tunangnya bersama tetamu lain sedang menyembunyikan rahsia daripadanya.

Mereka menemui sekeping gambar yang memperlihatkan seorang gadis yang dulunya adalah rakan sekolah mereka. Gambar itu seolah-olah merupakan petunjuk kepada apa yang sedang berlaku kepada mereka semua. Kejadian misteri yang bermula di kalangan mereka ini membuatkan mereka yang masih hidup bingung, mengapa mereka menjadi sasaran. Adakah mereka dapat melepaskan diri dari 'neraka' yang sedang menanti?

         

Baca: 8 Filem, Drama Seram Melayu 'Berhantu' Terbaru (2023) - Mesti Tonton!

Baca: Info, Sinopsis, Kutipan Filem Rahsia (2023), Reboot Filem Klasik 1987

         

jemputan ke neraka sinopsis

Kredit foto: Instagram Jemputan Ke Neraka

         

Pelakon / Cast

Ia menyajikan nama-nama terkenal tanah air dalam senarai barisan pelakonnya, antaranya termasuklah Janna Nick, Sharifah Sakinah, Hafreez Adam, Hariz Hamdan, Alif Hadi, Wafariena Roslan, Jasper Supayah, Amy Nur Tinie, Nick Syaf dan Aleza Shadan.

        

Watak Pelakon

Janna Nick sebagai Ivy

Sharifah Sakinah sebagai Rania

Hafreez Adam sebagai Norman

Hariz Hamdan sebagai Fiq

Wafariena Roslan sebagai Salina

Alif Hadi sebagai Amar

Jasper Supayah sebagai Lisa

Amy Nur Tinie sebagai Sofea

Nick Syaf sebagai Adam

           

jemputan ke neraka cast

Kredit foto: Instagram Jemputan Ke Neraka

         

Pengarah Dan Syarikat Produksi

Arahan pertama daripada pengarah muda Amor Rizan untuk layar perak ini juga merupakan naskhah sulung yang dihasilkan oleh syarikat produksi, AN Universal Sdn Bhd, di bawah terbitan Anne Ngasri. Penghasilan skrip turut dilaksanakan oleh Amor Rizan.

         

Lagu Tema (OST)

Kredit video: JEMPUTAN KE NERAKA - OST & TEASER

         

Tajuk: Bayang Cinta

Penyanyi: Tika Nasir

Komposer: Shazriq Azeman

Penulis lirik: Shazriq Azeman & Amor Rizan

         

Tajuk: Penipu

Penyanyi: Shazz

Komposer : Shaz & Amos JK

Penulis lirik : Shazriq Azeman

           

jemputan ke neraka wikipedia

Kredit foto: Instagram Jemputan Ke Neraka

         

Tarikh Tayangan

Filem 'Jemputan Ke Neraka' mula ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia pada 22 Jun 2023. Bermula 3 Ogos 2023, ianya memulakan penayangan televisyen perdananya, yang mana pelanggan Astro perlu melanggan Astro First untuk mendapat akses tontonan.

        

Durasi: 106 minit

         

Kredit video: Jemputan Ke Neraka - Official Movie Full Trailer

      




Hakcipta iluminasi.com (2017)