Dalam kekalutan masyarakat di negara India menghadapi serangan Covid-19 yang masih belum berjaya dikawal, beberapa kes aneh mula dilaporkan berlaku di kalangan pesakit Covid yang dijangkiti.
Sejenis penyakit yang jarang berlaku dinamakan sebagai mucormycosis mula ditemui pada pesakit, sehinggakan orang tempatan mula melabelkannya sebagai 'kulat hitam' ekoran simptom yang kelihatan pada pesakit.
BESARKAN TEKS A- A+
Komplikasi yang timbul daripada serangan kulat hitam, menjadi beban tambahan kepada pasukan petugas India yang pada ketika ini sudah berada dalam keadaan yang sangat genting.
Kulat hitam menyerang India
Mucormycosis di kalangan pesakit Covid-19 mula dilaporkan di India sekitar pertengahan tahun 2020 namun bilangan kesnya pada ketika itu tidaklah membimbangkan.
India merupakan negara yang sangat terdedah dengan risiko jangkitan kulat hitam ini, kerana kajian-kajian lalu telah menunjukkan penduduk India mempunyai tahap risiko 70 kali lebih tinggi berbanding purata negara-negara lain.
Majoriti kes kulat hitam yang berlaku di India, berlaku disebabkan oleh jangkitan tahap kedua kepada pesakit. Kadar kematian seorang pesakit dilaporkan akan meningkat sekiranya dia dijangkiti mucormycosis, yang meninggikan peratusannya daripada 31% kepada 51% di India.
Selain India, kes-kes jangkitan serupa turut sama di temui dibeberapa buah negara lain. Antara negara yang turut terkesan adalah Pakistan dan Itali namun disebabkan jumlah pesakit yang rendah, kajian terhadap jangkitan ini kepada pesakit Covid masih belum benar-benar mampan.
Apa yang kita tahu wujud satu persamaan yang ketara di antara kebanyakan pesakit Covid-19 yang dijangkiti mucormycosis; mereka kebiasaannya adalah pesakit kencing manis atau diabetis khasnya pesakit yang telah lama menderita penyakit itu.
Serangan kulat makro daripada tumbuhan atau haiwan reput
Mucormycosis berlaku pada seseorang, disebabkan oleh jangkitan kulat yang dikenali sebagai mucorales; biasanya ditemui pada bahan-bahan organik yang sedang menjalani proses pereputan yang dinamakan sebagai kulat saprohytik, lebih dikenali sebagai kulat, cendawan dan yis dalam bahasa kebanyakan.
Jangkitannya berisiko tinggi khasnya kepada pesakit yang sedang mengalami sakit kritikal, disebabkan oleh daya tahan badan yang lemah menyebabkan tubuh kita tidak lagi mampu melawan patogen-patogen ini yang datang dari alam persekitaran.
Dalam kadar rendah, pesakit mucormycosis mampu dirawat dengan ubat anti kulat namun sekiranya kadar jangkitan sudah jadi terlalu tinggi, pembedahan perlu dilakukan bagi menghentikan jangkitan.
Seorang pesakit akan mula menampakkan simptom kemerah-merahan di bahagian mata dan hidung yang sakit, beserta demam panas, sakit kepala, batuk-batuk, kesukaran bernafas dan muntah berdarah. Pada kadar jangkitan lebih lama, kawasan yang pada awalnya kemerah-merahan akan bertukar menjadi hitam jika tidak dirawat.
Bagi pesakit mucormycosis yang kritikal, mereka boleh kehilangan fungsi rahang yang sempurna mengakibatkan mereka sukar untuk mengunyah. Seandainya jangkitan teruk berlaku pada mata, pesakit boleh kehilangan penglihatan.
Jangkitan yang semakin merebak
Setakat artikel ini ditulis, lebih 7,200 kes telah direkodkan melibatkan pesakit mucormycosis. Lebih malang kadar kematian yang dicatatkan mencapai 50% apabila jangkitan hadir ke tahap itu.
Apa yang membimbangkan, spora kulat yang menjangkiti pesakit mampu tersebar melalui udara dan boleh masuk melalui saluran pernafasan, mulut atau lubang mata. Nasib baiklah spora penyebab mucormycosis tidak merebak melalui sentuhan manusia ke manusia.
Lima buah negeri di India iaitu Tamil Nadu, Odisha, Gujarat, Rajasthan dan Telangana telahpun mengisytiharkan epidemik mucormycosis sedang menular di kalangan pesakit Covid-19.
Ekoran daripada risiko jangkitan yang mudah berlaku, beberapa hospital di India sudah mula mewujudkan wad khas berasingan bagi menempatkan individu yang dijangkiti kulat hitam.
Setakat ini, banyak penyelidik berpendapat masalah jangkitan kulat hitam ini merebak berpunca daripada mesin ventilator alat bantuan pernafasan serta peralatan hospital yang tercemar, gagal disanitasi dengan baik.
Pendapat itu bagaimanapun dibantah beberapa pihak yang berbeza pendapat, mendakwa situasi hospital di India tetap sama sejak tahun lepas di mana kadar sanitasinya sudah sedia teruk disebabkan oleh keperluan untuk menguruskan pandemik yang menggila.
Setakat ini belum dapat disahihkan punca sebenarnya tetapi jelas India sangat-sangat kritikal kedudukannya.
Rujukan
Epidemiology of Mucormycosis in India (PDF)
Rhino-Orbital Mucormycosis Associated With COVID-19
Black fungus in Covid-19 patients: What is mucormycosis, its symptoms and treatment?