Dalam imaginasi kita, kita pasti membayangkan teramat sukar untuk manusia mampu mendekati matahari berikutan bahangnya yang sangat panas - sehingga mampu menghancurkan apa saja jenis bahan yang ada di sekitarnya.
Bagaimanapun, risiko berhadapan dengan kerugian besar itu tetap tidak menghalang pengkaji daripada cuba membangunkan sistem tinjauan yang membolehkan kita semakin lama semakin dekat dengan matahari - dengan selamat.
BESARKAN TEKS A- A+
Salah satu projek tinjauan matahari yang diramalkan bakal membawa manusia lebih dekat dengan matahari, seterusnya membolehkan kita mempelajari bintang gergasi itu dengan lebih mendalam adalah projek Solar Orbiter hasil kerjasama NASA dan ESA. Dilancarkan pada 10 Februari 2020, Solar Orbiter dijangkakan akan tiba ke orbit matahari dalam tempoh 2 tahun lagi sekiranya tiada apa halangan.
Dua projek kajian solar yang berlaku serentak
Solar Orbiter merupakan projek kedua yang diramalkan mampu menjawab banyak persoalan tentang matahari yang ada, menjadi penyambung kepada sebuah lagi projek berkaitan matahari iaitu projek 'Parker Solar Probe' atau PSP.
Berbeza dengan Solar Orbiter, PSP adalah sebuah prob tinjauan dan pemantauan yang akan mengkaji bahagian korona luar matahari daripada jarak 11.6 juta kilometer, menjadi objek ciptaan manusia paling dekat dengan matahari.
Selamat dilancarkan pada 12 Ogos 2018 dengan anggaran tugas selama hampir 7 tahun pengawasan, PSP mempunyai matlamat untuk memahami kadar tenaga korona matahari, pergerakan angin solar dan pengaruh medan magnetik matahari kepada pergerakan angin solar.
Solar Orbiter atau SolO pula membawa misi mengkaji apa saja maklumat yang ada berkaitan heliosfrera matahari atau 'atmosfera' matahari yang menutupi matahari, bagi membolehkan kita lebih memahami pengaruh matahari terhadap sebarang bentuk perubahan cuaca angkasa yang berlaku, seperti ribut solar yang mampu memberi kesan besar pada kita di bumi.
Dibangunkan gergasi aeronautikal Airbus
Direka oleh NASA dan ESA serta dibina oleh syarikat Airbus, SolO memerlukan tahap kejuruteraan yang sangat tinggi bagi melindungi peralatannya dalam misi yang sangat mencabar ini. Bagi melindungi 10 instrumen yang ada dalam SolO, perisainya mampu menahan haba sehingga 537 darjah celcius pada jarak 26 juta kilometer dari matahari serta mampu menanggung kesejukan sehingga -184 darjah celcius.
Perisai habanya yang diperbuat daripada titanium bersalut dengan kalsium fosfat dipercayai mampu menyerap majoriti haba yang sampai ke SolO, menurunkan suhu peranti SolO kepada tahap -15 ke 50 darjah celcius.
Gambar hiasan
Apa yang sukar dalam mengawal kemasukan haba ke SolO, adalah kiraan yang perlu dilakukan dalam memanipulasi sudut talaan perisai agar senantiasa selari dengan titik paling panas yang menghadap matahari. Sebarang kesilapan dalam kiraan darjah talaan, bakal menyebabkan bahang meresap masuk dan meninggikan risiko untuk mana-mana instrumen mengalami kerosakan.
Apa yang bakal kita belajar daripada projek ini?
Sekiranya semuanya berjalan lancar dan SolO sampai ke orbit matahari dengan berjaya, ada beberapa soalan kita selama ini mengenai matahari dapat kita jawab dengan lebih baik.
Selain memudahkan kita meramal dan memahami fenomena ribut solar dengan lebih baik, penyelidik juga bakal mempunyai data dan maklumat berkenaan letusan yang berlaku di matahari serta bagaimana letusan-letusan ini memberi kesan pada kita di bumi ini.
Apa yang paling dinantikan penyelidik adalah pemahaman sebenar bagaimana matahari mempengaruhi keseluruhan sistem solar serta peranan yang dimainkan heliosfera matahari yang terbentuk hasil perubahan dan aktiviti medan magnetik matahari.
Untuk orang kebanyakan seperti kita, janji bahawa imej pertama bagaiamana rupanya kutub utara dan kutub selatan matahari bakal diperolehi merupakan sesuatu yang sangat menarik untuk dinantikan.
Bagaimanapun, peluang untuk mengambil gambar kutub matahari hanya boleh berlaku dalam jangka masa beberapa tahun lagi, dianggarkan mungkin melebihi 5 ke 7 tahun - apabila kedudukan SolO dalam pusingan orbit berjaya dianjakkan sedikit demi sedikit sehingga mampu menyalurkan kembali imej rupa sebenar bahagian atas matahari.
Rujukan
European Space Agency Liftoff for Solar Orbiter, ESA's mission to face the Sun up close