Dalam kehidupan seharian kita, pasti banyak kali kita menggunakan akronim atau singkatan sesuatu ayat, dalam pertuturan dan penulisan.
Akronim adalah kategori istilah singkatan yang wujud dan dipopularkan, bagi memudahkan kita menyebutkan sesuatu secara ringkas, mudah dan difahami.
Sebagai contoh PROTON adalah singkatan kepada Perusahaan Otomobil Nasional, BERNAMA merupakan Berita Nasional Malaysia, ADUN merujuk Ahli Dewan Undangan Negeri dan pelbagai lagi.
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam kategori akronim yang ada, wujud satu lagi sub-kategori akronim yang dinamakan sebagai RAS Syndrome atau 'Redundant Acronym Syndrome - Syndrome.' Perasan tak perkataan syndrome berulang dua kali?
Itulah yang akan kita bincangkan hari ini.
Kesan pengulangan yang membantu menjelaskan makna
Sebelum kita mulakan perbincangan kita, harus kami nyatakan tidak ada salah sindrom RAS ini wujud dalam sistem bahasa kerana penggunaannya memang benar-benar memudahkan kita dalam urusan seharian.
Bagaimanapun sekiranya difikirkan, agak kelakar juga kerana perkara ini berlaku tanpa kita sedari.
Sindrom RAS merupakan situasi di mana sebuah akronim yang biasa kita gunakan, mempunyai pengulangan istilah berulang yang tidak menyimpan sebarang makna tetapi tetap kita amalkan kerana kita dah biasa dengan penggunaannya.
Ada pihak menganggap penggunanya kelakar, ada juga yang melihatnya dalam tona lebih kasar kerana menggangap sesuatu yang mudah sebegini pun boleh dijadikan sesuatu yang biasa dalam pembangunan bahasa.
Contoh paling mudah yang kerap kita gunakan, tak kiralah dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu....adalah MESIN ATM atau ATM MACHINE.
Cuba kita terjemahkan kedua-duanya. MESIN ATM adalah singkatan kepada MESIN AUTOMATIC TELLER MACHINE sementara ATM MACHINE pula adalah singkatan kepada AUTOMATIC TELLER MACHINE MACHINE. Nampak tak di mana pengulangannya berlaku? Kalau tak nampak juga, mungkin anda kena periksa mata anda.
Apakah contoh lain sindrom RAS dalam bahasa?
Turut berkait dengan 'Mesin ATM', kita juga memerlukan penggunaan 'Nombor PIN' atau 'PIN Number.' Jom kita terjemahkan!'NOMBOR PIN' membawa maksud Nombor Personal Identification Number dan PIN number pula merujuk Personal Identification Number Number. Berapa banyak nombor yang kita perlukan sebenarnya ni?
Selain Mesin ATM dan Nombor PIN, antara contoh lain yang kerap kita sebutkan adalah
1. Paparan LCD/LCD Display
Paparan Liquid Crystal Display dan Liquid Crystal Display Display.
2. Virus HIV/ HIV Virus
Virus Human Immunodeficiency Virus/Human Immunodeficiency Virus virus
3. Cukai GST/GST Tax
Cukai Good and Service Tax/ Good and Service Tax Tax
4. Cukai SST/SST Tax
Cukai Sales and Service Tax/ Sales and Service Tax tax
5. Komik DC/ DC Comics
Komik Detective Comics/ Detective Comics Comics
6. Lampu LED/LED Light
Lampu Light Emitting Diodes/Light Emitting Diodes Lights
7. Format PDF/PDF Format
Format Portable Document Format/Portable Document Format Format
8. Orang VIP/ VIP Person
Orang Kenamaan atau Orang Very Important Person/ Very Important Person Person
Kesimpulan
Seperti yang sudah kami nyatakan di atas, penggunaannya tidaklah boleh dikatakan sebagai salah...walaupun dalam aspek bahasanya sebenarnya salah.
Ini kerana banyak pakar bahasa barat penggunaan akronim seperti ini walaupun mempunyai istilah yang berulang dan tidak perlu, mampu memudahkan pemahaman seseorang yang mendengarnya. Walaupun demikian, suka untuk kami katakan...selepas anda membaca artikel ini, setiap kali anda dengar kawan anda nak ke mesin ATM untuk cucuk duit...cuba minta dia jelaskan apa makna penuh 'Mesin ATM' dan 'Nombor PIN' kepada anda.Mesti dia rasa macam ada sesuatu yang tak kena.