Oleh pada 03 Jan 2023 kategori

Cedokan istilah bahasa asing ke dalam bahasa kita adalah sesuatu yang akan berlaku, sama ada kita suka atau tidak kerana proses itu adalah semulajadi dalam perkembangan laras tatabahasa.

Walaupun dalam bahasa Melayu sudah ada banyak istilah sedia ada namun ada ketikanya wujud keperluan pinjaman secara terus, bagi memudahkan rujukan kita kepada sesuatu yang mungkin baru atau kita tidak ada rujukannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun dalam masa yang sama, kegalakan meminjam ini mengakibatkan wujud istilah-istilah tidak rasmi yang dipinjam kerap, seolah-olah rasmi penggunaannya. Realitinya istilah yang ada tidak tepat dan tidak diiktiraf pun dalam bahasa kita.

1. Analisa

analisa digantikan analisis

Satu ketika dulu, memang dari segi bahasa kita menggunakan perkataan analisa. Bagaimanapun selepas kemaskini istilah ini, istilah yang betul mengikut sistem imbuhan dan ejaan bahasa kita adalah 'analisis'. 

'Analisa' tidak lagi digunapakai dan haruslah digantikan dengan versi barunya, dengan pengekalan makna serupa.

2. Solidariti

tamat penggunaan solidariti

Kami yakin ramai gemar menggunakan perkataan 'solidariti' bagi melambangkan penyatuan atau perpaduan. Persoalan kami, jika sudah wujud 'perpaduan' atau 'penyatuan', apa lagi perlunya kita gunapakai 'solidariti'?

Oleh kerana itulah dari segi daftar kata, istilah 'solidariti' tidak wujud dalam bahasa kita dan seharusnya dihentikan penggunaannya.

3. Politikal

henti penggunaan politikal

Memang lebih mudah untuk menulis 'politikal' berbanding 'berunsurkan politik', tetapi penggunaan istilah itu tidak benar. 

Tidak wujud istilah 'politikal' walaupun ramai penulis sains politik gemar menggunakan istilah ini, dalam karya mereka. Lebih sedih, pihak media kita pun suka mempopularkan istilah ini.

4. Urban

tiada istilah urban

Untuk memahami penggunaan istilah 'urban' yang betul, kita harus melihat dua istilah berbeza. Istilah 'urban' tidak wujud dalam daftar kata bahasa Melayu, tetapi 'urbanisasi' yang merujuk kepada proses pembandaran sebuah kawasan ada.

'Urban' secara rasmi hanya diambil sebagai istilah Inggeris bagi merujuk kepada kawasan bandar. Jadi penggunaan istilah 'kawasan urban' seharusnya digantikan dengan 'kawasan bandar.'

5. Koreksional

koreksional istilah tak wujud

Kami tidak tahu apa yang berlaku dalam isu istilah ini. Dalam daftar bahasa kita, langsung tidak wujud istilah 'koreksional', yang biasanya merujuk kepada proses pemulihan seseorang banduan agar dia dapat diasimilasikan semula ke masyarakat biasa.

Tetapi kita ada Pusat Koreksional kendalian Jabatan Penjara Malaysia yang terletak di Puncak Alam, Selangor; menjadi lokasi di mana proses pemulihan dijalankan. Siapa agaknya yang terlepas pandang kesalahan ini?

6. Netizen

netizen hentikan penggunaan

Setakat ini, belum lagi ada kata putus daripada pihak berdaftar berkenaan penggunaan istilah 'netizen' yang makin hari, makin popular.

Jika anda belum sedar, inspirasi pembentukan istilah 'netizen' jelas diambil daripada istilah bahasa Inggeris 'citizen'; merujuk kepada 'orang yang tinggal di bandar.' Jadi 'netizen' jika diterjemah adalah 'orang yang duduk dalam rangkaian internet.'

Macam tak kena kan, kerana kita tak duduk di situ. Cadangan istilah lain dalam bahasa Melayu yang ada setakat ini adalah 'warga siber.'

7. Final

perkataan yang tak wujud tetapi popular

Setiap kali berlangsungnya perlawanan akhir sesuatu acara sukan, ramailah wartawan kita akan menggunapakai secara semberono istilah 'final' seolah-olah itu istilah kita yang betul. 

Tidak. 'Final' tidak wujud dalam kosa kata kita. Lebih baik kita menggantikannya dengan istilah berbeza seperti 'perlawanan akhir' atau 'perlawanan muktamad.' 

8. Celupar

celupar celopar

Untuk perkataan akhir dalam artikel ini, sengaja kami pilih satu perkataan yang kami yakin kerap anda gunakan - 'celupar.' Percaya tak jika kami katakan kepada anda, istilah ini tidak wujud dalam daftar kata bahasa Melayu? Susah nak percaya kan? Ya. Memang benar. Istilah ini tidak ada kerana ejaannya yang betul adalah 'celopar.' 

Kami yakin ramai tak sedar kesalahan ini lama dah dilakukan masyarakat kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)