Oleh pada 17 May 2023 kategori

Kita tahu bahasa Melayu selain daripada banyak meminjam istilah bahasa Arab dan Inggeris, sebenarnya terlebih awal dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit - merupakan antara bahasa tertua dunia.

Istilah sanskrit sebenarnya banyak bermain di lidah penutur bahasa Melayu, tetapi tidak ramai yang menyedarinya. Apatah lagi pinjaman ini ada di antaranya turut melibatkan istilah berkait ibadah dan agama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda 10 istilah Sanskrit yang mungkin memeranjatkan anda bila anda tahu asal-usulnya kekal masih diguna dalam bahasa Melayu?

1. Agama

ayat istilah sanskrit dalam bahasa melayu

Dalam kaedah sebutan moden, majoriti penutur BM akan menggunakan istilah 'agama'. Mungkin ada di kalangan generasi tua menyebutnya sebagai 'ugama'.

Di kalangan masyarakat Malaysia, 'agama' adalah sesuatu yang dekat di hati kita, kerana itulah rukunegara kita menjadikan beragama sebagai salah satu keutamaan utama.

Tahu tak istilah 'agama' itu datang daripada istilah bahasa Sanskrit dengan bunyi sama, merujuk kepada ilmu yang diterima secara wahyu serta boleh juga merujuk kepada ilmu amalan tradisi.

2. Bangsa

bangsa istilah sanskrit bahasa

Isu bangsa sering menjadi satu polemik besar di kalangan masyarakat kita. Ini kerana kita sebagai sebuah masyarakat majmuk mempunyai idea yang berbeza-beza dalam menentukan pembentukan identiti sesebuah bangsa Malaysia.

Walaupun begitu, apa yang harus kita sama-sama persetujui - perkataan 'bangsa' hadir daripada perkataan 'vamsa' dalam bahasa Sanskrit.

Vamsa merujuk kepada sebuah keluarga atau susur galur keturunan, dinasti serta istilah yang diguna bagi menggambarkan latar belakang sejarah sesuatu kumpulan individu.

3. Bidadari

bidadari istilah sanskrit

Istilah 'bidadari' cukup popular melibatkan masyarakat Muslim di serata Asia Tenggara. Kami yakin tak ramai tahu bidadari hadir daripada istilah Sanskrit 'vidhydari'.

Pengaruh istilah ini kuat diamalkan oleh orang di rantau ini, juga disebut sebagai widodari, widyadari dan ada juga yang menggelarkannya dedari.

Dalam Sanskrit, maknanya merujuk kepada makhluk ghaib yang menjaga pengetahuan. Jika anda tahu kenapa istilah ini digunakan oleh masyarakat Islam di sini sebagai kata rujuk wanita di syurga, kongsikan kepada kami.

4. Budaya

budaya bangsa istilah malaysia

Budaya merupakan istilah gabungan dua istilah asal Sanskrit, iaitu bahu dan deya.

'Bahu' merujuk kepada kadar kekerapan tinggi seseorang melakukan sesuatu sementara deya pula membawa makna sumbangan, pemberian, hadiah atau bantuan.

Jadi makna bahu-deya merujuk perbuatan seseorang melakukan sesuatu yang baik dengan kerap dan konsisten.

5. Cinta

istilah bm daripada bahasa sanskrit

Ramai di luar sana sedang mencari cinta. Jika anda sudi, kami pun sudi membalas cinta anda.

Tetapi fahami dulu asal-usul istilah cinta!

Cinta diambil daripada istilah Sanskrit cint yang merujuk kepada perbuatan seseorang kerap terfikir dan bimbangkan seorang yang lain. Kiranya maknanya memang tepat sekalilah serta kekal sesuai diguna sehingga sekarang. 

6. Esa

tuhan yang maha esa asal usul

Apa kalimah yang akan kita baca sekiranya kita mahu melafazkan Allah itu satu?

Orang Muslim akan membaca 'lailahhaillallah.' Bila kita terjemahkan, kita menterjemahkannya menjadi 'Allah itu Tuhan Yang Maha Esa.' Dari mana datang istilah 'esa' itu? Dari bahasa Sanskrit.

Istilah ini digunakan bagi mewakili konsep tunggal dalam maknanya, menggambarkan ke-esaan sebagai sesuatu yang tidak ada duanya.

7. Maha

mahathir maha nama sanskrit

Masyarakat Muslim tahu istilah 'maha' sangat sinonim dengan agama, sehinggakan penggunaannya kadangkala menimbulkan kontroversi sekiranya tidak digunakan dalam kaedah yang betul.

'Maha' adalah istilah asli Sanskrit merujuk kepada sifat agung.

Walaupun penggunaannya popular diamal sebagai petunjuk keagungan Tuhan, maha juga harus kita ingatkan turut digunakan mewakili sifat manusia yang dianggap dalam darjat tertinggi seperti mahaguru, maharani, maharaja dan sebagainya. 

Kita juga pernah ada Perdana Menteri bernama Tun Mahathir. Harap dia kekal sihat.

8. Neraka/syurga

neraka syurga istilah bm sanskrit

Penutur bahasa Melayu pasti dah biasa dengan dua istilah ini.

Penggunaannya cukup popular sehinggakan tidak ramai sedar istilah ini bukan istilah orang Arab.

Dalam bahasa Arab, syurga dan neraka digelarkan sebagai jannah dan jahannam, sementara istilah bahasa Melayu yang ada ketika ini datang daripada istilah Sanskrit svarga dan naraka.

Naraka adalah lokasi di mana seksaan ke atas mereka yang melakukan kesalahan atau dosa dijalankan, sementara svarga pula tempat di mana dewa dan dewi dalam kepercayaan Hindu menetap.

9. Pahala/Dosa

pahala dosa ayat istilah sanskrit

Istilah pahala merupakan pinjaman istilah Sanskrit phala, boleh digunakan sebagai merujuk buah yang ranum dan juga dilihat sebagai ganjaran.

Dosa pula merupakan istilah pinjaman Sanskrit 'dosha' yang membawa makna satu kesalahan atau kesilapan yang telah dilakukan. 

10. Suci

perkataan suci sanskrit

Seperti perkataan lain dalam senarai ini, 'suci' juga merupakan istilah pinjaman Sanskrit yang kekal bunyi dan maknanya sehingga ke hari ini, merujuk kepada sesuatu yang tulen, bersih dan tidak tercemar.

Penggunaan istilah suci paling popular pastilah melalui slogan minyak masak terkenal iaitu 'sungguh suci, sungguh murni.'

Lucunya, suci dan murni sebenarnya mempunyai maksud yang serupa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)