agama di jepun

Menurut statistik bancian tahunan mengenai statistik agama dan kepercayaan pada tahun 2018 oleh Badan Hal Ehwal Budaya Jepun, 69.0% penduduk Jepun mengamalkan Shintoisme, 66.7% agama Buddha, 1.5% agama Kristian dan agama lain 6.2%. Mungkin kelihatan agak pelik kerana terdapat dua kepercayaan atau agama dimana gabungan kedua akan menjadikan peratusan keseluruhan melebihi 100%.

Majorititi rakyat Jepun mengamalkan agama Shintoisme dan Buddhisme, yang sering diamalkan secara serentak. Menurut perkiraan, sebanyak 80% penduduk mengikuti ritual Shinto sampai tahap tertentu -menyembah nenek moyang dan roh di altar domestik dan kuil.

Jumlah yang hampir sama dilaporkan bagi pengikut ajaran Buddha. Gabungan kepercayaan terhadap kedua-duanya, yang umumnya dikenali sebagai shinbutsu-shūgō, adalah perkara biasa dan merupakan agama dominan negara ini.

Namun, pada tahun 90-an tetapi muncul ajaran pelik di negara matahari terbit ini yang diberi nama Aum Shinrikyo. Serpihan ajaran ini masih wujud pada masa kini. Ketika berada di kemuncaknya satu ketika dahulu, ajaran ini pernah menggemparkan Jepun berikut beberapa siri serangan yang mengorbankan ramai orang awam.

Asal-usul Aum Shinrikyo

aum shinrikyo

Aum Shinrikyo, yang namanya bermaksud "kebenaran tertinggi", dimulai pada tahun 1984 sebagai sebuah kumpulan spiritual yang mencampuradukkan kepercayaan Hindu dan Buddha sebelum mula mencampurkan unsur-unsur amalan Kristian apokaliptik.

Pengasas kumpulan itu, Shoko Asahara, menyatakan dirinya sebagai Jesus. Kumpulan itu, yang namanya sering disingkatkan menjadi Aum, memperoleh status rasmi sebagai organisasi agama di Jepun pada tahun 1989.

Shoko Asahara mempunyai pengikut dari seluruh dunia dengan jumlah yang cukup besar, menarik ramai pengikut dan meluaskan pengaruhnya dengan memberikan ucapan-ucapan di universiti dan menulis buku. Pada zaman kemuncaknya, Aum mempunyai 40 ribu anggota di seluruh dunia. 

Bekas anggota kultus ini pernah mendedahkan bahawa mereka pernah membayar bagi menjalani upacara yang melibatkan pemujaan rambut dan air mandi Shoko Asahara - walaupun kumpulan itu mendesak pengikutnya untuk menolak materialisme.

Seorang bekas pengikut mendedahkan bahawa pernah membayar lebih daripada £6115 ($8100) pada tahun 1988 untuk satu ritual di mana dia meminum sejenis cecair yang dipercayai sebagai darah pemimpin kumpulan itu.

Sebilangan besar pengikut Shoko Asahara di Jepun adalah para pelajar di universiti elit. Mereka adalah anak muda daripada latar belakang akademik yang mempunyai tekanan besar dalam hidup mereka untuk berjaya - dan kultus ini menjanjikan mereka kehidupan yang lebih bermakna.

Shinrikyo Aum secara beransur-ansur menjadi kultus yang paranoid terhadap hari pengakhiran dunia iaitu kiamat, mendakwa dunia akan terjebak ke dalam Perang Dunia Ketiga dan hanya anggotanya yang akan selamat.

Kenali Shoko Asahara

shoko asahara

Shoko Asahara lahir pada 1955 dan nama asalnya adalah Chizuo Matsumoto. Dia lahir dalam keluarga yang miskin. Dia menderita glaukoma sejak lahir yang membuatnya kehilangan penglihatan di mata kirinya dan sebahagian buta di mata kanannya pada usia muda. Oleh kerana kecacatannya ini, dia memasuki sekolah khas untuk orang buta.

Shoko Asahara terkenal sebagai pembuli di sekolah, memanfaatkan pelajar lain dengan memukul mereka dan memeras wang daripada mereka. Dia menamatkan pengajian pada tahun 1977 dan beralih ke pengajian akupunktur dan perubatan tradisional Cina yang merupakan kerjaya biasa bagi orang buta di Jepun.

Dia berkahwin pada tahun berikutnya dan akhirnya memiliki 12 orang anak. Pada tahun 1981, Asahara didenda kerana didapati bersalah mengamalkan perniagaan farmasi tanpa lesen dan menjual ubat-ubatan tanpa kebenaran.

ajaran sesat kultus di jepun

Minat Shoko Asahara terhadap agama dilaporkan bermula pada masa ini. Setelah berkahwin, dia bekerja untuk menyara keluarganya yang besar dan makin berkembang. Dia mengabdikan masa lapangnya untuk mempelajari pelbagai konsep agama, bermula dengan astrologi Cina dan Taoisme.

Pada tahun 1984, Shoko Asahara membentuk kumpulan Aum Shinsen no Kai. Dia menukar namanya dari Chizuo Matsumoto menjadi Shoko Asahara dan menamakan semula kumpulannya kepada Aum Shinrikyo pada tahun 1987. Permohonannya untuk berdaftar sebagai sebuah kumpulan agama ditolak pihak berkuasa pada awalnya sebelum akhirnya diterima pada 1989 setelah membuat rayuan.

Doktrin Aum Shinrikyo didasarkan pada kitab suci Vajrayana, Bible dan beberapa kitab lain. Pada tahun 1992 Asahara menerbitkan buku Declaring Myself the Christ, di mana dia menyatakan dirinya Jesus. Dia mengaku boleh mengambil dosa orang lain ke atas dirinya sendiri dan dia mendakwa dia dapat memindahkan kekuatan rohani kepada pengikutnya.

Dia turut membuat ramalan kiamat yang meliputi Perang Dunia ketiga dan serangan senjata nuklear besar. Menurutnya, hanya pengikut Shinrikyo Aum yang akan selamat.

Kontroversi Shinrikyo Aum

serangan gas ejen saraf sarin

Nama ajaran Shinrikyo Aum ini pernah mencetuskan kontroversi akibat kekacauan yang pernah dicetuskan satu ketika dahulu. Kumpulan ini mula mencetuskan kontroversi pada akhir 1980-an dengan tuduhan menipu rekrut, menahan anggotanya yang tidak mahu melakukan arahan pemimpin, memaksa anggota untuk menderma wang dan membunuh seorang ahli kumpulan yang cuba melarikan diri pada Februari 1989. 

Kumpulan ini diketahui telah merancang pembunuhan beberapa individu yang mengkritik mereka antaranya ketua mazhab Buddha Soka Gakkai. Setelah kartunis Yoshinori Kobayashi mula menyindir ajaran ini, namanya turut tersenarai dalam senarai orang yang mahu dibunuh pengikut  Shinrikyo Aum. 

Pada akhir tahun 1993, kumpulan ini mula secara diam-diam menghasilkan agen saraf dan kemudian gas VX. Kedua-dua sarin dan VX ini kemudian digunakan dalam beberapa siri pembunuhan (dan percubaan membunuh) antara 1994–95.

majalah time ajaran sesat

Pada 1995, anggota Shinrikyo Aum telah serangan terhadap lima kereta api di sistem kereta bawah tanah Tokyo yang membunuh 13 penumpang,  54 orang cedera parah dan mencederakan 980 yang lain. Dianggarkan seramai 6,000 orang cedera tetapi sukar untuk mendapatkan nombor yang tepat kerana banyak mangsa enggan tampil ke hadapan.

Kegiatan jenayah yang dilakukan oleh kumpulan ini begitu banyak sehingga menyebabkan kerajaan mula mengambil tindakan tegas untuk menangkap dan mengharamkan kumpulan ini. Shoko Asahara berjaya ditangkap pada 16 Mei 1995 dan dibicarakan, dijatuhkan hukuman mati kepadanya pada bulan Februari 2004.

Namun, hukuman itu ditunda setelah tertangkapnya beberapa anggota Shinrikyo Aum yang lain. Hukuman mati terhadap Shoko Asahara akhirnya dilaksanakan pada 6 Julai 2018, 23 tahun setelah serangan gas yang didalanginya. Hukuman gantung sampai mati tersebut dilaksanakn bersama 6 anggota Aum Shinrikiyo yang lain.

Ajaran Shinrikyo Aum kini telah dibubarkan secara paksa oleh pihak berkuasa Jepun tetapi pengikut Asahara membentuk kumpulan agama baru yang disebut Aleph yang meneruskan ajarannya.

Kredit:

  1. Variety
  2. BBC News
  3. SCMP
  4. Wikipedia


Hakcipta iluminasi.com (2017)