Pengaruh masyarakat Jepun layak dikatakan tersebar ke serata dunia, sehinggakan kita pun tahu sedikit sebanyak tentang sejarah dan budaya mereka.

Salah satu warisan Jepun yang cukup popular dan sering diperkatakan, adalah berkaitan tentang kelompok-kelompok pahlawan Jepun yang sering diangkat dalam budaya popular dunia dalam bentuk filem, animasi, drama dan komik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi peminat komik Jepun atau 'manga', istilah ninja dan samurai merupakan antara gelaran yang selalu dipopularkan. Jom kita pelajari serba sedikit tentang kelas ninja dan samurai, serta 3 lagi kategori yang kurang popular tetapi tetap menarik sejarahnya.

1. Ninja

shinobi shogun pahlawan rahsia

Disebut sebagai 'nin-jiya' atau turut popular dengan gelaran 'shinobi', ninja sangat popular dalam budaya popular dunia kerana pakaian seragamnya yang ikonik.

Berseragam gelap dengan muka ditutup rapat agar tidak terdedah identiti, seorang ninja bergerak secara sulit, bersembunyi melakukan sabotaj atau membunuh sasaran tanpa dikesan.

Antara kumpulan ninja yang terkenal dalam sejarah Jepun adalah ninja Iga dan Koga yang digeruni pada abad ke 16, disebabkan oleh kemampuan mereka menyerang tanpa dikesan.

Individu terakhir yang menggelarkan dirinya ninja adalah seorang lelaki bernama Jinichi Kawakami, seorang jurutera yang mengakui dia adalah pewaris kepada keturunan sebenar keluarga ninja.

Bagaimanapun, pengakuan Kawakami kurang diterima sesetengah pihak disebabkan oleh ketiadaan bukti yang memperkukuhkan dakwaannya itu.

2. Sohei

sohei padukan pernang agama

Jarang dipaparkan sebagai watak utama dalam karya-karya fiksyen, kelas pahlawan 'sohei' merupakan kumpulan individu berlatar belakang agama Buddha yang memilih untuk menjadi pahlawan dan askar kepada tokong, demi melindungi kepentingan mereka.

Disebabkan oleh kewujudan kumpulan pahlawan ini dalam jumlah yang ramai serta terlatih, ada kalanya pemimpin-pemimpin era feudal Jepun mengupah 'sohei' untuk memperkuatkan barisan tentera mereka - kebiasaannya bergerak sebagai pelindung samurai.

Berbeza dengan kumpulan samurai yang lebih dilindungi dengan baju perisai, sohei pula tidak dibebankan perlindungan berat sebaliknya memakai pelindung ringan dengan identiti utama mereka adalah kepala yang botak.

Senjata utama kumpulan sohei adalah naginata, sejenis senjata kayu panjang dengan bilah mirip pedang dipasangkan dihujungnya.

3. Samurai

samurai baju besi tentera bangsawan

Selain ninja, samurai merupakan antara kelas pahlawan yang paling terkenal di kalangan masyarakat dunia, disebabkan oleh rekaan baju perisai, topeng dan topi keledar mereka yang unik serta kelihatan menggerunkan.

Kedudukan samurai dalam sistem feudal Jepun meletakkan mereka dalam kelompok yang bernasib baik. Jika dibandingkan dengan kelas-kelas lain, samurai merupakan antara individu kelas bangsawan yang turut sama mempunyai kedudukan penting dalam masyarakat.

Oleh sebab itulah samurai biasanya merupakan kumpulan pengawal yang paling rapat dengan pemimpin tertinggi yang digelarkan Daimyo.

Disebabkan oleh kedudukan itu jugalah peralatan samurai menampakkan perbezaan kemampuan, di mana samurai mempunyai peralatan berkos tinggi serta menggunakan senjata pedang terbaik, ditempa pakar pedang zaman tersebut.

'Bushido' merupakan kod seorang samurai yang mengawal hidupnya dalam setiap aspek, mengangkat nilai-nilai tertentu yang membezakan tatacara kelakuan dan pertarungan seorang samurai, berdasarkan kepada sifat hormat seorang lelaki kepada tingkah lakunya dirinya sendiri dan juga musuh yang perlu dikalahkan.

4. Ronin

ronin samurai tiada tuan

Hubungan antara samurai dan daimyo sangat penting dalam menentukan kedudukan seorang samurai, dalam sistem masyarakat feudal Jepun.

Namun bagi samurai yang kehilangan tuan, mereka akan jatuh ke dalam kategori pahlawan berbeza yang diistilahkan sebagai 'ronin.'

Ronin adalah bekas samurai yang hilang kedudukannya dalam masyarakat, memerlukan mereka menyara diri sebagai seorang pahlawan dengan mengambil tugasan-tugasan baru berdasarkan kepada upah yang mereka terima.

Disebabkan ketiadaan struktur, golongan ronin hidupnya hanya mengikut saja ke mana mereka dibawa, menyebabkan gelaran 'ronin' yang bermaksud 'mereka yang dihanyutkan ombak' lekat kepada bekas-bekas samurai ini.

Ronin hilang segalanya; kuasa, kedudukan dan tuan yang mengangkat kedudukan mereka.

5. Ikko-ikki

ikko kiku pasukanpemberontak shogun

'Ikko-ikki' tidak merujuk kepada seorang individu, sebaliknya ikko-ikki adalah satu gerakan perang yang dibentuk oleh orang-orang kebanyakan seperti petani dan jiazamurai, golongan bangsawan pemilik estet-estet kecil yang bersatu di bawah payung agama Buddha.

Disebabkan oleh struktur organisasi mereka yang agak longgar serta berteraskan kepada elemen agama sebagai penyatuan utama, Ikko-ikki lebih mirip dengan pasukan militia era moden.

Fokus utama mereka bersatu bermula pada abad ke 15 adalah untuk menjatuhkan sistem feudal Jepun yang pada ketika dikuasai daimyo-daimyo, dalam usaha untuk menyebarkan ajaran Buddha serta membersihkan Jepun daripada elemen kotor.

Kewujudan gerakan Ikko-ikki yang bermakna 'penyatuan satu matlamat' mula memberi ancaman kepada sistem feudal Jepun, sehinggakan gerakan pemberontak ini berjaya menguasai wilayah Kaga pada tahun 1488, sebelum mereka bertindak menyerang pusat pentadbiran Kyoto.

Walaupun tindakan mereka cuba mengambil alih pemerintahan Jepun digagalkan tentera di bawah kendalian Shogun (komander perang) Jepun, pemberontakan Ikko-ikki terus berjalan selama lebih 100 tahun - sehinggalah Oda Nobunaga, daimyo terkenal yang berjaya menyatukan Jepun menamatkan perjuangan Ikko-ikki pada tahun 1580.




Hakcipta iluminasi.com (2017)