Tak dapat dinafikan, kini pasukan bola sepak kebangsaan Jepun menjadi antara salah satu kuasa bola sepak dunia dan merupakan kuasa besar bola sepak Asia.
Bukan sahaja mereka layak untuk beraksi di pentas Piala Dunia, malah Jepun berjaya bersaing serta menewaskan pasukan-pasukan yang lebih gah seperti Colombia, Denmark dan Rusia.
Sejak penganjuran Piala Dunia buat kali pertama iaitu pada tahun 1930 hinggalah ke Piala Dunia ke-15 di Amerika Syarikat pada tahun 1994, pasukan negara matahari terbit ini tidak berjaya melayakkan diri.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun situasi tersebut berubah dengan begitu mendadak sekali, dan ya, memang benar Jepun tidak dilihatkan sebagai calon untuk menjuarai Piala Dunia, tetapi banyak yang boleh dipelajari daripada pasukan ini.
Bola sepak di Jepun pada tahun 80-an
Bola sepak di Jepun pada asalnya bukanlah sukan utama rakyat kerana rakyat Jepun lebih meminati sukan gusti sumo dan besbol. Namun, mereka telah merancang untuk membentuk kemajuan bola sepak mereka.
Antara usaha-usaha awal yang dilakukan untuk menanamkan minat terhadap sukan ini termasuklah animasi "Captain Tsubasa" pada sekitar tahun 1981.
Sebelum bola sepak mendapat sambutan hangat di Jepun, liga amatur (Liga Bola Sepak Jepun) telah wujud selama 30 tahun, dimainkan antara pasukan-pasukan kilang di Jepun.
Dan kilang-kilang tersebut adalah pengeluar barangan yang harian termasuk oleh Malaysia, seperti Mitsubishi, Honda, Toyota, Sumitomo dan sebagainya. Ini lah nama-nama asal pasukan-pasukan dalam liga di Jepun.
Tak lama kemudian, bola sepak mula mendapat tempat dan antara tanda positif adalah perkembangan sukan bola sepak di seluruh Jepun telah melihatkan minat terhadap rakyat Jepun terhadap dua sukan paling popular di Jepun iaitu gusti sumo dan besbol, telah berkurang.
Walaupun ia telah mencapai kemuncaknya ketika Jepun memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik 1968, namun minat negara semakin pudar dan kehadiran penonton semakin merudum.
Pada tahun 1991, sukan bola sepak di Jepun berada pada tahap yang terburuk dalam sejarah. Pasukan utama mereka diwakili oleh pemain amatur dan Persatuan Bola Sepak Jepun menyedari sesuatu perlu dilakukan.
Visi 100 tahun Jepun
Dengan itu, mereka telah menghasilkan "One Hundred Year Vision" dan rombakan dalam liga bola sepak mereka dilakukan. Segala perancangan dilakukan dan tak lama kemudian, pada tahun 1992, maka lahirlah liga baru yang diberi nama Liga J1 seperti mana dilihat pada hari ini.
Impian mereka adalah untuk mempunyai liga yang berjaya dan mampan, sesuatu untuk dibanggakan termasuklah mempunyai 100 kelab bola sepak profesional. Dan yang paling utama dalam visi 100 tahun Jepun ini adalah mereka ingin memenangi Piala Dunia menjelang tahun 2092.
Sebelum Liga J1
Sebelum penubuhan liga baru ini, Jepun menduduki tangga ke-40 di ranking dunia FIFA dan orang peminat dan penonton yang menghadirkan diri ke stadium terlalu sedikit.
Kelab-kelab Jepun ketika itu cuba untuk menarik pemain-pemain terkenal dunia, terutamanya dari Brazil yang walaupun sudah berada di penghujung karier untuk bermain untuk mereka.
Antaranya termasuklah Zico, Dunga dan Gary Lineker. Dengan kehadiran pemain-pemain berkualiti ini di Jepun, standard bola sepak liga ini semakin meningkat.
Dalam tempoh 3 tahun liga profesional ini berlangsung, Jepun melonjak ke tangga ke-21 dalam kedudukan antarabangsa dan peminat yang hadir ke stadium setiap minggu mencecah purata 20,000 orang.
Jepun di Piala Dunia
Dan selepas hanya 8 tahun liga dirombak, akhirnya Jepun mula menikmati pengalaman Piala Dunia pada tahun 1998. Dan apa yang menarik dan menjadi sejarah dalam bola sepak Jepun adalah lokasi yang melayakkan mereka ke Piala Dunia, iaitu berlaku di Johor
Sejak itu Jepun langsung tidak pandang ke belakang. Pada tahun 2002, mereka tuan rumah bersama dengan Korea Selatan dan kini pasukan mereka adalah antara pasukan yang sangat menarik untuk disaksikan.
Malaysia perlu belajar dari Jepun. Bukan sekadar dengan menukar barisan kepimpinan FAM, tetapi seluruh aspek bermula daripada pembangunan bola sepak hinggalah kepada "akhlak" penyokong.
Kita mempunyai fasiliti yang boleh dikatakan cukup lengkap, memiliki barisan anak-anak muda yang sangat berbakat dan kita tidak perlukan animasi ala Captain Tsubasa.
Apa yang kita perlukan hanyalah usaha untuk melahirkan identiti yang bakal merevolusikan sukan bola sepak di Malaysia.
Sama ada Jepun mampu menjuarai Piala Dunia menjelang tahun 2092 masih belum dapat dipastikan, namun mereka fokus kepada tugasan untuk menjadi negara yang memiliki 100 kelab bola sepak profesional.
Kejayaan tidak datang semalaman dan Persatuan Bola Sepak Jepun faham akan perkara tersebut, sebab itu mereka menetapkan visi jangka masa panjang.
Bola Sepak Samurai Biru ini berkembang dengan sangat pesat dari segi kualiti dan populariti dan jumlah pemain yang menerima peluang di Eropah semakin bertambah.
"Tak mungkin akan ada pemain Jepun seperti Shinji Kagawa bermain di Manchester United atau Yuto Nagatomo di Inter Milan jika Liga J tidak ditubuhkan 20 tahun yang lalu," jelas Saburo Kawabuchi, yang berkhidmat sebagai pengerusi sulung liga sehingga tahun 2002.
Rujukan: