Oleh pada 01 Aug 2022 kategori

Sejak kecil, imaginasi penulis berkenaan corak hidup masyarakat kita semasa era penjajahan Jepun banyak dibentuk oleh bahan bacaan yang dibaca, khasnya novel berkaitan zaman tersebut. 

Novel seperti 'Nyawa di Hujung Pedang' hasil tulisan Allahyarham Ahmad Murad Nasaruddin misalnya, menggambarkan kekejaman tentera Jepun kepada orang Melayu tempatan dalam bentuk yang keras dan grafik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Rekod-rekod sejarah berkenaan peristiwa Sook Ching bilamana orang Cina yang bernaung di bawah British diburu tentera Jepun juga membawakan mesej sama. Selain impak kekejaman, Jepun juga sebenarnya cuba mempromosikan tradisi dan budaya mereka untuk dijadikan amalan masyarakat kita, sama ada secara paksa atau sukarela.

Pernahkah anda mendengar tentang amalan-amalan yang cuba dibawa Jepun kepada penduduk Tanah Melayu lama?

1. Pendidikan hanya dalam bahasa Jepun dan Melayu

sekolah rendah era jepun

Salah satu langkah utama yang diperkenalkan Jepun kepada masyarakat kita semasa pendudukan mereka, adalah rombakan besar-besaran kepada sistem pendidikan sedia ada ketika itu yang dirangka oleh pihak British.

Dasar utama yang ingin diperkenalkan Jepun di sini, adalah dasar Japanisasi masyarakat setempat di mana orang tempatan akan dididik dengan corak hidup orang Jepun, mengamalkan semangat dan pegangan yang diamalkan masyarakat Jepun serta dapat turut sama membantu kempen perang Jepun.

Tiga faktor utama yang dijadikan keutamaan Jepun adalah disiplin, kepatuhan dan kerjasama. 

Bagi memudahkan kaedah ini diperkenalkan, kerajaan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura memperkenalkan syarat bahawa semua bahasa pengantar yang diamalkan sebelum itu iaitu Inggeris, Mandarin dan Tamil dimansuhkan dan hanya bahasa Jepun dan Melayu dibenarkan penggunaannya.

Mereka percaya reformasi pendidikan menyeluruh perlu bagi membersihkan guru-guru dan pelajar daripada 'sisa-sisa' kotor kehidupan barat yang telah diamalkan sebelum itu, sehingga masyarakat di sini terlalu condong pemikirannya ke arah materialistik dan individualistik yang menjejaskan kualiti hidup warga tempatan.

2. Pendidikan yang berorientasikan vokasional

pendidikan tanah melayu zaman jepun

Selain perubahan kepada penggunaan bahasa pengantar, Jepun juga melakukan rombakan besar-besaran kepada sistem silibus yang menyelia dan menentukan sukatan matapelajaran yang diajarkan.

Sistem kurikulum yang diperkenalkan oleh Britain dimansuhkan kerana Jepun tidak melihat ada kepentingan besar dalam memfokuskan usaha pembangunan akademik murid semata-mata. 

Sebaliknya kerajaan Jepun mula menggubal sistem pendidikan kita agr lebih berpaksikan kepada pembangunan sahsiah yang membawa kepada kemahiran vokasional. Latihan-latihan yang bersifat fizikal bagi membentuk kemahiran jasmani pelajar juga mula diberikan slot lebih bagi membantu perkembangan tubuh pelajar.

Pada bulan Mei 1942, kerajaan Jepun memperkenalkan sistem Institut Latihan Pemimpin Muda Asia atau Koa Kunrenjo yang dibuka di Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, khas untuk melatih individu berbakat yang berusia 17 hingga 25 tahun untuk menjadi pelapis pemimpin masyarakat di masa akan datang.

Mereka yang menyertai program ini akan diberikan latihan dalam bentuk fizikal, akademik dan juga pembelajaran bahasa. Selesai kursus sekitar 6 bulan, graduan program ini akan dihantar untuk menjadi pegawai daerah atau pegawai kerajaan dalam organisasi yang diatur oleh Jepun.

3. Ritual menghormati tradisi Jepun

kartun berkenaan hormat maharaja jepun

Berlandaskan kepada satu konsep yang dinamakan sebagai 'kodo seishin' atau 'semangat Empayar' yang dilaksanakan oleh Jepun ke atas penduduk tempatan, beberapa tradisi dan ritual baru mula diperkenalkan secara wajib ke atas semua individu, khasnya golongan pelajar.

Tarikh-tarikh cuti yang sebelum itu mengikut kalendar British dibuang untuk menuruti kalendar masyarakat Jepun. Ini menyebabkan hari-hari cuti yang digunapakai di sana juga akan dituruti masyarakat kita.

Setiap kali tiba hari cuti umum Jepun, pelajar akan diarahkan untuk tunduk ke arah terletaknya istana Maharaja Jepun, menjerit 3 kali tanda kesetiaan kepada beliau dan menyanyikan lagu kebangsaan Jepun atau Kimigayo. 

Tidak cukup dengan itu, orang ramai juga akan menyertai satu upacara yang hanya akan dijalankan setiap 8 Disember di mana mereka perlu menyertai perhimpunan bagi mendengar bacaan semula deklarasi pengisytiharan perang oleh Kerajaan Jepun ke atas Kuasa-Kuasa Bersekutu.

4. Memaksa masyarakat Melayu mengormati Dewa Matahari

seikerei tunduk hormat amaterasu

Salah satu tradisi baru yang cuba diperkenalkan Jepun tetapi mendapat penentangan masyarakat setempat, khasnya daripada mereka yang beragama Islam adalah ritual yang dinamakan sebagai seikerei.

'Seikeirei' adalah ritual yang diwajibkan ke atas semua ahli masyarakat setiap awal pagi, di mana individu-individu warga tempatan yang ditemui tentera Jepun haruslah membongkokkan badan ke arah utara sebagai tanda hormat kepada Dewi Amaterasu.

Dewi Amaterasu menurut kepercayaan masyarakat Jepun adalah Dewi Matahari Terbit, titik tengah kepada semua kepercayaan agama Shinto yang diamalkan orang Jepun. Mereka juga percaya semua keturunan maharaja Jepun merupakan cucu cicit kepada Dewi ini.

Sama seperti apa yang diajarkan kepada pelajar, semua masyarakat jajahan Jepun di Asia Tenggara membongkok mirip gerakan rukuk selama beberapa minit bagi menyembah Tenno Heika, gelaran kepada maharaja Jepun mewakili Dewi Amaterasu yang dikatakan menguasai keseluruhan alam.

5. Jepun berusaha menjadi pelindung Islam

persidangan orang melayu islam zaman jepun

Satu perbezaan di antara kaedah British dan Jepun menjajah, adalah kadar campur tangan mereka dalam isu kedudukan agama Islam dan Sultan Melayu. British gemar mencatur naik turun Sultan, menggantikan mana-mana individu yang enggan memberikan kerjasama dengan mereka.

Jepun pula bertindak mengehadkan sepenuhnya kuasa Sultan dalam bidang politik dan pentadbiran, tetapi memberikan Sultan kuasa penuh mentadbir segala bidang berkait agama Islam dan adat Melayu - demi meredakan penentangan orang Melayu yang dikatakan boleh berlaku sekiranya dua aspek ini dilanggar.

Situasi ini pada awalnya hanya merangkumi skop kecil, sebelum Jepun mula memberikan lebih banyak kelebihan kepada orang Melayu Islam sebagai penduduk majoriti.

Penjawat awam beragama Islam mula dibenarkan pulang kerja lebih awal 2 jam semasa Ramadan. Cuti bagi meraikan hari raya Aidilfitri dan Aidiladha juga mula diperkenalkan, beserta dengan bayaran gaji pendahuluan bagi kemudahan masyarakat Melayu mempersiapkan diri.

Dalam skop lebih besar, Jepun juga mula mendekati pemimpin Islam lebih dekat, mula berusaha untuk meyakinkan bahawa Jepun adalah penyelamat ummah.

Pada bulan April 1943, sebuah persidangan pemimpin Islam dari Tanah Melayu, Singapura dan Sumatera dianjurkan kerajaan Jepun bagi membolehkan kerjasama lebih erat di antara masyarakat dengan kerajaan Jepun dapat diwujudkan.

Susulan persidangan tersebut, sebuah lagi persidangan lebih besar dianjurkan kerajaan Jepun, bertempat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada bulan Disember 1944 bagi meneruskan persidangan dan membentangkan resolusi.

Secara kesimpulannya, persidangan kedua ini membolehkan Jepun dan pemimpin Islam setempat membincangkan isu berkenaan penggunaan kalendar yang formal untuk kesemua negeri di Tanah Melayu, membentangkan idea berkenaan penubuhan badan Islam dan pembentangan idea untuk hukuman kesalahan ke atas orang Islam yang berorientasikan syariah. 

gadis melayu berkimono jepun tanah melayu malaya 864

Idea-idea yang dibentangkan diterima Jepun dalam satu persidangan bertarikh 25 Julai 1945, dengan syarat;

Pemimpin setempat berjanji berusaha mengumpul dana membantu kempen perang Jepun, meneruskan komitmen kerjasama baik dengan Jepun, meningkatkan pengeluaran bekalan makanan, membantu mengekalkan keamanan dan mendoakan agar perang yang berlangsung berakhir dengan kemenangan besar Jepun.

Kerjasama itu bagaimanapun berakhir tidak lama selepas itu, selepas Maharaja Hirohito mengisytiharkan Jepun telah menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 menamatkan penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Idea yang telah dibangunkan pemimpin tempatan berkait agama dan adat Melayu diteruskan - membolehkan kita merasai hasilnya sehingga ke hari ini.

Rujukan

New Perspectives on the Japanese Occupation in Malaya and Singapore, 1941-1945




Hakcipta iluminasi.com (2017)