Adolfo de Jesus Constanzo dilahirkan di Miami pada tahun 1962. Ibu Adolfo adalah seorang ibu tunggal yang berasal dari Cuba. Ibunya berpindah ke Puerto Rico bersama Adolfo yang masih kecil untuk berkahwin kali kedua sebelum mereka sekeluarga berpindah semula ke Miami pada tahun 1972.

Adolfo dibesarkan dalam keluarga Kristian yang taat dan dia dibaptis mengikut tradisi Katolik Rom. Walau bagaimanapun, mereka masih percaya dan mengamalkan Voodoo seperti kebanyakan pendatang Cuba lain yang tinggal di kejiranan Little Havana di Miami.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, khabar angin mengenai keluarga Costanzo mula menjadi buah mulut penduduk setempat. Penduduk mendakwa ibu dan neneknya merupakan pendeta atau sami agama Santeria yang merupakan gabungan agama Afro-Cuba dan Katolik yang popular di seluruh Caribbean.

Mula belajar ilmu hitam

Ketika berumur 14 tahun, Adolfo mula mengikuti dan belajar dengan seorang dukun tempatan. Dukun itu mengumpul kekayaan melalui urusannya dengan pengedar dadah tempatan yang ingin mendapatkan perlindungan serta menyihir musuh mereka.

Ketika inilah guru Adolfo memperkenalkannya kepada palo mayombe, sisi agama Santeria yang lebih gelap. Tidak lama selepas itu, jiran-jiran keluarga Constanzo sering menjumpai haiwan kecil yang mati di depan pintu rumah mereka. Mereka percaya ia ada kena mengena dengan Adolfo yang mengamalkan payo mayombe.

upacara agama santeria

Upacara agama Santeria

Setelah menghabiskan masa remajanya belajar mengenai sihir, Adolfo ditangkap beberapa kali atas kesalahan mencuri. Rupa paras Adolfo yang kacak telah membawanya ke Mexico City untuk bekerja dalam bidang permodelan. Di sinilah dia mula merekrut pengikut ajaran sesatnya.

Jorge Montes dan Martin Quintana adalah pengikut terawal yang juga merupakan kekasihnya kerana Adolfo menyukai pasangan sesama jenis. Mereka terpikat dengan karisma Adolfo dan ingin mengetahui lebih mendalam tentang sihir yang diamalkan Adolfo.

Adolfo menggunakan kelebihannya untuk menggoda lebih ramai pengikut di kejiranan gay di Zona Rosa, Mexico City. Para pengikutnya memanggil Adolfo dengan nama "Godfather". Dia kemudian membuka sebuah kedai pada tahun 1984 dan membina reputasinya sebagai paderi Santeria yang terkenal di Mexico City.

Los Narcosatanicos

Kebanyakan pengedar dadah Mexico yang percayakan tahyul menjadi pelanggan tetap Adolfo. Mereka menggelarnya sebagai "Los Narcosatanicos". Dia mengenakan bayaran sekitar RM 18,000 untuk melakukan upacara yang melibatkan korban haiwan bagi menjamin dan melindungi keselamatan pengedar dadah dalam aktiviti haram mereka.

bahan pemujaan palo mayombe

Bahan pemujaan Palo Mayombe

Adolfo mempunyai senarai harga tepat yang perlu dibayar pelanggan bagi setiap haiwan. Dia mengenakan harga serendah RM 24 untuk seekor ayam jantan sehinggalah RM 12,700 untuk seekor anak singa. Malah, seorang pengedar dadah telah menghabiskan wang berjumlah RM 165,000 untuk membayar Adolfo dalam tempoh tiga tahun.

Apabila Adolfo mempunyai semakin ramai pelanggan termasuk model fesyen dan polis, dia dan ahli pengikutnya mula menjarah kubur bagi mencuri tengkorak dan tulang mayat untuk dijadikan bahan sihir yang lebih kuat. Namun, ia tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan pelanggannya yang ramai.

Pada tahun 1987, Adolfo Constanzo sudah menjadi begitu terkenal dan kaya. Dia mempunyai kondominium dengan garaj yang dipenuhi kereta mewah. Ahli sihir itu juga memanfaatkan hubungan baiknya dengan polis dan pengedar dadah untuk memulakan perniagaan haram bagi menambah pendapatannya.

Mahu lebih banyak kuasa dan wang

Salah satu pelanggan Adolfo yang paling penting adalah keluarga Calzada. Keluarga ini merupakan ketua kepada salah satu kartel terbesar di Mexico. Seperti biasa, Adolfo melakukan upacara sihirnya untuk memberi perlindungan kepada keluarga Calzada untuk sejumlah wang yang besar.

adolfo constanzo 2

Adolfo Constanzo

Semakin lama, keluarga Calzada menjadi semakin berkuasa. Adolfo percaya bahawa kejayaan ketua kartel itu hasil daripada ilmu hitamnya. Adolfo mendesak keluaga Calzada untuk diberikannya pangkat dalam kartel dadah itu. Apabila ketua kartel menolak permintaan itu, dia dan enam ahli keluarganya tiba-tiba hilang.

Ketika polis Mexico menemui mayat anggota keluarga Calzada, beberapa bahagian mayat telah hilang seperti jari kaki dan tangan, hati, testis, tulang belakang dan otak. Bahagian-bahagian yang hilang ini dipercayai telah diambil Adolfo untuk dijadikan bahan "Nganga".

Nganga atau 'kawah darah' adalah bahagian penting dalam palo mayombe. Mereka percaya dengan meletakkan tulang dan darah manusia dalam kuali besi, mereka dapat memuja roh bagi melakukan segala perintah.

Sebelum keluarga Calzada menjadi mangsa, Adolfo dan pengikutnya dipercayai telah membunuh mangsa-mangsa lain untuk digunakan dalam pemujaan nganga ini. Mereka percaya korban manusia adalah lebih berkesan berbanding tulang dan tengkorak yang dicuri dari kubur.

Menjadi penyeludup dadah

Adolfo kemudian berkawan dengan kartel baru iaitu keluarga Hernandez. Ketika inilah Adolfo bertemu dengan seorang wanita bernama Sara Aldrete. Dia melantik Sara menjadi pembantu kanan dan pendeta kepada ajaran sesatnya. Sara yang digelar sebagai "Godmother" telah ditugaskan untuk memantau para pengikutnya sementara Adolfo menguruskan penghantaran dadah ke sempadan Amerika.

adolfo constanzo 488 360

Mark Kilroy - Mangsa Adolfo Costanzo

Pada 1988, Adolfo berpindah ke sebuah rumah ladang di kawasan gurun. Di sinilah dia melakukan pelbagai lagi upacara sadis melibatkan pembunuhan orang asing dan pesaing dadahnya. Dia juga menyimpan sebahagian besar bekalan dadahnya di sini.

Pada 13 Mac 1989, pengikut Adolfo telah menculik seorang pelajar Amerika bernama Mark Kilroy di luar sebuah bar di Mexico. Kilroy dibawa ke ladang Adolfo dan dibunuh. Berikutan kehilangan Kilroy, ahli politik Texas memberi tekanan kepada polis Mexico untuk menyelesaikan kes itu.

Pihak polis akhirnya mempunyai petunjuk dan menangkap empat pengikut Adolfo dan dua daripadanya adalah ahli keluarga Hernandez. Polis kemudian menyerbu kediaman Adolfo dan menemui 15 mayat yang dipotong dan ditanam di kawasan itu. Salah satu daripada mayat itu adalah Kilroy.

Alfonso ketika itu berjaya melarikan diri bersama tiga pengikutnya ke Mexico City. Ketika bersembunyi di sebuah pangsapuri, Alfonso terkejut dengan kehadiran polis yang sebenarnya datang untuk satu panggilan lain melibatkan pergaduhan di situ.

Pengakhiran hidup Godfather

Alfonso kemudian melepaskan tembakan ke arah pihak polis sehingga menyebabkan pasukan bantuan tiba. Apabila terperangkap, dia mengarahkan pengikutnya bernama Alvaro de Leon untuk menembak dirinya dan Martin Quintana. Ketika diserbu pihak polis, Alfonso dan Martin ditemui mati manakala Alvaro dan Sara Aldrete ditahan. 

sara aldrete

Sara Aldrete atau "Godmother" ajaran sesat Adolfo

Sehingga hari ini, pihak berkuasa tidak mengetahui berapa jumlah sebenar mangsa Adolfo dan para pengikutnya. Hanya 23 orang mangsa didokumentasikan secara rasmi tetapi polis percaya jumlah itu lebih banyak.

Kebanyakan mangsa Adolfo adalah penjenayah kecil-kecilan, golongan songsang dari Zona Rosa bahkan anggota ajaran sesatnya sendiri yang tidak mengikut kemahuannya. Latar belakang mangsa yang sering menjauhi masyarakat membuatkan pihak polis sukar mengesan mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)