Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia
Menepati ramalan ramai, tiga peserta yang memberikan saingan hebat dalam AF Megastar akhirnya terpilih melangkah ke peringkat akhir minggu hadapan.
Mereka adalah Marsha, Bob dan Idayu.
Manakala tuah menyebelahi dua lagi peserta, Syamel dan Shahir melengkapkan senarai lima finalis akhir yang berentap merebut gelaran juara.
Namun konsert separuh akhir yang berlangsung di Royal Theater itu juga turut menghentikan perjuangan dua peserta, Amir Jahari dan Amir yang disingkirkan sekaligus di hujung program.
Persembahan mereka dilihat gagal memikat hati juri berdasarkan komen negatif diterima.
Penilaian keseluruhan hasil gabungan 60 peratus markah juri profesional dan 40 peratus undian penonton melalui SMS dan laman sesawang.
Juri profesional terdiri daripada dua juri tetap, pengarah muzik Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat bersama juri undangan, penyanyi Datuk M.Nasir.
Para peserta diberikan tugasan dua lagu dalam tema berbeza iaitu 'Lagu Carta' dan 'Lagu Duet'.
Lima lagi penyanyi yang disingkirkan dalam kesemua konsert terdahulu ialah Azhar, Adira, Ewal, Sufi dan Indah Ruhaila.
Juara AF Megastar minggu hadapan akan membawa pulang wang tunai RM100,000, trofi dan hadiah sampingan lain.
Konsert AF Megastar Akhir bersiaran secara langsung 22 Oktober ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria.