Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia

Konsert Akhir AF Megastar akan membuat kelainan ketika mengumumkan keputusan pemenang nanti. 

Tidak seperti kebiasaan pertandingan nyanyian lain, AF Megastar hanya akan memberitahu nama juara sahaja.

Menurut Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris, akan ada sesuatu berbeza bakal berlaku yang perlu dinantikan penonton.

"AF Megastar sedikit berbeza dengan pertandingan lain kerana tiada pemenang tempat pertama, kedua atau seterusnya sebaliknya hanya juara sahaja yang akan diumumkan.

"Namun akan ada kelainan yang akan dilakukan nanti, harap boleh bersabar untuk menantikannya sehingga minggu hadapan.

"Namun saya pasti semua bintang akan menerima hadiah," katanya menurut laporan portal Astro Gempak.

Juara AF Megastar bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000, trofi sumbangan Astro dan pakej percutian tajaan SelamatBercuti.com.

Penilaian masih mengekalkan format penjurian konsert mingguan iaitu gabungan 60 peratus markah juri profesional dan 40 peratus undian penonton.

Lima finalis akhir yang akan berentap ialah Marsha, Idayu, Bob, Shamel dan Shahir.

Konsert AF Megastar Akhir bersiaran Ahad ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)