Oleh pada 17 Oct 2018 kategori

Kredit foto: Instagram @zonlawak

Seramai 10 pelawak bakal berentap dalam program realiti komedi popular, Maharaja Lawak Mega (MLM) untuk edisi tahun 2018.

Menurut Ketua Kandungan Strategik (Komedi), Namanzee Harris, persaingan kali ini bakal menyaksikan bakat-bakat hebat komedi, dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Ia dijadikan medium terbaik untuk mereka meluaskan karier ke beberapa negara.

senarai 14 peserta maharaja lawak mega 2018 diperkenalkan 2

Kredit foto: Instagram @zonlawak

"Untuk penganjuran musim ke-7, kami sekali lagi berjaya menghimpunkan bakat-bakat komedi terhebat dari Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

"Ada yang boleh dianggap senior dalam kalangan pelawak dan ada juga muka baharu yang terlibat dalam edisi kali ini.

"MLM kini umpama 'dream stage' buat pelawak-pelawak di rantau ini di mana penyertaan mereka bakal membuka pintu untuk mengembangkan bakat jenaka yang ada dan melebarkan kerjaya mereka melepasi sempadan negara," katanya kepada portal Mstar Online dalam sidang media yang diadakan di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Serdang, semalam.

Musim ini menampilkan 2 pelawak mengisi kuota peserta solo, dengan 4 lagi pelawak secara duo dan 8 kumpulan trio.

Barisan peserta solo ialah Dany Beler dan Hilmy Ashley. Peserta duo pula, kumpulan Taman, Shiro, Puteh dan 2B.

Manakala kumpulan trio terdiri daripada Bocey, Abata, Joras, Kiut, Masin, Abioso, Zero dan Chilok.

MLM 2018 turut dimeriahkan dengan kedatangan pelawak baru iaitu kumpulan Kiut, Abata dan 2B yang juga merupakan peserta peringkat akhir program Gegar Lawak.

Kesemua pelawak bakal dicabar membuat persembahan dalam minggu-minggu yang mengetengahkan tema berbeza iaitu antaranya, percutian, duit, muzikal, loghat dan dialek, dikir barat, parodi, kenangan dan mata pelajaran sekolah.

Peranan pengacaraan masih dipegang Datuk AC Mizal, manakala tiga juri tetap bakal diumumkan pada awal program yang akan ke udara selama 12 minggu itu.

Disiarkan secara langsung bermula 2 November ini, setiap Jumaat, jam 10 malam di saluran Astro Warna.

Juara MLM 2018 bakal menerima ganjaran wang tunai RM500,000, diikuti naib juara RM250,000, tangga ketiga RM150,000, keempat dan kelima masing-masing RM50,000 dan RM15,000. Kesemua turut menerima trofi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)