Johor dianggap negeri yang unik kerana mempunyai unit ketenteraannya yang tersendiri dikenali sebagai Askar Timbalan Setia Negeri atau Johor Military Force (JMF). Menariknya, JMF adalah satu-satunya unit ketenteraan milik sebuah negeri malah merupakan unit ketenteraan tertua di Malaysia yang masih beroperasi.

Pada saat ini, JMF masih beroperasi dan menumpahkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Sultan Johor. Kesetiaan ini sesuai dengan motto JMF iaitu "Taat dengan setia". JMF mempunyai ibu pejabat pentadbiran yang terletak di Kem Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terdapat 2 peranan utama JMF. Pertama, JMF berperanan untuk melindungi Sultan Johor, ahli kerabat dan segala aset penting kerajaan Johor. Kedua, JMF juga terlibat membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa darurat dan konflik bersenjata.  

Sejarah penubuhan JMF

sejarah jmf 931

Sejarah penubuhan JMF bermula apabila Sultan Johor satu ketika dahulu, Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim menubuhkan JMF pada tahun 1886. Peranan JMF ketika itu adalah menjaga keselamatan Johor, pemerintah dan ahli kerabat Sultan Johor.

Johor adalah negeri Melayu pertama dan satu-satunya (Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu) yang mempunyai kekuatan ketenteraan modennya tersendiri. Pada masa itu, tidak ada negeri Melayu lain yang mempunyai pasukan tenteranya sendiri.

Penubuhannya berdasarkan Perjanjian Anglo-Johor tahun 1885 yang ditandatangani oleh Sultan Abu Bakar dan Ratu Victoria di London, United Kingdom untuk menegakkan keamanan dan melindungi Johor termasuk Singapura dari ancaman luar ketika itu.

Daripada perjanjian itu, Sultan Abu Bakar telah mencadangkan kepada pihak Britishuntuk menubuhkan pasukan polis yang dikuasai oleh British dikenali sebagai Pasukan Setia Negeri (Loyal State Force) di Johor. Bertitik tolak daripada cadangan ini, unit Johore Constabulary Forces ditubuhkan oleh baginda untuk bertindak sebagai pasukan bantuan bagi polis Britain dan juga untuk mengimbangi kuasa yang diberikan kepada mereka.

Kemudian, namanya ditukar kepada Timbalan Setia Negeri (TSN).

Keanggotaan JMF

askar timbalan setia negeri 1 Sesuai dengan namanya dan peranannya, keanggotaan JMF hanya terbuka kepada nak jati Johor sahaja. Calon yang menghadiri temuduga dikehendaki mellepasi beberapa ujian fizikal dan kecergasan yang ketat. Uniknya, calon yang hadir juga perlu tahu menulis membaca tulisan jawi.

Sewaktu di awal penubuhannya, JMF (ketika itu masih Timbalan Setia Negeri) dianggotai oleh 60 orang Melayu dari Johor yang dipimpin oleh Syed Mohammed Nong Yahya yang sebelum itu merupakan pegawai polis dalam Pasukan Polis Britain.

Mereka ditugaskan untuk melindungi Sultan sebagai pengawal, dan juga bekerjasama dengan Pasukan Polis Inggeris untuk menegakkan undang-undang. Pada masa yang sama, Sultan Johor juga telah merekrut 20 orang tentera Sikh yang diketuai oleh Mejar Daud Sulaiman sebagai Pengawal Istana yang bertugas melindungi kawasan istana kerajaan.

Setahun setelah penubuhannya, Sultan Johor meningkatkan kekuatan Timbalan Setia Negeri menjadi tentera dan menukar namanya menjadi Angkatan Timbalan Setia Negeri.

Pada awal tahun 1900-an, nama TSN sekali lagi bertukar menjadi namanya sekarang - Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN). Nama Inggerisnya, Johor Military Force (JMF) diperkenalkan pada tahun 1905 setelah tiga unit utamanya (Infantri, Artileri dan Pengawal Istana) digabungkan menjadi satu. 

Pangkat Jeneral JMF pada masa ini adalah pangkat kehormat yang diperuntukkan hanya untuk Sultan dari 1947 hingga 2017, sementara pangkat Brigadier Jeneral hanya diperuntukkan untuk Putera Mahkota. Pada bulan Mac 2017, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dinaikkan pangkat menjadi Mejar Jeneral kerana pencapaiannya dalam memodenkan JMF.

Kekeliruan antara JMF dan ATM

tmj 243

Ramai sebenarnya terkeliru antara peranan JMF dan ATM. Terdapat segelintir daripada kita mungkin beranggapan bahawa kewujudan JMF di Johor bermakna penglibatan Angkatan Tentera Malaysia tidak lagi diperlukan di Johor. Pernyataan ini sebenarnya kurang tepat.

Pengekalan unit tentera adalah salah satu syarat pada tahun 1946 yang dibuat oleh Johor semasa menyertai Persekutuan Tanah Melayu. Jadual Kesembilan Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa kerajaan persekutuan Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap dasar luar dan kekuatan ketenteraan di negara ini, termasuklah di Johor.

Dalam satu ucapan yang diberikan oleh Sultan Ibrahim di Dataran Istana Besar pada tahu 2016, baginda menyatakan bahawa JMF sama sekali tidak bercita-cita mahu menjadi barisan pertama dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Malah, perkataan "Timbalan" pada Askar Timbalan Setia Negeri sebenarnya cukup menjelaskan peranannya sebagai barisan kedua di belakang ATM. JMF akan terlibat di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa sebarang konflik darurat dan bersenjata sebagai unit infanteri.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. FB Johor Southern Tiger
  3. FB TMJ



Hakcipta iluminasi.com (2017)