Oleh pada 08 Aug 2022 kategori

Sukan memerlukan tubuh seorang individu yang bergelar atlet, berada pada tahap optimum kekuatan dan pergerakannya. 

Ini mengakibatkan majoriti atlet datang dari kelompok usia muda, ketika mereka masih berada dalam zon tubuh yang layak dikatakan terbaik, dalam segala aspek. Bagaimanapun ada juga ketikanya pakcik-makcik yang dah berumur serta terlalu lanjut usia, bukan saja mampu bersaing - bahkan memenangi acara yang dipertandingkan.

Tahukah anda siapakah pemenang pingat emas paling tua dalam temasya sukan yang dekat dengan kita? Berikut adalah lima individu berusia yang masih dapat bertanding dan bergelar juara.

1. Oscar Swahn 

pemenang pingat emas olimpik paling tua

Tak perlu kami tunjuk yang mana penembak paling tua kan?

Penulis yang baru nak masuk pertengahan usia pun dah mula rasa petanda nak lemah penglihatan mata. Jadi mengejutkan juga bila penulis tahu, pemenang pingat emas paling tua dalam sukan Olimpik adalah seorang penembak berusia 64 tahun dan 258 hari semasa dia mencatatkan rekodnya.

Oscar Swahn, penembak dari Sweden  bertanding dalam 3 temasya Olimpik, mendapat 3 emas, 1 perak dan 2 gangsa daripada pelbagai acara menembak yang dipertandingkan. 

Rekod beliau memenangi acara 100 meter dalam temasya Olimpik Stockholm 1912 meletakkan Swahn sebagai pemenang pingat emas paling tua, masih gagal dipecahkan sehingga ke hari ini.

Penulis pula perlu berpuas hati dengan perasaan bangga setiap kali berjaya memasukkan benang ke dalam jarum, untuk menjahit pakaian yang koyak.

2. George Miller

george miller pemenang emas komanwel paling tua

Sejarah sukan Komanwel menyaksikan satu rekod baru tercipta di temasya Komanwel Birmingham 2022.

George Miller, atlet boling padang dari Scotland menjadi atlet paling tua menang pingat emas serta bergelar atlet tertua menang sebarang pingat, pada usia 75 tahun 8 bulan.

Bertindak sebagai tukang pandu arah bagi seorang atlet kurang penglihatan, Miller dan pasukannya berjaya mengalahkan pasukan Wales dengan mata 16 berbalas 9 membolehkan Scotland mengutip emas yang unik pencapaiannya itu.

Lebih menarik, pencapaian Miller itu memecah rekod yang baru saja dibuat rakan senegaranya, atlet boling padang wanita bernama Rosemary Lenton yang memenangi pingat emas tiga hari sebelum Miller - pada usia 72 tahun.

3. Dino Zoff

dino zoff pemain paling tua menang piala dunia

Sehingga ke hari ini, pencapaian Dino Zoff memenangi Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan Itali serta bergelar pemain tertua pernah menjulang piala berprestij itu belum dapat diatasi. 

Lebih manis, kemenangan Itali dalam kejohanan Piala Dunia tahun 1982 diperolehi dengan Zoff yang bertindak sebagai penjaga gol turut memegang tanggungjawab besar sebagai kapten pasukan. Semua pencapaian itu dibuat ketika Zoff sudah berusia 40 tahun 4 bulan dan 13 hari.

Dalam kejohanan itu, beliau turut bergelar pemenang anugerah penjaga gol terbaik serta tersenarai dalam kesebelasan terbaik kejohanan.

Pencapaian Zoff tidak terhenti setakat itu.

Dia juga menjadi satu-satunya warganegara Itali bergelar juara dunia dan juga pemenang kejohanan bola sepak Piala Eropah yang telah dimenangi lebih awal dalam tahun 1968. 

4. Lee Chong Wei

lee chong wei rekod usia tua nombor 1 dunia

Bekas pemain badminton kesayangan negara kita walaupun mempamerkan prestasi yang sangat cemerlang, sebenarnya turut memegang beberapa rekod dunia 'paling tua' dalam sukan badminton.

Pada bulan Jun tahun 2017, Lee Chong Wei mencatat sejarah menjadi pemain paling tua bergelar pemain nombor 1 dunia dalam carta kedudukan Badminton World Federation (BWF) ketika berusia 34 tahun. Beliau juga bergelar pemain paling tua pernah memenangi kejohanan berprestij All-England selepas memenanginya pada tahun 2017.

Apakah kejohanan badminton paling tua masih dianjurkan? Kejohanan All-England. Chong Wei adalah pemain paling tua bergelar juara kepada kejohanan paling tua dunia.

Disebabkan oleh tempoh karier beliau yang panjang, Chong Wei juga memegang rekod sebagai pemain paling lama bergelar pemain badminton nombor 1 dunia secara keseluruhan (348 minggu) dan juga paling lama kekal pada kedudukan nombor 1 selama 199 minggu.

5. Linford Christie

linford christie jaguh tertua 100 meter

Acara larian pecut 100 meter merupakan antara acara paling berprofil tinggi dalam sukan antarabangsa, khasnya melibatkan sukan Olimpik. Siapakah pemenang tertua acara ini? 

Pemegang rekod juara 100 meter paling tua usianya dipegang pelari Great Britain, Linford Christie yang melakukan larian kejuaraan dalam temasya Olimpik 1992 Barcelona, pada usia 32 tahun, 3 bulan dan 30 hari.

Walaupun catatan 9.96 saat yang dibuatnya melayakkan dia menang pingat emas, catatan terbaik peribadinya pula adalah 9.87 saat yang dibuat dua tahun kemudian.

Christie terus memegang rekod atlet tertua pernah memenangi acara 100 meter lelaki serta turut bergelar pemenang pingat paling tua dalam acara epik tersebut.

Bagaimanapun reputasi Christie tercalar beberapa tahun selepas era kemuncaknya - bila dia didapati positif ujian dadah yang mengakibatkan penyertaannya dalam mana-mana kejohanan digantung.



Hakcipta iluminasi.com (2017)