Gerakan Freemason seringkali disebut di kalangan pengikut teori-teori konspirasi, sebagai gerakan berkuasa mengawal dan mencorak perubahan dunia.

Tidak banyak yang kita tahu secara fakta berkaitan kebenaran dakwaan buruk terhadap gerakan Freemason ini, disebabkan kerahsiaan yang diamalkan ahli-ahlinya sendiri sehinggakan satu ketika dulu, rumah-rumah gerakan ini yang banyak di buka di seluruh negara kita digelarkan sebagai 'rumah hantu' - ekoran kekosongannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam sejarah kita, ada dua nama besar yang terkenal sebagai ahli anggota Freemason. Yang pertama adalah bapa kemerdekaan negara kita, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Yang kedua adalah Sultan Johor ke 22, Sultan Ibrahim yang merupakan pemerintah negeri Tanah Melayu pertama menyertai gerakan tersebut. Apa kisah di sebalik penyertaan Sultan Ibrahim ke dalam gerakan rahsia itu?

Politik antara pemerintah tempatan dan penjajah

johor bahru town in the 1920s

Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah merupakan sultan ke 22 dalam salasilah sejarah kesultanan Johor, dinobatkan sebagai individu Melayu pertama dalam lipatan sejarah orang Melayu dilantik ketua kepada cabang Freemason di sini.

Baginda juga merupakan individu berbangsa Melayu pertama duduk dalam gerakan tersebut sehingga mencapai gelaran 'Grand Master,' membantu membuka jalan kepada lebih ramai keahlian Freemason di kalangan masyarakat Melayu.

Percaturan politik di antara kuasa penjajah dengan pemimpin setempat ketika itu memerlukan pengurusan yang agak kompleks. Berikutan kedudukan penjajah yang menguasai pentadbiran di majoriti negeri, Raja dan Sultan Melayu perlu memastikan setiap pihak yang terlibat dalam pentadbiran mampu bekerjasama antara satu sama lain.

Itulah yang dipercayai cuba dilakukan Sultan Ibrahim selepas beliau menyatakan persetujuan untuk menyertai gerakan Freemason.

Tekanan politik yang dilihat kuat daripada British memerlukan Baginda untuk melahirkan satu bentuk kerjasama antara pihak Kesultanan Johor dengan British bagi membolehkan usaha British menguasai negerinya dapat dihalang.

Pembukaan cawangan-cawangan Freemason yang diperkenalkan oleh warga British yang bertugas di Tanah Melayu menyebabkan gerakan tersebut mula berakar umbi di sini walaupun dalam status tidak berdaftar.

Pada pendapat beberapa orang ahli sejarah, Sultan Ibrahim melihat penyertaan Baginda ke dalam gerakan tersebut mampu memperkuatkan kedudukan Kesultanan Johor, seterusnya mampu memberikan Baginda ruang untuk terus mentadbir Johor berpandukan kepada acuan yang kekal mendaulatkan bangsa Melayu.

Visi pentadbiran Johor berasaskan kepada prinsip baik Freemason

logo gerakan freemason

Gerakan Freemason menjadi salah satu agenda utama sistem kolonial British dalam merapatkan jurang antara mereka dengan pemerintah atau pemimpin tempatan, di setiap negara jajahan mereka.

Di India misalnya British menggunakan pendekatan membuka keahlian kepada pemimpin setempat ke dalam Freemason bagi menjalin hubungan rasmi yang lebih erat, khasnya hubungan dalam bidang pentadbiran dan ekonomi.

Sultan Ibrahim melihat apa yang telah berlaku di India di antara hubungan Freemason dengan pemimpin tempatan, perlu dilihat sebagai perkara yang positif.

Keahlian Baginda termaktub pada tarikh 11 April 1906, bertempat di cabang Empire Lodge salah sebuah unit Freemason di London, berbeza dengan beberapa orang kerabat kesultanan Melayu lain selepas Baginda yang menyertainya melalui cawangan tempatan.

Terkenal sebagai seorang yang berpaksikan kepada cara berfikir British dalam pembentukan tamadun (Anglophile); Baginda melihat ada peluang besar untuk memperkenalkan kepada orang Johor percantuman antara budaya masyarakat Melayu, agama Islam serta tatacara hidup seorang ahli Freemason sebagai elemen utama corak hidup masyarakat.

Selepas dilantik sebagai Grand Master serta mempunyai cawangan Freemason sendiri yang dinamakan sebagai Johor Lodge, Sultan Ibrahim mula mengadunkan ketiga-tiga elemen ini dalam model pentadbiran Baginda.

Sistem pentadbiran moden yang lebih sistematik

sultan sir ibrahim freemason british

Sistem pemerintahan yang diamalkan majoriti Kesultanan Melayu sebelum itu banyak mengamalkan amalan yang dirasakan terkebelakang berbanding model barat, disebabkan oleh pentadbiran yang tidak efisien serta banyak kerenah birokrasi.

Bagi Sultan Ibrahim yang berhasrat mahu menjadikan model Eropah sebagai penambah baik kepada sistem sedia ada, keperluan untuk menggabungkan cara berfikir masyarakat barat yang akan ditunjangi kepercayaan kepada Allah swt. menjadi matlamat utama Baginda.

Sebagai permulaan, Baginda mula menalakan peraturan hidup seorang ahli Freemason di bawah kendalian cawangannya untuk berasaskan ajaran Islam, menjadi asas latar belakang cawangan Freemason Johor Royal Lodge.

Pengenalan undang-undang lodge Johor Royal dirangka khas berpandukan kepada 101 ayat al-Quran yang mempunyai makna seiring dengan hasrat yang cuba dicapai gerakan Freemason.

Pengolahan semula undang-undang ini dengan kemasukan elemen kepercayaan Islam mendapat sokongan gerakan Freemason, dilihat seiring dengan kepercayaan asal gerakan mereka yang mewajibkan kesemua ahli percaya kepada kewujudan Tuhan serta mengamalkan agama.

Apa yang membezakan Johor Royal Lodge dengan cawangan-cawangan Freemason lain di seluruh dunia; Islam dijadikan elemen tonggak dalam membentuk kesefahaman yang diharapkan akan mula mencorak dan memperkukuhkan elemen ke-Islaman di kalangan ahli.

Johor sebagai negeri Islam moden

sultan sir ibrahim johor 762

Hasil hubungan antara Sultan Ibrahim dengan ahli-ahli Freemason yang berkhidmat khasnya di kalangan warga British, Baginda mula memperkenalkan konsep pentadbiran Eropah yang dilihat mampu memodenkan Johor.

Bagi memperkukuhkan pentadbiran bercorak Islam, Sultan Ibrahim memperkenalkan Jabatan Ugama Islam Johor serta membentuk semula organisasi tersebut dalam bentuk organisasi hirarki menerusi lantikan Ketua, Mufti dan Ketua Kadi.

Bagi membantu memperkembangkan ajaran Islam di kalangan masyarakat Johor, Jabatan Ugama Islam Johor merencanakan percetakan Majallah Ahkam al-Adliyyah, sebuah dokumen undang-undang yang diguna pakai di Turki (ketika itu di bawah pemerintahan Empayar Uthmaniyah).

Hasil kerjasama antara kerajaan Johor dengan Empayar Uthmaniyah yang dimulakan ayah Baginda, Sultan Abu Bakar - Empayar Uthmaniyah memberikan kebenaran kepada usaha menterjemah dokumen itu ke dalam bahasa Melayu bagi memudahkan orang ramai memahaminya.

Pada tahun 1913, proses penterjemahan Majallah Ahkam al-Adliyyah selesai, diberikan judul 'Majalah Ahkam Johor' dan digunapakai sebagai standard rujukan utama undang-undang syariah di negeri itu.

Sebagai usaha untuk mengangkat sistem lebih Islami yang mampu menyeimbangkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor yang lebih mesra British, pentadbiran kerajaan Johor di bawah Sultan Ibrahim mula menganjurkan amalan dan upacara keagamaan rasmi kelolaan kerajaan seperti acara marhaban, perarakan Maulidur Rasul, tilawah dan bermacam acara lain yang berteraskan masyarakat Muslim.

Banyak amalan ini kekal meriah sehingga kini di sana.

Pengenalan sistem pendidikan Islam bersistemkan corak British

majalah ahkam johor kod undang syariah

Kesultanan Johor menjadi negeri terawal dalam Tanah Melayu memperkenalkan sistem pendidikan bersepadu mengikut umur semasa pemerintahan ayah Baginda, Sultan Abu Bakar.

Namun Sultan Ibrahim dilihat berjaya mengadunkan corak organisasi barat dengan budaya amalan masyarakat Melayu menerusi pembukaan Sekolah Agama Johor tidak lama selepas Majalah Ahkam Johor diterbitkan - bagi membantu menyokong usaha ke arah pembangunan masyarakat yang teratur serta kenal selok-belok kepercayaannya.

Sekolah Agama Johor mula menerima kemasukan pelajar seawal usia 8 tahun bagi mempelajari ilmu asas berkaitan tajwid, tauhid dan ibadah. Berikutan pertambahan bilangan pelajar, sekolah agama diberikan slot khas petang selepas pelajar tamat sesi pendidikan sebelah pagi bagi membolehkan lebih ramai menyertainya.

Tambahan masa yang diberikan membolehkan sukatan mata pelajaran Sekolah Agama Johor diperluaskan dengan pengenalan subjek fikah, munakahat, akhlak, sirah, faraid dan juga bahasa Arab.

Pelajar juga mula menyertai aktiviti ko-kurikulum bersifat keagamaan yang sebelum itu hanya terhad kepada sekolah aliran Inggeris dan Melayu sahaja.

Pertandingan bacaan Quran, berzanji, azan, hafazan, khat dan pelbagai pertandingan dianjurkan untuk memupuk minat orang Johor terhadap penghayatan Islam, secara lebih sistematik.

Kemodenan yang seiring dengan tuntutan agama

jabatan agama islam johr

Berdasarkan sejarah, tekanan politik yang cuba dimainkan British berjaya dinavigasi dengan baik oleh Sultan Ibrahim.

Baginda diakui masih berjaya memajukan Johor mengikut acuan sendiri biarpun British kerap kali cuba campur tangan dalam urusan pentadbiran Baginda.

Kejayaan Baginda memodenkan sistem pendidikan agama Islam di Johor membolehkan Johor menjadi antara negeri paling maju di Tanah Melayu daripada aspek pendidikan Islam - seterusnya menjadi model kepada pembentukan sistem sama di negeri-negeri lain.

Kritikan pasti akan kedengaran daripada banyak pihak seandainya nama Sultan Ibrahim dibincangkan dari segi sejarah - khasnya melibatkan cara hidupnya yang dikatakan liberal serta penglibatan Baginda sebagai penyokong usaha gagasan Malayan Union yang cuba diperkenalkan British.

Sokongan itu dilihat menjadi titik tolak mengubah persepsi sebahagian besar warga Johor terhadap Baginda, sehinggakan wujud gerakan terancang yang berusaha mendesak Baginda melepaskan takhta.

Andaian penulis - mungkin sokongan terhadap Malayan Union itu datang daripada keterujaan Baginda terhadap corak pemerintahan yang diamalkan British, yang dilihat Baginda ketika itu sebagai model yang baik untuk diikuti.

Mungkin juga sokongan itu terhasil daripada kerjasama Baginda dengan sekutu-kutu rapat dalam gerakan Freemason, yang banyak membantu Baginda mentadbir serta memudahkan urusan antara kerajaan Johor dengan kerajaan British sebelum itu.

Baginda menjadi antara pemerintah tertinggi yang enggan tunduk kepada gerakan penyatuan seluruh negeri Tanah Melayu sebagai satu persekutuan, lebih gemar kekal dengan sistem kerajaan Johor sedia ada di mana Sultan Johor terus berkuasa memerintah, dengan bantuan seorang penasihat British.

Selepas wakil kepada Baginda bersetuju untuk Johor menyertai Persekutuan Tanah Melayu, Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah menyerahkan urusan pentadbiran kepada anaknya untuk menghabiskan usia tuanya di London.

Baginda mangkat di Grosvenor House Hotel pada 8 Mei 1959, meninggalkan legasi besar berjaya mengadunkan acuan sistem barat bersemangatkan sifat Melayu dan kepercayaan Islam; yang terus menjadi tunjang negeri Johor seiring dengan ideologi Baginda sebagai ahli Freemason pertama dunia di kalangan pemimpin masyarakat Melayu.


Artikel ini merupakan rumusan serta olahan kepada jurnal berjudul A Glimpse of the Earliest Forms of Malaya's Religious Administration in the Pre-Independence Period (pautan PDF)

Pautan alternatif Jurnal Abqari




Hakcipta iluminasi.com (2017)