tugu tokoh ussr diturunkan

Tanggal 25 Disember lebih dikenali sebagai sambutan Hari Krismas oleh masyarakat Kristian di seluruh dunia. 

Walaupun begitu, tarikh tersebut juga telah menyaksikan banyak peristiwa besar berlaku sepanjang kalendar sejarah dunia. Ada yang impaknya kecil, ada juga yang impaknya sehingga kini boleh dirasa.

Berikut adalah lima peristiwa besar dalam sejarah dunia yang berlaku ketika masyarakat Kristian sedang sibuk mempersiapkan diri dan kediaman, bagi meraikan kepercayaan mereka.

1. Kesatuan Soviet menguasai Kabul, Afghanistan

mujahidin pejuang afghanistan

Peristiwa yang sedang berlaku ketika ini melibatkan kembalinya pengaruh gerakan Taliban sebagai kerajaan Afghanistan, semuanya berpunca daripada tindakan Kesatuan Soviet yang menceroboh negara itu. 

Hasil daripada pencerobohan Soviet itulah gerakan kecil yang dimulakan kumpulan Mujahidin bermula, berjuang bagi melindungi kedudukan Islam di sana. Kumpulan-kumpulan militia kecil ini yang bertindak secara gerila mula melawan, dibantu dengan dana sumbangan Amerika Syarikat sehingga akhirnya bersatu dikepalai kumpulan Taliban,

Kesatuan Soviet hadir ke Afghanistan dengan kekuatan lebih 8,500 anggota tentera pada 24 Disember 1979 dan berjaya mengambil alih Kabul, ibu negara Afghanistan pada tanggal 25 Disember menandakan kejatuhan kerajaan Afghanistan di bawah Hafizullah Amin.

Sebut pasal Kesatuan Soviet ni...

2. 25 Disember adalah tarikh berakhirnya Kesatuan Soviet secara rasmi

kejatuhan soviet union

DIgeruni satu ketika dulu kerana kekuatan mereka serta tindakan agresif yang mampu mereka lakukan, kini Kesatuan Soviet hanya tinggal memori walaupun namanya masih lagi disebut masyarakat yang pernah bernaung di bawahnya.

Kejatuhan kesatuan itu bermula selepas 9 negara anggotanya iaitu Armenia, Azerbaijan, Belarus, Kazakhstan, Moldova, Kyrgyzstan, Russia, Tajikistan dan Uzbekistan menubuhkan gabungan Komanel Negara Merdeka atau Commonwealth of Independent States (CIS), mengeluarkan diri mereka dari gabungan kesatuan itu secara rasmi.

Kedudukan Mikhael Gorbachev, ketika itu Presiden Kesatuan Soviet goyah ekoran tekanan daripada pelbagai sudut termasuklah terpaksa berhadapan cubaan rampasan kuasa pada bulan Ogos tahun 1991.

Gorbachev akhirnya menyerah kalah, mengumumkan perletakan jawatan pada 25 Disember 1991 menoktahkan pengaruh Kesatuan Soviet dalam lipatan sejarah.

Bagaimanapun beberapa isu besar seperti isu pemberian Crimea dari Russia kepada Ukraine hasil keputusan pimpinan Soviet yang dilakukan pada tahun 1954, kekal menjadi sengketa yang berlanjutan sampai sekarang.

3. Maharaja Hirohito menaiki takhta

maharaja hirohito jepun

Maharaja Hirohito, pemerintah tertinggi kerajaan Jepun terkenal di seluruh dunia sebagai maharaja Jepun paling lama memerintah - daripada tahun 1926 sehinggalah kematian mendiang pada tahun 1989. Beliau naik menguasai pemerintahan pada tanggal 25 Disember 1926.

Menaiki takhta ketika Jepun telah memiliki reputasi sebagai sebuah kuasa besar dunia, Hirohito malangnya turut terpalit dengan reputasi buruk disebabkan oleh penglibatan Jepun dalam kempen penjajahan empayar mereka yang berlaku secara besar-besaran.

Kita semua tahu kempen itu turut melibatkan negara kita. Mendiang dilaporkan cuba melakukan permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak yang menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun semasa kempen tersebut, tetapi dihalang oleh Perdana Menteri Jepun ketika itu, Shigeru Yoshida.

Yoshida berpandangan seandainya Hirohito memohon maaf dan menyatakan kekesalan yang dirasai, ia boleh dijadikan alasan bahawa Maharaja Jepun sendiri seolah-olah mengakui beliau adalah individu yang bertanggungjawab menggerakkan kempen penjajahan tersebut.

4. Bermulanya penyatuan Eropah di bawah Charlemagne

charlemagne maharaja eropah

Eropah yang kita kenali sekarang mempunyai banyak sejarah panjang, tetapi detik tertubuhnya Empayar Rom di bawah pemerintahan Charlemagne pada tahun 800 sering dirujuk sebagai peristiwa terbesar dalam pembentukan Eropah.

Charlemagne atau turut dikenali sebagai Charles the Great merupakan raja orang Frank yang berjaya menyatukan pelbagai negeri di Eropah Barat serta mengalihkan pusat pemerintahan empayar tersebut daripada kawasan Eropah Timur ke Eropah Barat; seperti yang dapat kita lihat sekarang dari aspek pengaruhnya.

Kenaikan Charlemagne menguasai takhta Empayar Suci Rom berlaku pada 25 Disember tahun 800, membolehkan Charlemagne sehingga kini memegang gelaran Pater Europae atau 'Bapa Orang Eropah.'

5. Perlembagaan Taiwan dibentuk

taiwan perlembagaan china

Perang dingin di antara Taiwan yang didokong oleh Amerika Syarikat dengan China semakin lama semakin hangat bunyinya dan sengketa ini telah berlanjutan berdekad-dekad lamanya, ekoran keengganan kedua-dua pihak untuk saling mengiktiraf kedudukan masing-masing.

Salah satu peristiwa paling bersejarah masyarakat Taiwan berlaku pada dua tarikh 25 Disember tahun berlainan.

Draf perlembagaan negara itu yang dibentuk menggariskan pembentukan Republik China secara rasmi dipersetujui pada 25 Disember 1946 sebelum digunapakai sepenuhnya setahun kemudian, pada 25 Disember 1947.

Sehingga ke hari ini perlembagaan sama dikekalkan merangkumi keseluruhan wilayah yang diistilahkan 'kawasan bebas Taiwan di bawah penguasaan Republik China.'

Dibentuk berdasarkan kepada tiga prinsip masyarakat yang diperkenalkan bekas pemimpin mereka, Sun Yat Sen - cubaan untuk mengubah asas perlembagaan Taiwan seringkali berdepan jalan buntu ekoran sensitiviti masyarakat mereka serta keperluan untuk memastikan tuntutan Taiwan ke atas China terus dikekalkan.



Hakcipta iluminasi.com (2017)