Afghanistan sebagai sebuah negara lebih dikenali sebagai negara yang bergelut dengan perang serta pengaruh kumpulan Taliban, yang telah kembali menguasai negara itu. 

Ekoran daripada reputasi yang terbentuk orang Afghanistan sering digelarkan sebagai sebuah masyarakat yang agak keras berpegang dengan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun disebalik reputasi itu, tidak ramai menyedari segelintir masyarakat Afghanistan merasakan diri mereka 'terperangkap' oleh hukum-hukum agama, khasnya apabila melibatkan tuntutan nafsu serakah.

Disebabkan itulah wujud satu tradisi aneh yang digelarkan 'bacha bazi' di sana, yang menjadi pemudah cara segelintir individu lelaki Afghanistan menangani kemahuan seksual sendiri.

Bacha Bazi - hubungan intim yang menjaja remaja lelaki

dancing boys bacha bazi

'Bacha bazi' bermakna 'kanak-kanak lelaki penghibur', di mana wujud kumpulan sindiket tertentu yang menjalankan kegiatan mengumpulkan kanak-kanak lelaki untuk dijadikan penari-penari semasa berlangsungnya sambutan atau perayaan.

Budaya ini bukan saja berlaku di Afghanistan, turut sama menular di beberapa kawasan utara Pakistan didalangi kongsi-kongsi gelap ini bergerak aktif. Daripada luarannya, tampak seakan-akan tidak ada apa-apa yang buruk berlaku. 

Kanak-kanak yang kebiasaannya datang dari keluarga miskin ekoran ibu bapa merasakan tiada kesanggupan untuk menjaga mereka, membuat keputusan menghantar anak-anak mereka menyertai program latihan tarian; di mana mereka dilatih oleh kumpulan-kumpulan pelatih khas agar layak bergelar seorang 'bacha bazi.'

Sebagai pampasan, ibu bapa mereka akan diberikan sagu hati kerana sanggup melepaskan anak mereka kepada kumpulan ini. Namun bukan semua serahan berlaku secara rela.

Dalam insiden-insiden lebih malang, kanak-kanak yang menjadi sasaran diculik - hanya kerana mereka memenuhi kriteria individu yang dicari-cari sindiket dalam memastikan perniagaan mereka berlangsung lancar.

Wajah tampan dan cantik menjadi buruan

pemilik bacha bazi pujuk remaja

Individu kanak-kanak yang dikumpulkan biasanya akan dihantar sejak usia 8 ke 10 tahun, bagi membolehkan kerjaya mereka berlangsung lama. Tubuh mereka ketika itu juga kuat, mudah dilatih agar fleksibel dan berkemampuan menari dalam jangka masa panjang.

Walaupun demikian, bukan semua kanak-kanak akan diterima. Paras muka yang comel menjadi penentu utama, di mana kanak-kanak yang mempunyai wajah seakan-akan keperempuan dijadikan faktor penting selain daripada tubuh yang langsing serta mobiliti yang tinggi. Penulis memang akan kena terajang lah kalau cuba nak tawar diri.

Semua 'pelatih' diberikan tempat tinggal, makanan dan perlu menjalani latihan yang berlangsung sepanjang hari bersama guru mereka, yang biasanya datang dari individu dilantik kumpulan kongsi gelap yang berkuasa di sana.

Guru-guru inilah yang akan menentukan sama ada kanak-kanak itu layak atau tidak melakukan persembahan di khalayak umum. Setiap seorang kanak-kanak pula dimiliki oleh seorang lelaki, yang bertindak sebagai ketua atau majikannya. Hubungan seksual di antara pelatih dengan pemilik mereka ini akan mula dijalin bagi memastikan kesetiaan seorang bacha bazi kepada tuan mereka terpahat.

Ini kerana apabila mereka dirasakan telah layak menari di depan orang awam, mereka juga akan didagangkan atau lebih tepat dilacurkan....sebagai teman tidur individu yang berkemahuan.

Dijadikan barangan pertukaran individu berkepentingan

bacha bazi afghanistan budaya gelap

Apabila sudah cukup terlatih dan matang, kanak-kanak tadi yang sudah mula mencecah usia remaja akan mula dibenarkan melakukan persembahan.

Untuk setiap persembahan, remaja tadi disolek serta dipakaikan pakaian perempuan bagi menyerlahkan lagi tarikan mereka. Gerakan tarian mereka walaupun ditarikan di depan khalayak lelaki sepenuhnya, sangat-sangat menggiurkan ibarat seorang perempuan seksi sehinggakan ramai di antara penonton yang tidak sabar mahu menerkam bacha bazi yang beraksi.

Sepanjang persembahan, pemilik bacha bazi tadi akan berunding dengan mana-mana penonton yang berminat dengan remaja yang beraksi. Selepas dipersetujui, bacha bazi yang sudah kepenatan menari sepanjang majlis akan perlu pula menuruti lelaki yang telah melanggannya pulang ke rumah. 

Mereka sudah dilatih untuk membenarkan saja apa yang akan diperlakukan kepada mereka malam itu.

Keesokannya, bacha bazi akan kembali ke kediaman pemiliknya bagi meneruskan rutin sama. Mereka dibayar upah atas persembahan atau servis yang telah mereka lakukan oleh pemilik mereka, menjadi sumber pendapatan utama seorang bacha bazi.

Lebih banyak permintaan untuk persembahan, lebih banyak peluang untuk mereka menjana wang ringgit. Atassebab itu jugalah di kalangan bacha bazi sendiri, mereka bersaing antara satu sama lain untuk bergelar bacha bazi popular.

Bagi sesetengah bacha bazi yang tidak tahan dengan apa yang berlaku, sukar untuk mereka melepaskan diri. Kebanyakan bacha bazi yang berjaya lepas lolos, biasanya akan hilang tidak ditemui.

Yang ditemui, majoritinya sudah tidak bernyawa.

Jalan keluar bagi bacha bazi untuk mengubah nasibnya adalah dengan meneruskan saja kariernya sebagai penari, sehinggalah tiba detik di mana wajah dan tubuhnya berubah mula memiliki ciri-ciri lelaki sejati. Apabila misai dan janggut mula memenuhi wajah, kebanyakan bacha bazi akan dilepaskan daripada kontrak mereka.

Selesai berkhidmat, mereka bebas untuk meneruskan hidup sendiri, pulang ke kampung dengan hanya pengalaman menari sebagai portfolio serta terus diganggu mimpi ngeri diperkosa lelaki-lelaki.

Titik hitam masyarakat Afghanistan yang sukar lenyap

bacha bazi afghanistan

Kebangkitan kerajaan Taliban kali pertama di Afghanistan pada dekad 90-an berjaya mengekang masalah ini, menerusi pengharaman tradisi Bacha Bazi. Kerajaan Taliban menetapkan pelaku dan pengamalnya boleh berdepan hukuman mati. 

Namun ekoran kedudukan pemilik-pemilik bacha bazi yang rata-ratanya individu berkuasa dalam masyarakat, tradisi menyimpan remaja lelaki untuk dijadikan santapan mata dan seksualiti ini terus berjalan secara sembunyi.

Kemampuan memiliki bacha bazi bagi sesetengah lelaki di Afghanistan di angkat sebagai simbol kemampuan dan kekuasaan. Adalah tidak menghairankan jika seorang tokoh tempatan di sana mampu menyimpan 2 atau lebih bacha bazi untuk 'kegunaan' peribadi.

Apa yang jelas, tradisi bacha bazi bukanlah sesuatu yang diterima majoriti penduduk Afghanistan. Namun struktur masyarakat mereka yang agak longgar serta ketiadaan penguatkuasaan yang benar-benar bersih terus membenarkan budaya ini berlangsung tanpa penyeliaaan.

Pegawai kerajaan, anggota polis dan individu ternama tidak kekok untuk bersorak dengan mulut berbuih melihat seorang bacha bazi beraksi setiap malam, menghiburkan mereka. Ada di kalangan mereka tidak segan silu berpegangan tangan dengan remaja yang mereka miliki.

Budaya ini sayangnya sudah berakar umbi - sehinggakan ramai di Afghanistan sendiri memilih bacha bazi sebagai jalan terbaik mengelak zina dengan wanita, ekoran kedudukan wanita yang dikongkong dan tersembunyi dalam struktur masyarakat mereka. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)