taliban afghanistan fakta

Sekiranya anda mengikuti berita berkaitan kebangkitan semula kerajaan Taliban di Afghanistan, abesar kemungkinan anda akan dihidangkan dengan berita dan media yang berbaur negatif dalam mencerminkan aspek Taliban kepada anda.

Bermula dengan video-video tular memaparkan penduduk Afghanistan cuba melarikan diri sanggup mengambil risiko berpaut kepada pesawat yang menuju ke Amerika Syarikat - sehinggalah kepada video bagaimana askar Taliban menyeksa penduduk yang cuba menentang mereka, propaganda media menampakkan majoriti penduduk Afghanistan menolak gerakan Taliban.

Tetapi sedarkah anda tentang beberapa fakta yang sebenarnya agak mengelirukan wujud, secara jelas mampu menceritakan situasi yang agak berbeza?

1. 99% masyarakat Afghanistan mahu undang-undang syariah dikekalkan

afghanistan orang syariah undang undang

Kajian Pew Research Centre berkenaan masyarakat Islam dalam tahun 2013 yang telah dijalankan beberapa tahun sebelum Taliban kembali, mendapati hampir 99% responden dari kalangan penduduk Afghanistan mahukan pengekalan/penambahbaikan undang-undang syariah dilakukan di negara mereka.

Angka itu jauh meninggalkan negara-negara lain seperti Iraq (91%), Palestin (89%), Malaysia (86%) dan Pakistan (84%).

Dalam sejarah negara mereka, pengenalan undang-undang berasaskan syariah telah mula diperkenalkan pada awal abad ke 20, sebelum pemerintahan Nadir Shah memperkasakan undang-undang itu pada tahun 1931.

Undang-undang syariah menjadi perkara utama terkandung dalam 110 perkara perlembagaan Afghanistan, membolehkan undang-undang syariah diterima pakai sebagai peraturan rasmi Afghanistan merangkumi kuasa mahkamah dan pentadbiran.

Jadi tidak menghairankan masyarakat Afghanistan sendiri sudah biasa dengan undang-undang bersifat syariah dalam urusan pentadbiran negara mereka, serta tidak mahu bertukar kepada sistem yang berbeza.

2. Hanya 37% warga Afghan percaya undang-undang syariah perlu dilaksana secara sama rata

warga afghanistan

Walaupun kadar keyakinan masyarakat Afghanistan kepada undang-undang syariah sangat tinggi, mereka secara majoritinya atau 67% responden percaya undang-undang itu khasnya perkara yang melibatkan hukuman berpandukan masyarakat Islam - hanya patut dilaksanakan kepada orang Islam sahaja secara eksklusif.

Sekali lagi sejarah Afghanistan sendiri mencerminkan pandangan serupa.

Ketika zaman Raja Amanullah yang memerintah Afghanistan sekitar awal abad ke 20, beliau telah memperkenalkan beberapa perubahan ke atas undang-undang masyarakat mereka selepas mewarisi kuasa pemerintahan dari Raja Amir Abdul Rahman.

Semasa zaman Raja Amir memerintah Afghanistan, beliau memperkenalkan cukai yang hanya dikenakan khas kepada golongan bukan Muslim dikenali sebagai cukai jizya, mirip dengan sistem cukai yang telah diperkenalkan pemerintahan-pemerintahan Islam sebelum itu.

Raja Amanullah selepas menaiki takhta, cuba memperkenalkan beberapa perubahan dan salah satu sumbangan utama beliau kepada masyarakat bukan Islam, adalah dengan menghapuskan cukai tersebut seterusnya mengiktiraf kedudukan komuniti bukan Islam di Afghanistan.

Mereka diberikan kebebasan beragama serta diiktiraf tidak ada beza dengan penduduk Muslim Afghanistan yang lain. 

3. Mereka rasa tidak selamat di negara sendiri

taliban kabul afghanistan

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan oleh Asia Foundation pada tahun 2019 melibatkan lebih 129,000 warga Afghanistan, sebanyak 74.5% daripada responden Afghanistan berasa bimbang dengan tahap keselamatan mereka di negara sendiri.

Apa yang agak membimbangkan, angka ini menampakkan peningkatan tahun ke tahun sejak tahun 2012, yang hanya mencatatkan peratusan 48.2%. Tidak diperjelaskan kenapa perubahan ini berlaku.

Antara aktiviti yang menimbulkan kegusaran di kalangan warga Afghanista yang menimbulkan rasa bimbang mereka adalah ketika menyertai pilihanraya, menyertai tunjuk perasaan atau terserempak dengan individu-individu dari kumpulan Taliban atau ISIS.

Rata-rata responden yang ditemui mengaku mereka lebih takutkan ISIS berbanding Taliban - walaupun mereka sendiri mengakui kadar risiko akan berdepan ancaman yang datang dari ISIS jauh lebih kecil berbanding gerakan Taliban.

Daripada 129 responden, 85.1% responden mengakui mereka tidak lagi merasa empati terhadap perjuangan Taliban dan hanya 13.4% masih menyokong dan percaya kepada perjuangan gerakan tersebut.

Kembalinya Taliban pasti mengejutkan majoriti kumpulan ini.

4. Tahukah anda berapakah purata pendapatan warga Afghanistan?

ekonomi afghanistan

Ekoran daripada situasi perang yang telah membelenggu negara mereka sekian lama, taraf hidup penduduk Afghanistan agak terkebelakang disebabkan pembangunan ekonomi yang gagal dijalankan.

Mereka masih perlu mengukur kadar penambahbaikan status hidup dengan menggunakan pemilikan televisyen sebagai ukuran, di mana 69.3% isi rumah Afghanistan dilaporkan memiliki sekurang-kurangnya satu set televisyen.

Kadar pemilikan televisyen melibatkan isi rumah di negara itu sedang meningkat, khasnya di kawasan yang elok bekalan elektriknya. Purata pendapatan bulanan mereka juga rendah.

Daripada kesemua responden, 23.9% melaporkan purata pendapatan tidak melebihi AFN5,000 (RM247), 65.8% membawa pulang AFN5,001 ke AFN20,000 (RM247 ke RM985) dan 9% lagi mempunyai pendapatan melebihi angka AFN20,000. Adakah itu mencukupi?

Anda buatlah andaian sendiri berpandukan harga barangan keperluan di sana - 1kg beras di sana berharga AFN92, satu dozen telur AFN95, sebuku roti AFN31 dan 1kg daging segar AFN438. 

5. Majoriti warga Afghanistan setuju dengan hukuman bersifat korporal

afghanistan hukuman sebat kesalahan

Masyarakat barat melihat hukuman ke atas pencuri dan penzina iaitu hukuman potong tangan dan sebatan/rejaman batu adalah sesuatu yang barbarik atau kuno serta perlu ditinggalkan.

Bagaimana pula dengan masyarakat Afghanistan?

Dalam kaji selidik yang dijalankan badan Pew Research Centre, didapati majoriti antara mereka berpegang kepada prinsip bahawa kedua-dua kesalahan itu perlulah ditangani dengan hukuman berat sebegitu rupa.

81% masyarakat Afghanistan yang menjadi responden percaya pencuri layak dikenakan hukuman potong tangan sementara 85% percaya hanya hukuman sebat atau rejam setimpal dengan perbuatan zina.

Daripada keseluruhan individu yang dikaji selidik, 84% warga Afghanistan percaya hukuman berpandukan syariah akan membawa kebaikan kepada mereka sementara hanya 13% percaya sebaliknya.

Angka di negara kita tidak jauh berbeza dengan Afghanistan sebenarnya.

66% penduduk Muslim di negara kita bersetuju dengan hukuman potong tangan pencuri dan 60% percaya penzina perlu dihukum berat berdasarkan kajian Pew Research Centre itu. 

Rujukan

Asia Foundation (fail PDF)

The World’s Muslims: Religion, Politics and Society



Hakcipta iluminasi.com (2017)