pekerja melayu di afrika selatan

Walaupun orang Melayu secara majoritinya masih berada di kawasan sekitar perairan Nusantara, melibatkan negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura dan Thailand - wujud juga beberapa kelompok komuniti kecil orang Melayu di daerah lain.

Salah satu komuniti Melayu yang bertapak di luar negara dan pernah kami tuliskan, adalah berkenaan komuniti Melayu Cocos yang tinggal di pulau Cocos Keeling yang berada dalam wilayah Australia.

Bagaimanapun, komuniti orang Melayu yang berhijrah ke luar negara paling terkenal sudah pastilah komuniti di Cape Town, Afrika Selatan. Persoalan yang selalu ditanyakan setiap orang adalah bagaimana mereka boleh berada di sana? Kami cuba kupas serba sedikit tentang sejarah Melayu Cape Town yang sangat unik.

Ketamakan penjajah mengubah dunia

laluan laut voc

Berikutan kemampuan teknologi yang dimiliki masyarakat Eropah, mereka berjaya menjajah negara-negara Afrika sekitar abad ke 15 dan negara yang terletak di benua Asia Tenggara pada abad ke 16. Menggunakan kekuatan ketenteraan mereka serta taktik pecah dan perintah selain daripada membawa masuk pekerja luar ke negara dijajah, penjajahan kuasa Eropah seperti Belanda, Portugis dan Sepanyol mengubah sistem masyarakat Afrika dan Asia Tenggara sehingga kini.

Keperluan perdagangan pada ketika itu dijadikan alasan untuk negara penjajah menakluki negara lain, seterusnya membolehkan mereka menguasai sistem ekonomi zaman tersebut.

Keperluan tenaga buruh pada waktu itu amat tinggi bagi menjayakan rancangan jahat penjajah, jadi cara paling mudah untuk mendapatkan golongan pekerja adalah dengan mengeksport orang ramai sama ada secara paksaan secara terus atau paksaan secara halus, membuatkan jutaan orang dari benua Afrika dan Asia Tenggara di bawa ke sana ke mari dalam memastikan operasi perdagangan penjajah berjalan.

Kedatangan Syarikat India Timur

logo syarikat hindia timur inggeris

Pada awalnya, kawasan sekitar Afrika Selatan kurang terkesan dengan aktiviti penjajahan, berbanding Afrika Barat dan Timur. Bagaimanapun, selepas kedatangan Syarikat India Timur atau lebih dikenali sebagai 'Vereenigde Oost-Indische Compagnie' (VOC), semuanya berubah.

Kedatangan orang Belanda ke kawasan tersebut pada mulanya dengan tujuan membuka pusat perdagangan dan bekalan, bagi mana-mana kapal yang melalui kawasan tersebut. Sebagai membalas jasa baik orang Belanda yang merancakkan kegiatan ekonomi, mereka diberikan tanah untuk diusahakan bagi membolehkan usaha bercucuk tanam dan bertani di jalankan. Namun VOC tidak mahu mengganggu penduduk tempatan, jadi tenaga kerja di situ perlu datang dari luar.

Dalam beberapa hasil kajian yang direkodkan, sebilangan besar mereka yang dibawa ke Afrika Selatan ketika itu, datangnya daripada Asia Tenggara dengan orang Melayu yang berasal daripada Tanah Melayu termasuklah Malaysia dan Indonesia dikerah ke sana. Pendapat mengatakan mereka hadir sebagai tahanan politik, yakni individu yang didapati melawan pemerintah ketika itu dan juga mereka yang dibuang negeri. Ada juga yang dipaksa datang sebagai hamba.

Apa yang dipersetujui adalah majoriti orang Melayu yang dibawa ke sana adalah orang Islam dan kumpulan inilah yang menjadi individu memperkenalkan Islam di Afrika Selatan. Besar jasa mereka.

Walaupun terdiri daripada berbilang kaum, bangsa dan agama - kumpulan individu yang tiba ini diletakkan dalam satu kategori oleh VOC dan digelarkan sebagai 'Melayu Cape' atau 'Cape Malays.' Apa yang lebih membanggakan, majoriti daripada mereka yang dibawa ke sana mempunyai kemahiran masing-masing dalam pelbagai bidang; ada tukang perak, pembuat topi, pembuat kasut, pengukir, tukang batu dan tukang jahit.

Penyebaran Islam ke Afrika Selatan

gambaran ulama mengajar kanak kanak

Kemasukan golongan hamba/tahanan VOC ke Afrika Selatan ini berlaku dalam tempoh yang panjang, dengan anggaran bermula pada tahun 1652 sehinggalah pertengahan abad ke 19, sebelum orang British pula membawa masuk pekerja mereka pada pertengahan abad ke 19 sehinggalah awal abad ke 20.

Majoriti di antara mereka memeluk Islam setelah tiba ke Afrika Selatan, bagi menyesuaikan diri mereka dengan kehidupan baru mereka.

Tokoh yang dikatakan bertanggungjawab membawa kepada perkembangan ini adalah seorang ulama' bernama Sheikh Yusuf yang lahir pada tahun 1626 di Makassar, Sulawesi. Anak seorang bangsawan, Sheikh Yusuf adalah antara individu yang ditahan VOC selepas dia bekerjasama dengan pemerintah Melayu di kawasan beliau, bagi menghalang kemasukan VOC.

lakaran sheikh sheikh yusuf

Berdepan kegagalan, Sheikh Yusof ditangkap dan dibuang negeri ke Ceylon (Sri Lanka sekarang) pada tahun 1683 sebelum diangkut ke Afrika Selatan 11 tahun kemudian. Bagi memastikan pengaruhnya tidak berpanjangan, Sheikh Yusuf bersama dengan keluarga dan 49 orang pengikutnya ditempatkan di sebuah ladang yang terletak agak jauh daripada komuniti pekerja lain.

Usaha ini gagal kerana sedikit demi sedikit, golongan hamba dan tahanan yang ada tertarik dengan ajaran yang dibawa Sheikh Yusuf, menyebabkan Islam mula tersebar dan rumah ladang yang didiami beliau dijadikan markas penyebaran Islam. Gerakan pemberontakan secara halus juga mula dilakukan dan Islam dilihat sebagai ancaman pada penjajah, namun VOC tidak lagi mampu melakukan apa-apa kerana kebergantungan mereka pada golongan pekerja yang ada dan semakin bersatu.

Sheikh Yusuf menghembuskan nafas yang terakhirnya di Afrika Selatan pada tarikh 23 Mei 1699 pada usia 73 tahun, walaupun cubaan untuk membawa dia pulang banyak kali diusahakan keluarganya. Sempena mengingati jasa beliau pada golongan pekerja di situ, mereka beramai-ramai menamakan kawasan itu sebagai Makassar, sempena nama tempat asal beliau dan nama itu lekat sehingga ke hari ini.

Melayu Cape pada hari ini

penempatan orang melayu di afrika selatan

Selepas berakhirnya era penjajahan Eropah, komuniti Melayu yang kini terdiri bukan saja daripada orang Melayu, bahkan orang India dan Afrika yang membesar sebagai orang Melayu - mula keluar daripada kawasan tersebut. Dianggarkan seramai 160 ribu orang berstatus Melayu Cape masih ada di Afrika Selatan dengan majoritinya berada di sebuah pekan bernama Bo-Kaap.

Sumbangan golongan ulama' terdahulu masih dikenang, dengan pekan tersebut mempunyai 25 pusara yang mengelilinginya menyimpan jasad individu penyebar Islam di situ. Menurut kepercayaan masyarakat di sana, pusara-pusara ini adalah pelindung kepada kawasan tersebut daripada bencana alam.

Orang Melayu Cape juga perlu melalui zaman apartheid di mana mereka dipaksa keluar daripada kediaman asal mereka, di bawa berpindah ke kawasan-kawasan yang telah dikhaskan untuk golongan bukan kulit putih, sekitar era 1950-an.

orang melayu cape afrika selatan

Ketika ini, amalan Islam masih menjadi tradisi mereka namun berikutan duduk di tempat orang sudah beratus tahun lamanya, kemampuan berbahasa Melayu di kalangan orang Melayu Cape semakin pudar. Generasi muda Melayu Cape dikatakan tidak lagi menguasai bahasa ibunda mereka serta lebih selesa berbahasa Inggeris dalam pertuturan seharian.

Selain itu, identiti Melayu yang selama ini digunakan dalam penamaan kawasan tempat tinggal mereka juga sudah diubah, seperti nama Bukit Semboyan yang dulu digunakan kini diubah kepada Signal Hill.

Mungkin perubahan itu merupakan sesuatu yang semulajadi dan akan berlaku, akibat peredaran zaman yang harus kita semua terima akan terjadi. Apa yang lebih penting, kisah Melayu Cape merupakan salah satu kisah sejarah yang jelas menunjukkan seburuk apa pun nasib yang menimpa kita - pastikan kita tak lupa menabur jasa pada bangsa dan agama.



Hakcipta iluminasi.com (2017)