Sekitar tahun 1581, telah lahir seorang bayi perempuan bernama Nzinga Mbande atau Ana de Sousa Nzinga Mbande. Kelahirannya ke dunia ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti bayi normal. Legenda menceritakan sewaktu Nzinga dilahirkan, tali pusatnya terbelit pada lehernya.
Pada waktu itu penduduk kampung di situ percaya sekiranya seorang bayi itu dilahirkan dalam keadaan demikian, maka ia akan membesar sebagai seorang yang dihormati serta mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar.
BESARKAN TEKS A- A+
Diceritakan bahawa, seorang wanita alim di kampungnya telah datang berjumpa dan memberitahu ibu Nzinga bahawa anaknya akan membesar menjadi seorang ratu.
Namun, ia sebenarnya bukanlah satu ramalan karut atau tekaan semata-mata. Ini kerana bapa Nzinga adalah Kia Samba iaitu Raja Kerajaan Ndongo, salah satu jajahan Angola yang berpecah belah ketika itu.
Ketika dia membesar, Nzinga adalah seorang yang terkenal kerana pemerintahan ayahnya yang adil. Nzinga menjadi sumber inspirasi rakyat Ndongo dalam perjuangan mereka menentang musuh ketat mereka iaitu Kerajaan Kongo.
Semua ini berlaku sewaktu ketibaan pada mubaligh Portugis yang telah mengenal pasti Angola adalah sebagai sasaran utama untuk perniagaan pemerdagangan hamba abdi. Raja Ndongo pada mulanya bersetuju untuk bekerjasama dengan pendatang Portugis bagi mengatur perdagangan hamba, namun dengan syarat mereka tidak mengganggu rakyatnya.
Walau bagaimanapun, setelah kematian raja, orang Portugis merasakan tiada sebarang alasan untuk mereka terus menghormati perjanjian ini. Mereka telah memenjarakan putera kepada mendiang Raja Ndongo, seterusnya menguasai kerajaan itu.
Nzinga tidak berpuas hati untuk berdiam diri dan membenarkan pihak Portugis terus berkuasa. Dikisahkan bahawa dia telah pergi ke pejabat gabenor Portugis dengan niat bukan sahaja abangnya dikembalikan dengan selamat, bahkan pada masa yang sama melepaskan rakyat Angola daripada perhambaan.
Ketika Nzinga tiba di pejabat gabenor, dia tidak ditawarkan kerusi untuk duduk. Jadi, Nzinga yang pada masa itu mempunyai lebih daripada 50 pelayan lelaki yang berkhidmat untuknya telah mengarahkan salah seorang dari mereka untuk merangkak di atas lantai supaya dia boleh duduk di atas belakang pelayannya itu. Selepas duduk, Nzinga meneruskan rundingannya.
Setelah perbincangan berakhir, Nzinga mengarahkan pelayannya itu untuk berdiri sebelum dia mengerat leher lelaki itu di hadapan gabenor Portugis.
Menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan seseorang yang jauh lebih berkuasa daripada apa yang mereka sangka, gabenor Portugis itu bersetuju dan menyerahkan semula abangnya kepada Nzinga.
Queen Nzingha yang diadaptasi ke filem
Tidak lama selepas itu, abangnya dan juga anak saudara lelakinya telah mati. Para pengkaji sejarah percaya kemungkinan besar Nzinga telah membunuh mereka supaya dia dapat menaiki takhta untuk memerintah Angola.
Sebahagian kajian sejarah yang lain pula menceritakan bahawa abangnya membunuh diri apabila menyedari bahawa keadaan negara itu sudah tidak berupaya dibaik pulih daripada kekacauan permasalahan yang semakin teruk.
Walau bagaimanapun, pada tahun 1624, Nzinga telah menjadi Ratu Ndongo namun tidak dengan begitu mudah tanpa tentangan. Ratu Nzinga mempunyai banyak pesaing politik yang tidak bersetuju dengan idea diperintah oleh seorang wanita dan berusaha untuk mengusirnya keluar dari kerajaan itu.
Ratu Nzinga terpaksa meninggalkan Ndongo dan pada masa yang sama kakaknya menjadi seorang tali barut untuk pemerintah Portugis. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa kakaknya itu berpura-pura dan menjadi perisik kepada Ratu Nzinga. Kakaknya sering memberi maklumat perkembangan yang berlaku di Ndongo ketika Ratu Nzinga dalam pelarian.
Pada tahun 1629, Ratu Nzinga telah menubuh satu koloni di dalam rantau yang sama iaitu kerajaan Matamba. Dia berharap dapat mengalahkan pihak Portugis atau paling tidak membuatkan mereka bersetuju untuk melakukan perjanjian damai.
Dia mula melobi kerajaan Angola untuk mengambil pelarian daripada perdagangan hamba dan dengan kerjasamanya dari tentera Belanda, dia cuba untuk memintas laluan yang digunakan Portugis untuk pemerdagangan hamba dengan menggunakan kekerasan. Disebabkan lokasi Matamba yang dilihat sesuai untuk perdagangan itu, Ratu Nzinga telah berjaya mewujudkan keuntungan kepada kerajaan.
Akhirnya pada tahun 1656, pihak Portugis telah menyerah kalah. Selama lebih dari sedekad lamanya, Ratu Nzinga dan rakyatnya berjaya menghindari daripada dijajah orang Eropah. Kejayaan besar itu kekal untuk satu tempoh yang lama.
Ratu Nzinga meninggal dunia pada tahun 1663 pada usia 80-an. Dia diingati sebagai seorang pemimpin yang disegani dan dihormati di seluruh Afrika. Dia yang juga terkenal kerana tektik perperangannya dan telah diberi penghargaan dengan binaan sebuah tugu peringatan pada tahun 2002. Sebatang jalan utama di Luanda juga telah diberi nama sempena namanya.
Walaupun Angola tidak mencapai kemerdekaan sehinggalah pada tahun 1975, akan tetapi perjuangan yang berlaku di negara itu berakar umbi daripada warisan yang ditinggalkan oleh Ratu Nzinga itu sendiri.