Oleh pada 12 Jul 2018 kategori

Etnik Melayu adalah mereka yang berbahasa Melayu dan mengamalkan budaya bangsa berkenaan. Kebanyakan daripada orang Melayu tinggal Semenanjung Tanah Melayu, timur Sumatra dan pesisiran Borneo, serta beberapa kepulauan berdekatan, secara kolektifnya kawasan ini dikenali sebagai 'dunia Melayu'. Kesemua lokasi ini pada hari ini terdiri daripada beberapa buah negara moden, antaranya termasuklah Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan selatan Thailand.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, ramai tidak pernah menyangka wujudnya bangsa Melayu yang hidup sejak berzaman di lokasi-lokasi lain. Antaranya termasuklah di Afrika, Kemboja dan Australia. Artikel kali ini memberi fokus kepada etnik Melayu yang memanggil Pulau Cocos (Keeling) di Australia sebagai rumah mereka.

Siapakah Melayu Cocos (Cocos Malays)?

keluarga melayu di pulau cocos

kedudukan pulau cocos keeling

Melayu Cocos adalah sebuah komuniti yang paling dominan di Pulau Cocos (Keeling), yang kini merupakan sebahagian daripada negara Australia. Walaupun bukan semua masyarakat di pulau tersebut berbangsa Melayu, kebanyakan mereka kini mengamalkan budaya etnik Melayu. Kebanyakan etnik Melayu di Pulau Cocos sebenarnya berasal daripada beberapa kawasan, antaranya adalah daripada Bali, Bima, Celebes, Madura, Sumbawa, Timor, Sumatra, Pasir-Kutai, Melaka, Penang, Batavia dan Cirebon.

Walaupun kedudukan pulau ini lebih hampir dengan Indonesia berbanding Australia, pentadbiran dan bidang kuasanya adalah di bawah kerajaan 'down under'. Untuk mengetahui mengapa, anda perlu mendalami sejarah pulau tersebut, seperti yang diterangkan di bawah.

Sejarah Perpindahan Bangsa Melayu ke Pulau Cocos (Keeling)

sejarah melayu di pulau cocos

melayu awal di pulau cocos

Etnik Melayu yang terawal sampai ke Pulau Cocos dipercayai dibawa oleh seorang pengembara berbangsa Inggeris, iaitu Alexander Hare. Alexander bersama pasangannya yang berbangsa Melayu, serta hamba abdi daripada etnik yang sama tiba di pulau tersebut pada tahun 1826.

Pada tahun berikutnya, seorang lagi pengembara berbangsa Inggeris iaitu John Clunies-Ross tiba di Pulau Cocos, bersama beberapa immigran Melayu yang lain. Etnik ini dibawa bersama bagi membantu beliau memetik buah kelapa, untuk dijadikan copra (produk berasaskan kelapa) yang kemudiannya dijual. Dengan ladang kelapa yang besar, perniagaan beliau ini diturunkan kepada generasi beliau yang mendatang.

Perpindahan Hak Milik Pulau Cocos (Keeling) kepada Australia

pulau cocos dijual kepada australia

Keluarga Clunies-Ross mendakwa Pulau Cocos adalah milik mereka, dan melalui John Cecil Clunies-Ross (Ross V), mereka akhirnya menjual pulau tersebut kepada kerajaan Australia pada September 1978 pada harga £2.5 juta (bersamaan dengan RM13.4 juta). Sebenarnya penjualan tersebut hanyalah mengikut 'prosedur', dan bayaran bagi penjualan tersebut adalah wang pampasan kepada keluarga berkenaan.

Hal ini kerana kerajaan Australia sebenarnya sudah lama campur tangan dalam pentadbiran pulau itu, sejak daripada tahun 1955 lagi, 23 tahun sebelum ianya 'dijual'. Melalui ugutan, kerajaan Australia akhirnya berjaya 'membeli' pulau berkenaan. Sejak daripada itu, Pulau Cocos berada di bawah kuasa Queen Elizabeth II, melalui wakilnya iaitu Gabenor Jeneral, Administrator Brian Lacy. Jawatan Pengerusi Majlis Kepulauan pula dipegang oleh Haji Wahin bin Bynie. Sehingga tahun 2007, John Cecil dan keluarga tinggal di Perth, Australia.

Bahasa, Budaya dan Agama Masyarakat Melayu Pulau Cocos

Masyarakat Melayu Cocos masih mengamalkan budaya yang dibawa oleh nenek moyang mereka ratusan tahun lalu. Kebanyakan mereka boleh bercakap dalam bahasa Melayu, walaupun bahasa kebangsaan mereka sebenarnya bahasa Inggeris. Walaupun berbahasa Melayu, mereka mempunyai dialek mereka yang tersendiri, sedikit berbeza dengan dialek Melayu Malaysia dan Indonesia, namun masih boleh difahami.

Dari segi budaya, mereka masih mengamalkan cara hidup seperti masyarakat Melayu lain di nusantara. Dari segi agama pula, kebanyakannya juga beragama Islam. Malah, sambutan bulan Ramadhan, Aidilfitri dan Aidiladha di sana tidak kurang gahnya, dan suasana sambutan pula setanding dengan negara Malaysia, walaupun tidak semeriah kita.

Secara statistik, sehingga Julai 2014, populasi Pulau Cocos adalah sebanyak 596 orang, yang terdiri daripada campuran etnik Melayu dan bangsa Eropah. Penduduk pulau ini terdiri daripada 80 peratus Sunni Muslim, dan bakinya terdiri daripada agama-agama lain seperti Kristian.

Media di Pulau Cocos

media di pulau cocos

Pulau Cocos tidak terkecuali daripada mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi dunia, dengan akses kepada beberapa servis komunikasi moden. Televisyen digital mendapat siaran daripada Western Australia melalui satelit. Siapa sangka, sejak tahun 2013, Pulau Cocos menerima 4 siaran saluran televisyen Malaysia melalui satelit, iaitu TV3, ntv7, 8TV dan TV9. Melalui saluran-saluran ini, mereka secara tidak langsung dapat mengikuti perkembangan semasa tentang negara asal nenek moyang mereka.

Pendidikan di Pulau Cocos

pendidikan di pulau cocos

Pulau ini mempunyai sebuah sekolah, iaitu Cocos Islands District High School (CIDHS), dengan pembinaan 2 kampus berasingan di West Island (untuk murid-murid daripada pra-sekolah hinggalah tahun 10) dan di Home Island (untuk murid-murid daripada pra-sekolah sehingga tahun 6). Pentadbiran CIDHS diletakkan di bawah Western Australia Department of Education.

Medium pengajaran adalah dalam bahasa Inggeris di kedua-dua kampus, dengan bantuan cikgu-cikgu Melayu Cocos untuk murid-murid di pra-sekolah dan sekolah rendah. Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa utama di pulau berkenaan, pembelajaran bahasa Inggeris tetap ditekankan.

Berminat tak untuk mengunjungi Pulau Cocos untuk melihat sendiri kehidupan etnik Melayu Cocos, dan melihat perbezaan antara mereka dan Melayu di Malaysia?

Sumber:




Hakcipta iluminasi.com (2017)