kereta motorsikal jenama

Kebanyakan jenama automotif terkenal dunia memfokuskan pengeluaran kenderaan hanya kepada satu kategori, bagi memastikan nama yang dibina sinonim dengan model yang telah dibangunkan selain kekangan bajet.

Bagaimanapun bagi beberapa syarikat, bergelar gergasi automotif kereta dunia saja tidak mencukupi bahkan mereka turut aktif dalam penghasilan jentera dua roda, mengeluarkan motorsikal yang turut mempunyai legasi sendiri.

Tidak banyak jenama berjaya menceburi keluaran kereta dan motorsikal komersial dengan berjaya. Bagi lima jenama di bawah, kejayaan mereka merupakan antara kisah yang membawa keunikan berbeza.

1. Honda

kereta keluaran honda

Tahukah anda Honda syarikat terkenal Jepun yang popular di Malaysia bermula sebagai sebuah pengeluar motorsikal?

Warisan itu diteruskan sehingga ke hari ini, di mana Honda terkenal sebagai pengeluar kereta dan jentera dua roda popular.

Legasi Honda sebagai pengeluar kereta telah terbukti, dengan dua model utama mereka iaitu Honda Civic dan Honda Accord kekal antara lima model paling laris berdasarkan angka jualan keseluruhan di dunia. 

motorsikal jenama honda

Bagi motorsikal pula, rakyat Malaysia mana yang tak kenal dengan Honda EX5 - sebuah jentera motorsikal yang ringkas, terkenal cukup lasak dan tahan lama.

Bagi kategori motor berkuasa tinggi pula, siri Honda CBR yang dikeluarkan dalam beberapa versi menjadi ikon Honda. Selalunya siapa yang dah cuba jenama 'H' ni baik motorsikal atau kereta, jarang nak berpindah ke jenama lain.

Orang kata bawa model H ni, ramai gadis pandang. Entahlah. Penulis tak tau la betul ke tak.

2. BMW

motorsikal produk jenama bmw

Kita semua tahu BMW dari Jerman terkenal sebagai pengeluar kereta mewah dengan harga tak mampu milik.

Bermula sebagai sebuah syarikat pengeluar kapal terbang, BMW berkembang sebagai pengeluar enjin motorsikal sehinggalah mengeluarkan model motorsikal sendiri pertama pada tahun 1923.

Lima tahun kemudian barulah BMW mengeluarkan kereta pertama mereka. BMW menjenamakan semula sebuah kereta berjenama DIXI di bawah jenama sendiri BMW dengan nama model BMW 3/15.

Kita selalu kutuk kereta Malaysia kaki rebadge kan? BMW pun bermula sebagai sebuah syarikat kaki rebadge kereta orang.

Tak ramai mampu memiliki motorsikal keluaran BMW yang mempunyai reputasi tinggi di kalangan peminat jentera dua roda.

Hanya selepas pembangunan motor berkuasa bawah 500cc BMW pertama yang dinamakan sebagai BMW G310R, situasi ini berubah.

Dijual sekitar RM28 ribu di Malaysia, motorsikal BMW mula boleh dijadikan pilihan lebih ramai rakyat kita - hasil kerjasama BMW di Munich dan TVS di India yang bertanggungjawab dalam pengeluaran model bajet tersebut. 

3. Suzuki 

kereta jenama suzuki

Sukar untuk difahami kenapa jenama Suzuki susah hidup lama di Malaysia tak seperti pesaingnya; walaupun kesemua produk mereka layak dikatakan mempunyai keaslian yang jarang ada pada pengeluar lain. 

Industri motorsikal negara kita khasnya dalam model skuter pernah dikuasai dua model kegilaan ramai iaitu Suzuki VS100 dan VS125 - lebih pantas membawa trend baru sebelum jenama-jenama lain berebut mengeluarkan skuter sendiri.

Begitulah juga dengan model FX150 yang mendahului zaman tetapi tidak mendapat sambutan. Samalah nasibnya dengan kereta keluaran Suzuki.

Suzuki Swift satu masa dahulu merupakan antara alternatif paling popular sekiranya anda tidak mahu membeli Perodua Myvi.

Suzuki Jimny masih kekal sebagai antara kenderaan pacuan empat roda paling diingati di Malaysia. Sementara itu kenangan penulis bercanda dengan kawan-kawan universiti menaiki Suzuki Vitara akan terus menjadi memori manis penulis ketika muda.

2022 suzuki motorsikal dan kereta

Sayangnya reputasi Suzuki di Malaysia membawa beban yang agak berat. 'Spare part' susah dapat, barang mahal, pusat servis tak banyak, model terlalu niche.

Tahun 2022 dikatakan bakal menjadi tahun di mana Suzuki bakal melakukan kemunculan semula. Kami harapkan Suzuki berjaya kerana di antara semua jenama Jepun di Malaysia, Suzuki unik kerana produk mereka aneh tak dibuat syarikat lain.

4. Bajaj

bajaj modenas pulsar

Tidak dapat dinafikan nama syarikat Bajaj walaupun masih agak asing di negara kita, sebenarnya sedang berkembang pesat.

Ini berikutan kerjasama syarikat tempatan Modenas yang bertindak membawa masuk motorsikal keluaran Bajaj untuk pasaran Malaysia.

Dijual pada harga yang sangat-sangat-sangat berpatutan, model Modenas/Bajaj Pulsar baik yang berkapasiti 200cc ataupun 400cc mendapat sambutan yang menggalakkan.

Semua ini didorong harganya yang memang bajet sekali serta rekaan motorsikalnya yang tak meniru pihak lain. 

Bajaj beroperasi dari Maharasthra, India bukan saja berkemampuan menghasilkan jentera dua roda sendiri - bahkan mereka menjadikan kenderaan 3 roda sebagai antara produk utama mereka.

beca tiga roda bajaj di jakarta

Bajaj adalah syarikat nombor 1 dunia pengeluar beca berenjin, dengan lebih 53% pengeluaran beca mereka adalah untuk pasaran antarabangsa.

Di Indonesia cukup sinonim masyarakat mereka dengan beca keluaran Bajaj, sehinggakan istilah 'bajaj' digunakan untuk mewakili beca berdasarkan dialek tempatan.

Pada tahun 2010 hasil kerjasama dengan Renault dan Nissan, Bajaj berjaya melancarkan kereta kos rendah pertama mereka iaitu Bajaj Qute yang dijual hanya di India.

Bagaimanapun disebabkan oleh kapasiti enjin yang rendah walaupun mampu membawa empat orang penumpang, kenderaan tersebut hanya dilesenkan untuk kegunaan komersial sebagai pengangkutan awam, tidak dibuka jualannya kepada orang ramai.

5. Peugeot

motorsikal peugeot

Jenama dari Perancis, Peugeot cukup terkenal di Malaysia sebagai pengeluar MPV mewah yang menawarkan harga tidak terlalu mahal dan tidaklah terlalu murah. Sedang-sedang saja.

Model-model seperti MPV 2008 dan 3008 kekal popular di negara kita, menjadi antara kenderaan impian mereka yang sudah berkeluarga.

Tidak lama dahulu, Peugeot mengambil keputusan untuk menghentikan jualan kereta sedan di negara kita; bagi memfokuskan kepada kenderaan berbentuk MPV sahaja.

Selain itu, model motorsikal Peugeot juga setakat apa yang penulis tahu belum pernah dibawa masuk ke dalam pasaran kita secara rasmi walaupun mendapat sambutan baik di pasaran luar.

Sejarah Peugeot pada awalnya bermula sebagai perniagaan besi, sebelum mula membina kereta pertama pada tahun 1889. 

Pada tahun 1898, Peugeot membeli enjin motorsikal dari sebuah syarikat pengeluar enjin bernama De Dion-Bouton, dipasangkan kepada rangka rekaan Peugeot memulakan produksi motorsikal di bawah jenama itu.

Reputasi Peugeot sebagai pengeluar motorsikal beralih selepas menjadi pemilik kepada sebuah syarikat pengeluar motorsikal skuter bernama Automoto, juga dari Perancis.

Teknologi yang dimiliki Automoto dimanfaatkan sepenuhnya Peugeot yang mula menjadikan pengeluaran skuter sebagai fokus utama selain pengeluaran kereta.

Tak cukup dengan kereta dan motorsikal skuter, Peugeot juga turut mempunyai siri produk basikal berteknologi tinggi, meletakkan syarikat Perancis ini sebagai salah satu konglomerat automotif paling besar dari aspek skop keluarannya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)