Sebuah jenama terbangun disebabkan oleh kekuatan produk yang mereka keluarkan. Ada syarikat yang sejak awal fokus dalam menetapkan jenis produk keluaran mereka.
Dalam perspektif berbeza, ada juga syarikat dan nama besar yang secara tak sengaja menemui produk asas mereka - yang akhirnya membawa kejayaan besar seterusnya sinonim dengan nama syarikat mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda beberapa jenama besar yang memulakan langkah perniagaan dalam produk ikonik mereka, secara tidak sengaja? Berikut adalah lima jenama yang terserempak dengan kejayaan yang membawa legasi panjang dunia niaga mereka.
1. Avon
AVON cukup sinonim kepada golongan wanita sebagai antara perintis jualan alat solek secara langsung, menggunakan ejen-ejen jualan bertauliah. Walaupun begitu tahukah anda, AVON bukanlah bermula sebagai sebuah sistem jualan peralatan solekan?
Pengasas AVON, David H.McConnell adalah seorang penjual buku secara jualan langsung. Bagi melariskan buku yang dijualnya, McConnell akan menghadiahkan sampel minyak wangi kepada pembeli sebagai insentif - yang membezakan dirinya dengan jurujual lain.
Namun lama-kelamaan, McConnell menyedari ramai wanita lebih berminat dengan sampel minyak wangi yang diberikan berbanding buku yang dibawa. Jadi McConnell mempelajari kaedah membuat minyak wangi sendiri
Bagi menguruskan perniagaan minyak wangi itu, beliau menubuhkan California Perfume Company (CPC) dan dan melantik pelanggan setianya sebagai ejen jualan.
Bermula dari itulah perniagaan beliau berkembang, sebelum mengeluarkan siri kosmetik Avon pada tahun 1929. Akhirnya nama tersebut melekat, terpilih menggantikan nama CPC sebagai jenama utama pada tahun 1939.
2. Colgate
Anak seorang peladang di England, William Colgate pada usia 6 tahun mengikut keluarganya berpindah ke Baltimore (kini di Amerika Syarikat) bagi memulakan hidup baru. Ayahnya mula mengusahakan pengeluaran sabun dan lilin bersama rakan kongsinya di Delaware, New York.
Bagi memastikan William tahu proses penghasilannya, beliau dihantar ayahnya ke New York pada usia 21 tahun untuk menjadi pembantu di kilang lilin.
Semasa bekerja di sinilah William berjaya mengenalpasti kesilapan proses penghasilan yang diamalkan, sehingga mampu memperbaiki kelemahan yang ada. Selepas tamat kontraknya di situ, William membuka kedai sendiri menjual sabun dan lilin pada tahun 1806.
Perniagaannya berkembang sehingga mampu memiliki kilang sendiri. Model perniagaan itu kekal sehinggalah pada tahun 1873, apabila syarikat yang dibangunkan Colgate mula mengeluarkan ubat gigi sendiri - mengekalkan nama pengasas syarikat mereka sebagai jenama.
Sehingga kini sebut Colgate, orang akan terbayangkan ubat gigi. Tetapi tak ramai tahu, Colgate juga pernah cuba mengeluarkan produk makanan satu ketika dulu.
3. Nokia
Nokia kini tidak lagi menguasai pasaran telefon seperti beberapa dekad dahulu, namun jenama tersebut kekal mempunyai peminat setianya sendiri. Pernah tak anda terfikir dari mana Nokia mendapat nama?
Pada tahun 1865, seorang jurutera lombong bernama Fredrik Idestam membuka sebuah kilang kecil memproses pulpa kayu untuk dijadikan kertas ketika Finland masih dikuasai Empayar Russia.
Disebabkan perniagaannya yang berkembang, Idestam memilih untuk membuka sebuah lagi kilang di pekan Nokia, terletak bersebelahan Sungai Nokianvirta bagi memudahkan kilang tersebut mendapat sumber air.
Idestam memilih untuk menamakan semula syarikatnya mengikut lokasi baru tersebut, dinamakan sebagai 'Nokia AB'. Selepas Idestam bersara, pengurusan baru Nokia menjadikan perniagaan janakuasa hidroelektrik sebagai tunjang perniagaan mereka pada tahun 1902.
Dalam erti kata lain, Nokia bermula sebagai sebuah kilang kertas.
4. Mattel
Pasangan Elliot dan Ruth Handler bertemu semasa remaja, memilih untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun 1938. Bagi menyara hidup, Elliot menggunakan kemahirannya sebagai seorang pereka mengkaji bahan yang boleh digunakan untuk merekabentuk sesuatu produk.
Beliau mengambil keputusan untuk menggunakan bahan plastik 'lucite' atau 'plexiglass' yang pada ketika itu baru diperkenalkan, untuk penghasilan bingkai gambar. Bingkai gambar yang dihasilkan kemudiannya akan dijual oleh Ruth.
Hasil gabungan kerjasama kedua-dua suami isteri ini yang tampak boleh pergi jauh, membolehkan Elliot memberanikan diri mendaftarkan perniagaan di bawah syarikat Elliot Handler Plastics pada tahun 1939.
Bagi memperkemaskan lagi operasi, Elliot dan Ruth menjemput rakan mereka Harold Mattson menyertai mereka, memulakan 'Mattel Creations' sempena gabungan nama 'Mattson' dan 'Elliot.'
Bingkai gambar yang terhasil bagaimanapun menyebabkan banyak sisa kayu terbuang tidak digunakan. Elliot berjaya menemui jalan mengguna pakai semula kayu yang ada, untuk dijadikan rumah anak patung yang akhirnya mengubah konsep perniagaan Mattel kepada produk permainan.
5. 3M
Sekiranya produk peralatan pertukangan rumah, nama 3M merupakan antara nama yang cukup dipercayai khasnya apabila berkaitan pita pelekat. Tetapi pasti ramai akan terkejut apabila anda mengetahui apakah makna sebenar 3M.
3M merupakan singkatan daripada 'Minnesota Mining and Manufacturing Company' yang bertanggungjawab melombong dan menggali mineral hasil bumi 'korundum', untuk kegunaan industri berat pada tahun 1902. Korundum adalah bahan yang akan diguna dalam penghasilan kertas pasir dan roda pemotong.
Malang bagi syarikat tersebut, usaha mereka melombong korundum berdepan kegagalan, menyebabkan syarikat tersebut perlu menanggung hutang tinggi sebelum diselamatkan pelabur asal syarikat tersebut, Edgar Ober yang berjaya memujuk rakannya Lucius Ordway untuk turut sama melabur.
3M menukar model perniagaan, mula mengeluarkan kertas pasir sendiri serta terlibat dalam permulaan bermulanya industri kereta, sebagai pembekal.
Menerima pelbagai permintaan daripada pelanggan, 3M mula melabur dalam pembangunan penyelidikan bagi menaik taraf kertas pasir mereka, berjaya membuatkan produk mereka kalis air, datang dalam pelbagai gred serta tidak menghasilkan habuk.
Semasa menguji keberkesanan kertas pasir mereka di dalam kilang kereta,seorang pembantu makmal 3M bernama Richard Drew mendapati pekerja yang mengecat kereta menghadapi kesukaran mengasingkan dua warna yang berbeza ekoran ketiadaan pita yang sesuai serta tidak menjejaskan cat yang telah disapu.
Kesukaran itu dilaporkan oleh Drew kepada pengurusan 3M, yang mengeluarkan belanja untuk kajian selama lebih dua tahun membangunkan produk pita pelekat pertama mereka khusus untuk kegunaan pada badan kereta pada tahun 1925.
Produk tersebut menjadi sangat popular ekoran keberkesanannya, sehingga menjadi identiti kepada syarikat yang pada asalnya adalah sebuah syarikat perlombongan yang gagal.