Dr. Martens merupakan jenama popular dari UK bagi but berkualiti tinggi. Kasut ini juga dikenali oleh penggemarnya dengan pelbagai gelaran seperti Doctor Martens, Doc Martens, DMs ataupun Docs dan biasanya mudah dikenali dengan jaluran bebenang berwarna kuning di sekeliling kasut ini.

Ketika era 90-an dan 20-an, kasut Dr. Martens begitu popular dalam kalangan remaja di Malaysia, terutamanya bagi ahli kumpulan skinhead. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi sedikit sebanyak info mengenai jenama Dr. Martens yang masih mempunyai peminatnya yang tersendiri ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dicipta oleh seorang doktor dari Jerman

dr martens logo

Walaupun kasut ini dihasilkan di United Kingdom (UK), mungkin tidak ramai yang tahu bahawa pengasas kasut ini adalah Klaus Martens, seorang doktor yang berasal dari Jerman yang bertugas ketika zaman Perang Dunia Kedua. Ketika sedang bercuti, beliau telah pergi ke kawasan pergununngan Bavarian untuk aktiviti ski.

Malangnya, kaki beliau telah tercedera dan akibatnya beliau berasa tidak selesa untuk memakai kembali but askarnya yang keras itu. Bagi mengatasi masalah ini, beliau telah membuat sedikit perubahan kepada kasutnya agar lebih selesa dengan kakinya yang tercedera itu. Antara perubahan yang dilakukan adalah membuat tapak kasutnya itu dengan tayar yang lebih lembut.

dr martens vintage

Apabila perang telah tamat, beliau telah mengambil kulit daripada kedai membuat kasut dan mula merekabentuk kasutnya sendiri. Masih menggunakan tayar sebagai tapaknya, kasut ciptaannya itu didakwa lebih lembut dan tahan lama. Beliau mula menjual kasut ciptaannya itu namun jualannya tidak begitu membanggakan.

Segalanya berubah apabila beliau bertemu rakan sepengajiannya di universiti satu ketika dahulu iaitu Herbert Funck di Munich pada tahun 1947. Rakannya itu amat tertarik dengan rekabentuk dan konsep kasut tersebut dan telah bersetuju untuk membangunkan bisnes menjual kasut tersebut.

Pada peringkat awal, kasut Dr. Marten mula mendapat tempat terutamanya dalam kalangan wanita yang berusia 40 tahun dan ke atas.

Penjualan di United Kingdom

dr martens original

Antara keunikan utama kasut Dr. Martens adalah jaluran bebenang berwarna kuning di sekeliling kasut. Walau bagaimanapun, jaluran benang kuning ini bukanlah idea asal Dr. Marten, sebaliknya idea syarikat pembuat kasut yang berpangkalan di British, iaitu R. Griggs Group Ltd.

Pada tahun 1952, jualan kasut ini semakin memberangsangkan sehingga membolehkan kedua orang rakan niaga ini membina kilang membuat kasut di Munich. Menjelang 1959, Dr. Martens dan rakannya ini mula mengorak langkah untuk meluaskan lagi penjualan kasut mereka ke peringkat antarabangsa.

Menyedari akan potensi kasut Dr. Martens ini, R. Griggs Group Ltd. iaitu syarikat yang berpangkalan di UK telah membeli hakcipta untuk membuat dan menjual kasut ini di pasaran UK. Syarikat ini kemudiannya telah melakukan sedikit perubahan rekabentuk pada bahagian tumit kasut ini agar ianya lebih selesa, menambah jaluran benang kuning dan meletakkan tanda dagangan tapak kasut ini sebagai AirWair.

peminat kasut dr martens

Kasut pertama Dr. Martens yang dijual di UK dijual pada 1 April 1960 dan dikenali sebagai model 1460. Kasut model ini dikatakan masih lagi dihasilkan dan dijual di UK namun kuantitinya begitu sedikit sekali. Pada peringkat awal, kasut ini digemari oleh anggota polis, posmen dan pekerja kilang.

Pada 1960-an, kasut ini mula dipakai oleh golongan skinhead dan hal ini terus meningkatkan populariti kasut ini. Populariti kasut ini dalam kalangan golongan skinhead menyebabkan pemakainya sering dikaitkan dengan imej ganas dan memberontak kumpulan skinhead.

Menjelang hujung 1970-an, kasut Dr. Martens mula mendapat tempat dalam kumpulan pemuzik, punk dan pelbagai lagi kumpulan subkultur. Pada tahun 1990-an, kasut ini kembali popular dengan kewujudan fesyen grunge yang wujud ketika itu.

Keunikan kasut Dr. Martens

Antara keunikan utama kasut ini adalah tapaknya yang lembut, dikenali dengan nama " Bouncing Soles". Malah, tapaknya ini juga dikatakan kalis minyak, asid, petrol dan alkali. Bagi memastikan tapaknya ini tidak tercabut, ianya akan dicairkan dan dipasang pada kasut ini. Sila tonton dokumentari berdurasi 7 minit diatas untuk memahami proses unik ini.

Selain itu, kasut ini juga diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi. Rekaannya juga sesuai untuk dipakai sewaktu pergi bekerja atau sekadar berjalan-jalan. Malah, kini terdapat puluhan model kasut ini sesuai dengan semua peringkat umur dan tujuan.

Pada tahun 2003, akibat daripada penurunan jumlah jualan kasut ini, operasi penghasilan kasut ini telah dipindahkan ke Thailand dan China bagi mengurangkan kos. Oleh itu, tulisan "Made in England" telah dibuang daripada tapak kasut ini.

dr martens made in england

Walau bagaimanapun, pada tahun 2004, kilang syarikat ini yang terletak di Cobb's Lane kembali membuat kasut ini terutamanya bagi peminat yang mahukan kasut "Made In England" yang dianggap lebih unik dan original.

Kasut yang diperbuat disini lebih mahal, iaitu sekitar $200 bagi sepasang kasut. Walaubagaimanapun, ianya merupakan buatan tangan. Dengan kualiti dan ketahanannya, harga tersebut mungkin berbaloi bagi peminat tegar jenama ini. Pengeluaran kasut Dr. Martens ini juga begitu terhad setiap tahun tetapi anda boleh membelinya secara dalam talian di laman web rasmi Dr. Martens.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)