Oleh pada 02 Mar 2018 kategori

Pada akhir 1950-an, seorang jurulatih veteran, Bill Bowerman, tidak berpuas hati dengan kasut lari yang dijual di pasaran yang diperbuat daripada kulit dan logam yang berat. Dia mula mencari jalan dan sering memikirkan cara untuk mengurangkan berat kasut untuk membantu pelari memecut dengan mudah.

Bowerman ketika itu juga merupakan seorang mentor, jurulatih dan juga rakan kepada Phil Knight, iaitu rakan kongsinya dalam syarikat Blue Ribbon Sports yang menjadi pelopor kepada jenama Nike. Keyakinan Knight dan inovasi Bowerman telah menjadikan Nike sebagai salah satu jenama paling dikenali di dunia sehingga ke hari ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bowerman mula bermain-main dengan kasut lari sejak tahun 50-an apabila beliau menghantar kertas cadangan kepada beberapa syarikat kasut tentang idea untuk menambah baik kasut bagi para atlet balapan. Nasib tidak menyebelahi Bowerman apabila tidak ada satu pun syarikat yang menerima ideanya itu. Walaupun berasa kecewa, ia tidak mematahkan semangat Bowerman. Jadi, beliau telah mengambil inisiatif sendiri mempelajari cara membuat kasut dengan tunjuk ajar daripada tukang kasut tempatan.

bill bowerman pengasas nike

Phil Knight menjadi atlet pertama yang mencuba kasut yang dihasilkan oleh Bowerman. Pelari muda itu mencuba kasut Bowerman semasa satu sesi latihan namun tidak dapat mencubanya untuk tempoh yang lama. Ini disebabkan rakan sepasukannya, Otis Davis ternampak prototaip kasut tersebut dan ingin mencubanya. Davis amat menyukai kasut tersebut hingga tidak mahu memulangkannya kepada Knight. Malah, Davis memakai kasut Bowerman ketika menyertai Sukan Olimpik pada tahun 1960 dan memenangi pingat emas dalam acara 400 meter.

nike phil knight kasut sejarah nike

Dari situ, Bowerman telah mula menerima tempahan kasut mengikut saiz kaki atlet. Beliau akan melukis bentuk kaki mereka, mengukur kelebaran tapak kaki dan mengambil kira kesesuaian kaki seperti buku lali tirus atau tumit lebar. Bowerman bereksperimen dengan pelbagai jenis tekstil untuk mencari bahan yang paling ideal, ringan, tahan lasak dan boleh diregangkan. Daripada kulit kanggaru, belulang rusa, kulit ular sehinggalah sisik ikan, beliau berjaya menghasilkan sepasang rekaan baru setiap minggu. Pada masa yang sama, beliau berterusan mencari syarikat yang berminat untuk bekerjasama dengannya namun masih menemui jalan buntu.

Ketika itu, menurut Bowerman, kasut lari terbaik adalah yang dihasilkan oleh orang Jerman. Namun, beliau yakin bahawa kasutnya adalah yang terbaik dalam dunia kerana mempunyai tapak kasut yang bagus. Tetapi apakan daya, tiada satu pun syarikat kasut Amerika yang ingin mengilangkan kasutnya.

bill bowerman and phil knight at oregon native 1600

Langit tidak mendung berpanjangan bagi Bowerman. Peluang akhirnya terbuka luas apabila Knight telah dapat menghubungi Onitsuka pada tahun 1964. Knight percaya yang kasut buatan Jepun yang murah adalah setanding dengan kasut Jerman yang mahal. Kedua-dua rakan kongsi ini mula melabur dalam perniagaan mengimport dan menjual kasut sukan dari Jepun, sekali gus membuka ruang untuk Bowerman mengetengahkan ideanya.

Bowerman menghabiskan musim panas dengan mereka bentuk kasut dan terus menuju ke Tokyo pada bulan Oktober bersama isterinya, Barbara untuk menghadiri acara Sukan Olimpik 1964 di mana ada tiga orang pelari dari Oregon bertanding. Bowerman dan isterinya tinggal seminggu lebih lama untuk berjumpa dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Onitsuka iaitu Kihachiro Onitsuka dan juga S. Morimoto iaitu seorang eksekutif syarikat.

bowerman with oregon track athlete circa 1969 native 1600

Bowerman menyampaikan idea-idea bernasnya sambil melawat kilang kasut untuk belajar tentang mesin memotong dan menjahit kasut. Setelah yakin dengan proses pembuatan kasut Jepun yang dipelajari dan mempunyai hubungan erat dengan kedua-dua pemimpin syarikat itu, beliau pulang ke tanah air untuk mencipta prototaip baru.

Kejayaan pertama Bowerman dengan kasut Tiger muncul pada musim bunga berikutnya, pada tahun 1965 pada satu pertemuan acara balapan. Semasa pertemuan itu, pelari jarak jauh dari University of Oregon dan pelari maraton Olimpik, Kenny Moore memecut dalam perlumbaan 880 meter dan ingin memotong rakan sepasukannya. Moore tersilap langkah dan terjatuh hingga menyebabkan kecederaan tegasan patah yang berpunca daripada pepaku kasut. Kecederaan inilah yang memberikan idea bernas kepada Bowerman.

bill bowerman phil knight 2

Semasa Moore sedang dalam proses pemulihan, beliau berlatih dengan memakai Onitsuka Tiger TG-22 iaitu kasut lompat tinggi yang tersilap dijual sebagai kasut lari oleh Blue Ribbon Sports. Apabila keputusan X-ray Moore menunjukkan tulang metatarsus ketiganya patah, Bowerman meminta untuk melihat kasutnya dan mengkaji anatomi kasut tersebut. Kasut itu mempunyai span kusyen di bahagian tumit dan bahagian depan kaki namun tidak mempunyai sokongan lengkuk.

Bowerman kemudian mencipta satu prototaip baru untuk membetulkan kasut TG-22 itu. Beliau meletakkan kusyen di bahagian dalam kasut dengan span getah lembut di bahagian depan kaki serta getah keras di bahagian tengah kaki selain memasang tapak kasut getah. Pada bulan Jun 1965, beliau menghantar sampel kasut itu beserta arahan pembuatan kepada Onitsuka.

blue ribbon sports ad marketing onitsuka tiger sneakers sejarah asal usul nike

Kasut yang dinamakan Tiger Cortez itu disukai oleh semua orang. Ia merupakan kasut pertama yang stabil dan selesa dipakai di atas jalan. Rupa bentuknya juga amat 'cool' sehinggakan ia bukan sekadar menjadi kasut lari malah kasut berfesyen rakyat Amerika.

Apabila Knight dan Bowerman mengambil keputusan menghentikan import dan edaran kasut melalui Blue Ribbon Sports, mereka melancarkan Nike sebagai jenama kasut sukan. Bowerman juga telah mendapatkan paten bagi hasil inovasinya dengan bahagian dalam kusyen tapak kasut Cortez. Pada bulan Julai 1973, Runner's World telah menggelarkan Nike Cortez sebagai kasut lari jarak jauh paling popular di Amerika Syarikat.

nike cortez kasut pertama 2

Nike Cortez hanyalah permulaan bagi Bowerman. Beliau kemudian mencari peluang untuk mereka sepasang kasut dengan cengkaman hebat di atas pelbagai permukaan, tanpa pepaku besi. Ideanya datang ketika sedang bersarapan apabila menuang sirap mapel ke atas wafel.

Semasa acara balapan dan padang Sukan Olimpik 1972, mereka mula mengedarkan kasut rekaan baru Bowerman dengan tapak kasut berbentuk wafel itu kepada para atlet semasa sesi latihan. Lelaran pertama dikatakan agak kasar namun para pelari suka cengkaman tapak kasut wafel itu. Bowerman kemudian memperhalusi konsep itu dan berjaya menghasilkan kasut Waffle Trainer yang ikonik pada tahun 1974.

nike waffle trainer sejarah

Legasi Bowerman sebagai pemikir dan orang yang membawa pembaharuan akan sentiasa dikaitkan dengan tapak kasut wafel Nike. Pelbagai versi wafel itu masih diguna pakai dalam rekaan kasut Nike hari ini, sama seperti inovasi Bowerman yang lain termasuklah kusyen di bahagian tumit, bahagian atas kasut yang diperbuat menggunakan nilon dan juga paten-paten yang lain.

Pada tahun 1979, mereka melancarkan pula teknologi Nike Air. Ini membolehkan mereka menguatkan lagi kewujudan sebagai pesaing kuat dalam industri kasut sukan. Perkembangan Nike adalah sangat drastik dan pantas hingga membolehkan mereka tersenarai sebagai saham terbitan awam pada penghujung 1980. Tidak lama kemudian, jenama kasut mereka menjadi popular di kalangan penggemar sukan sehingga berjaya menjadi pembekal no. 1 kasut sukan di Amerika Syarikat bermula tahun 1982.

Logo jenama Nike "Swoosh" dan slogan "Just Do It" telah menjadi lambang yang begitu sinonim bagi rakyat Amerika. Pada tahun 1985, mereka memulakan rekaan kasut signature bagi seorang pemain rookie NBA iaitu Michael Jordan. Populariti Jordan yang sedang meningkat telah melonjakkan jualan kasut Nike sehingga memecah rekod.

logo sejarah nike

Dari situ, Nike mula menceburkan diri dengan rekaan pakaian dan aksesori. Mereka mula menandatangani kontrak dengan pelbagai pasukan antarabangsa seperti pasukan bola sepak Brazil dan pasukan bola sepak lelaki dan wanita Amerika Syarikat. Pada tahun 1996, lagi sekali mereka mengambil seorang lagi atlet rookie iaitu pemain golf Tiger Woods dengan bayaran sebanyak USD5 juta setahun. Kisah selebihnya tidak perlu diceritakan lagi.

sejarah jenama nike

Nike secara terus-menerus melancarkan edisi baru kasut sukan di bawah jenama itu. Mereka membangunkan Nike Shox pada tahun 2000 yang diterima baik oleh masyarakat. Hari ini, Nike merupakan satu empayar gergasi yang menyatukan pelbagai sukan seperti tenis, bola sepak, kriket dan besbol di bawah satu bumbung.

Keinginan Bill Bowerman untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan inovasi perniagaan Phil Knight telah menjadikan Nike salah satu syarikat yang paling menguntungkan dan paling dikenali dalam sejarah dunia. Pada 2012, pendapatan tahunannya telah melebihi USD24 bilion. 

bill bowerman phil knight

Nike mengambil alih dan menjual banyak syarikat sepanjang perjalanannya menuju kejayaan. Salah satunya adalah Umbro. Kini, Nike mempunyai dua anak syarikat iaitu Converse Inc. dan Hurley International.

Dengan bilangan pekerja melebihi 44,000 orang dan nilai jenama itu sendiri yang dianggarkan sekitar USD10 bilion, Nike merupakan hasil usaha inovasi yang berterusan selain pelaburan yang tepat. Maka, tidak hairanlah ia mampu menjana keuntungan sehingga ratusan juta dolar saban tahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)