vlc media player

Logo adalah lambang kepada sesuatu jenama. Ia biasanya mentakrifkan tentang apa yang diperjuangkan syarikat itu dan bagaimana pengguna boleh mengaitkan diri mereka dengan jenama tersebut. Ada sesetengah syarikat sanggup menghabiskan sejumlah wang yang besar dalam rekaan logo mereka supaya dapat memiliki logo yang unik agar nampak menonjol berbanding pesaing mereka.

Namun, tahukah anda sejarah mengenai beberapa logo jenama terkenal dunia ini yang selalu kita lihat? Berikut adalah beberapa daripada logo yang menjadi lambang kepada jenama terkenal dunia dan sejarah di sebalik penciptaannya yang jarang diketahui ramai.

9. VLC Media Player

vlc media player

Bagi kebanyakan pengguna komputer, anda pasti pernah menggunakan perisian VLC Media Player untuk menonton filem. Perisian terkenal ini menggunakan kon trafik sebagai logo mereka. Namun, tidak ramai tahu mengapakah perisian ini menggunakan kon trafik yang dilihat tidak ada kena mengena dengan nama atau ciri-ciri perisian itu.

Perisian ini sebenarnya dicipta oleh Persatuan Pelajar Rangkaian Ecole Centrale dari ViaRézo Association. Mereka sering keluar minum bersama sehingga mabuk dan pulang dengan kon trafik yang dicuri mereka.

vlc media player

kredit gambar hxsm

Mereka mencuri banyak kon trafik sehingga mempunyai koleksi kon trafik sendiri. Apabila mereka mula membangunkan perisian VideoLAN yang kemudian ditukar nama kepada VLC Media Player, mereka menjadikan kon trafik ini sebagai logo mereka.

8. Domino's Pizza

domino s pizza 695

Pada awalnya, Domino's Pizza dikenali dengan nama DomiNick's, sebuah kedai pizza kecil yang dibeli oleh Tom Monaghan dan abangnya James. Mereka secara bergilir-gilir menjaga kedai pizza itu tetapi James tidak mahu melepaskan kerja tetapnya sebagai seorang posmen. Dia kemudian menjual bahagiannya kepada adiknya, Tom.

Pada tahun 1965, Tom telah membeli dua lagi kedai pizza untuk meluaskan perniagaannya. Dia mahu ketiga-tiga kedai pizzanya itu mempunyai jenama yang sama tetapi pemilik asal DomiNick's melarangnya daripada menggunakan nama itu. Tom kemudian menamakan kedai pizzanya sebagai Domino's Pizza.

Memandangkan Tom hanya mempunyai 3 cawangan sahaja, dia meletakkan tiga titik pada logo jenama baru itu dan bercadang akan menambah setiap titik untuk cawangan barunya. Akan tetapi, rancangan itu tidak berjaya apabila perniagaannya berkembang dengan begitu pesat. Sekiranya dia meneruskan juga ideanya itu, Domino's Pizza kini mempunyai lebih daripada 13,000 titik pada logonya.

7. Walt Disney

walt disney

Logo Walt Disney ini dikenali oleh orang ramai di seluruh dunia pada semua peringkat umur. Pada asalnya, logo ini hanya memaparkan tulisan "Walt Disney" sahaja sebelum ditambahkan latar belakang istana padanya.

Ramai yang percaya logo asal itu adalah tandatangan kepada pemilik syarikat hiburan itu sendiri iaitu Walt Disney. Namun, hakikatnya ia adalah rekaan sekumpulan para pekerjanya. Ketika syarikat itu semakin berkembang, Walt tidak mempunyai masa untuk menandatangani kesemua surat peminat yang dihantarkan kepadanya.

Dia kemudian mengarahkan beberapa orang pekerjanya untuk melakukan tandatangan untuknya. Pada tahun 1940-an, satu tandatangan yang diolah pekerja-pekerjanya menjadi begitu terkenal sehingga dijadikan logo syarikat itu. Malah, Walt Disney sendiri sukar untuk meniru "tandatangannya" sendiri.

6. Bluetooth

bluetooth

Syarikat Ericsson telah menamakan teknologi revolusi mereka sebagai "Bluetooth" diinspirasikan oleh Raja Harald Bluetooh iaitu pemerintah Denmark antara tahun 958 hingga 986 Masihi. Semasa pemerintahannya, raja itu memperkenalkan agama Kristian di Denmark dan Norway sehingga menjadi penyumbang kepada penyatuan pelbagai kaum di bawah satu pemerintahan.

Analogi ini diambil oleh Ericsson kerana teknologi tanpa wayar mereka juga membolehkan penyatuan pelbagai peranti untuk berkomunikasi dengan lebih mudah. Manakala bagi logo Bluetooth itu pula, mereka menggunakan gabungan pengenalan diri Raja Harald Bluetooth itu dalam abjad lama Scandinavia iaitu ᚼ (Hagall) dan ᛒ (Bjarkan).

5. Ferrari

logo ferrari

Bagi penggemar kereta sport, Ferrari merupakan salah satu jenama yang begitu gah sekali. Begitu juga dengan logo kuda berdiri yang menjadi lambang kepada pengeluar kereta berkuasa tinggi dari Itali itu.

Apa yang tidak ketahui ramai, logo kuda itu pada asalnya digunakan untuk oleh seorang juruterbang terhebat Pasukan Tentera Udara Itali iaitu Count Francesco Baracca. Dia yang terkorban semasa Perang Dunia Pertama itu mempunyai rekod 34 kali menang ketika berhadapan satu lawan satu dengan musuh dan banyak lagi kemenangan secara berpasukan.

Apabila pemilik Ferrari iaitu Enzo Ferrari bertemu dengan orang tua Francesco, ibunya mencadangkan agar Enzo menggunakan simbol kuda Francesco pada kereta keluaran syarikatnya agar membawa tuah. Hanya 12 tahun kemudian barulah Enzo Ferrari menggunakan logo kuda itu pada kereta Scuderia di perlumbaan SPA 24 Jam pada tahun 1932 dan Ferrari telah menjuarai perlumbaan tersebut. Sejak itu, lambang kuda itu kekal menjadi logo Ferrari.

4. Apple

logo apple

Terdapat pelbagai kisah di sebalik logo Apple ini. Antara kisah yang dipercayai ramai adalah logo Apple direka sebagai penghargaan kepada Alan Turing, seorang pakar matematik dan sains yang ideanya membawa kepada penciptaan komputer dan AI. Alan Turing berasa malu dengan homoseksualitinya dan telah membunuh diri dengan memakan epal yang disaluti sianida pada tahun 1954. Disebabkan itu logo Apple juga mempunyai kesan gigitan. Ada juga pihak mendakwa bahawa Alan memakan epal beracun itu tanpa disengajakan.

Namun, pada tahun 2009, satu temubual CreativeBits bersama pereka logo Apple iaitu Rob Janoff, telah menafikan semua mitos yang berlegar mengenai logo itu. Janoff mendakwa bahawa kesan gigitan pada buah epal itu hanya untuk tujuan skala sahaja. Ini kerana pada skala yang lebih kecil, logo epal tanpa gigitan akan kelihatan seakan-akan buah ceri. Mereka menambah kesan gigitan itu supaya ia masih kelihatan seperti sebuah epal berbanding ceri walaupun bersaiz kecil.

3. Baskin-Robbins

baskin robbin 650

Baskin-Robbins merupakan salah satu jenama aiskrim paling terkenal di seluruh dunia. Jenama itu mula dicipta apabila dua peniaga aiskrim iaitu Burt's Ice Cream milik Burt Baskin dan Snowbird Ice Cream milik Irv Robbins bergabung. Setelah bergabung, satu agensi pengiklanan iaitu Carson-Roberts telah memberi cadangan agar Baskin-Robbins menghasilkan 31 perisa aiskrim supada pelanggan dapat merasai satu perisa setiap hari selama sebulan.

Pada awalnya, logo asal Baskin-Robbins meletakkan nombor itu berasingan dengan nama syarikat itu tetapi setelah mengubah semula logo mereka pada tahun 2007, mereka telah memasukkan nombor 31 itu pada huruf "B dan R" yang menjadi singkatan nama syarikat itu.

2. McDonald

restoran mcdonald yang pertama 183

Ketika dua beradik Richard dan Maurice McDonald memutuskan untuk menaik taraf restoran burger mereka, mereka telah mengupah Stanley Clark Meston sebagai pereka bangunan baru mereka itu. Richard McDonald kemudian membuat lakaran dua gerbang separa bulatan yang difikirnya akan menarik perhatian orang ramai yang melalui restorannya itu. 

Arkitek Meston kemudiannya mengubah lakaran itu menjadi tiang melengkung berwarna emas setinggi 25 kaki, dengan lampu neon meneranginya. Jika dilihat daripada sudut tertentu, dua gerbang emas itu kelihatan seakan huruf "M". Apabila Ray Kroc mengambil alih perniagaan itu pada tahun 1961, rekaan gerbang emas yang unik itu telah dimasukkan menjadi logo korporat restoran itu. Maka, lahirlah logo yang menjadi ikon terkenal di seluruh dunia itu.

1. Nike

nike logo

Logo Swoosh syarikat pakaian dan alatan sukan terkenal Nike yang melambangkan Dewi Kemenangan Greek itu sebenarnya direka oleh seorang pelajar rekaan untuk bayaran sebanyak RM 140. Logo Swoosh itu direka oleh Carolyn Davidson ketika dia sedang menuntut di Portland State University dalam bidang Rekaan Grafik. Salah seorang pengasas Nike iaitu Phil Knight pada ketika itu adalah seorang guru perakaunan yang mengajar di situ.

Phil terdengar bahawa Carolyn ingin mencari wang saku yang lebih bagi membiayai yuran kelas lukisan minyaknya. Phil kemudian menawarkan Carolyn untuk mencipta logo bagi syarikat barunya dengan bayaran sebanyak RM 8 sejam. Carolyn telah menghasilkan beberapa rekaan tetapi logo Swoosh yang kita kenali hari inilah yang menjadi pilihan. 

Carolyn telah dibayar RM 140 kerana dia menghabiskan masa 17.5 jam untuk menghasilkan logo tersebut walaupun dia mendakwa dia sebenarnya menggunakan masa yang lebih. Pada September 1983, Phil Knight telah menghadiahkan satu cincin emas berbentuk Swoosh dan bertatahkan berlian. Phil juga memberikan sebahagian saham Nike yang dirahsiakan jumlahnya sebagai tanda terima kasihnya kepada Carolyn. 



Hakcipta iluminasi.com (2017)