Dalam zaman moden, banyak pihak dilihat enggan mencampur adukkan urusan agama dengan perihal masyarakat, kerana mempunyai pandangan bahawa keduanya patut diasingkan. 

Tetapi tidak ramai antara kita sedar elemen-elemen kepercayaan dan agama sebenarnya sangat popular diamal dalam penjenamaan sesuatu produk, dibuat masyarakat barat tanpa kita sedari.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini disebabkan oleh kemahiran mereka menjadikan sesuatu simbol agama atau kepercayaan sebagai budaya popular, sehingga menjadi norma dan diterima pakai tanpa awam mempersoalkan penggunaannya.

Berikut adalah lima jenama yang dibentuk menggunakan simbol agama, dewa dan mitologi, yang terpapar secara terbuka tanpa anda sedari.

1. Nike - Dewi Nike

nike dewi orang yunani olimpik

Nike merupakan jenama produk sukan paling popular di dunia, tanpa ramai peminat jenama tersebut menyedari nama Nike itu sebenarnya diambil daripada nama Dewi orang Yunani, Nike.

Nike adalah dewi yang menguasai kemenangan, anak kepada seorang Titan bernama Pallas dan ibunya Styx, yang menguasai alam di antara alam manusia dan alam kematian.

Kami tidak pasti adakah jenama kasut keluaran Malaysia iaitu Pallas dinamakan sempena ayah kepada Nike.

Masyarakat Yunani zaman dahulu percaya setiap kejayaan dalam hidup mereka, baik sekecil-kecil kemenangan sehinggalah sebesar menang perang adalah ditentukan oleh Nike.

Mereka percaya menyembah Nike akan meninggikan kadar kejayaan mereka dalam sesuatu usaha yang mereka jalankan.

Dalam mitologi Yunani, Nike digambarkan sebagai seorang wanita bersayap yang sedang meraikan kemenangan, dijadikan patung hiasan atau kalung yang menjadi sumber kekuatan orang Yunani untuk terus bertahan.

2. Starbucks - Siren

logo starbucks melusine siren

Jenama Starbucks tidak menggunakan nama mana-mana makhluk atau dewa-dewi dalam mitologi masyarakat terdahulu, namun logonya itu dipercayai datang daripada sejenis makhluk dalam mitologi dinamakan sebagai Siren.

Menurut penerangan rasmi Starbucks, logo itu hadir secara tidak sengaja semasa pengurusan awal Starbucks mahu mencipta logo bagi syarikat mereka.

Selepas menyelongkar pelbagai jenis rujukan, salah seorang pereka menemui kisah dan lakaran makhluk SIren itu dalam sebuah buku rujukan hidupan marin.

Walaupun itu adalah penerangan secara rasmi dari Starbucks sendiri, pendapat itu tidak menghalang orang ramai berspekulasi berkenaan asal-usul sebenar makhluk menyerupai wanita berekor ikan yang bercabang dua itu.

Antara pendapat paling kukuh berkenaan inspirasi sebenar logo itu menyebut logo itu datang daripada Dewi Astarte atau Ashtoreth, yang dipuja kerana menguasai kesuburuan dan seksualiti masyarakat terdahulu. 

Ada juga pendapat mengaitkan logo Starbucks itu dengan Melusine, dewi yang sangat mirip dengan lakaran logo syarikat tersebut.

Melusine digambarkan menyerupai seekor duyung yang ekornya bercabang dua. Asalnya, tubuh Melusine ini mirip seorang wanita biasa tetapi hanya akan bertukar kepada separuh ikan apabila dia sedang mandi.

Logo lama Starbucks lebih menyerupai makhluk ini, sebelum versi sekarang hanya memaparkan wajah serta ekornya yang bercabang.

3. NBC - burung merak Hera

hera peacock logo nbc

Saluran TV NBC merupakan antara saluran media popular di dunia dan logo merak berwarna-warni yang digunakan cukup mudah dikenali ramai.

Dari permukaannya tampak logo itu tidak menyembunyikan apa-apa makna, tetapi inspirasi sebenar logo ini datang dari merak yang dibela oleh Dewi Hera.

Dalam mitologi kepercayaan orang Yunani, burung merak merupakan makhluk yang sangat disayangi isteri kepada Zeus itu.

Kisahnya, Hera mempunyai seorang pengawal gergasi bernama Argus yang mempunyai 100 mata. Bagaimanapun perselisihan faham menyebabkan Zeus memerintahkan Argus dibunuh. 

Hera yang sedih terpaksa akur dengan kehendak Zeus, menukarkan Argus menjadi burung merak, matanya yang banyak itu diletakkan di bahagian ekor burung tersebut bagi mengenang jasa Argus melindungi dirinya selama ini. 

4. Versace - Medusa

versace logo medusa

Ramai juga ahli masyarakat kita gemar memakai pakaian jenama ini, sama ada yang asli ataupun yang 'copy ori.'

Tetapi sedarkah anda logo jenama Versace ini memaparkan Medusa, makhluk dalam mitologi Yunani yang mampu membuatkan sesiapa saja melihatnya terpesona?

Perkara ini diakui oleh pengasasnya, Gianni Versace yang mengaku menggunakan simbol Medusa sebagai logo berdasarkan kepada kemampuan Medusa untuk menggoda sesiapa saja, tanpa orang itu mampu terlepas daripada genggamannya.

Itu jugalah motto perniagaan Versace yang cuba diterapkan.

Medusa adalah salah satu daripada makhluk jenis Gorgon, mempunyai rambut daripada puluhan ular, bersayap serta menyerupai seorang wanita.

Sesiapa saja yang melihat Medusa, dikatakan akan bertukar menjadi batu.

5. Dove - simbol Aphrodite

dove simbol merpati

Di antara semua jenama yang kami senaraikan, jenama Dove ini mungkin yang paling halus pengunaannya serta sangat tersirat.

Pasti ramai mengandaikan tidak ada apa-apa yang istimewa tentang simbol burung merpati yang dipilih menjadi jenama produk terkenal ini.

Seperti Hera yang sayangkan burung merak, burung merpati pula menjadi simbol kepada Dewi Aphrodite, yang menguasai kasih sayang, cinta, kesuburan dan kecantikan.

Dalam lakaran-lakaran masyarakat barat berkait Aphrodite, dewi ini sering digambarkan memacu pedati yang ditarik oleh burung-burung merpati.

aphrdoite burung merpati

Semasa mahu menamakan produk sabun keluaran mereka, adik beradik Lever pada awalnya menamakan sabun itu dengan jenama 'Honey' dan 'Sunlight', sebelum memilih nama 'Dove' sempena mengambil inspirasi kecantikan Dewi Aphrodite.

Nama dan simbol itu kekal, terus diangkat wanita moden sebagai salah satu produk kecantikan paling terkenal dan dipercayai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)