Produk-produk dipasarkan menggunakan jenama-jenama yang layak dikatakan sudah terkenal, kebiasaannya mampu duduk dalam pasaran untuk satu tempoh yang agak panjang. 

Namun bagi sesetengah jenama, peredaran zaman mampu memberikan kesan ketara kepada permintaan produk tersebut sehingga mengakibatkan berlaku penurunan permintaan; sekaligus memperlahankan jualan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada jenama gergasi yang mampu meredah dugaan ini dan ada juga yang terpaksa gulung tikar, dihentikan jualan ataupun dibeli pesaing lain yang hanya untuk mendapatkan teknologi di sebaliknya. 

1. Konica dan Minolta

konica filem minolta

Jika anda masih ingat, satu ketika dulu jenama filem kamera Konica pernah mengeluarkan iklan yang meminta kita menggantikan sebutan 'cheese' ketika kita mengambil gambar - dengan sebutan 'KONICA!' 

Nasib Konica dan Minolta berkait, selepas kedua-dua jenama digabungkan pada tahun 2003 ketika industri perfileman dunia sedang beralih ke arah digital sepenuhnya. 

Konica ditubuhkan lebih awal pada tahun 1873, sebagai sebuah syarikat litografi dan fotografi mempunyai sejarah gemilang sebagai pengeluar kamera pertama di Jepun.

minolta kamera filem

Minolta pula bermula pada tahun 1928, hasil kerjasama seorang peniaga di Jepun bernama Kazuo Tashima membawa masuk teknologi fotografi dari Jerman untuk penghasilan lensa kamera berskala besar berkualiti tinggi.

Kedua-duanya bergabung sebagai Konica Minolta dan cuba diubah hala tujunya sebagai jenama mesin cetak namun pengurusan syarikat memilih untuk menghentikan terus semua penglibatan mereka dalam industri fotografi dan kamera pada tahun 2007.

Kini jenama ini diteruskan sebagai pengeluar mesin pengimbas perubatan untuk kegunaan hospital dan klinik.

2. National

periuk nasi national jepun

Ayat 'National, Panasonic, Technics' satu ketika dulu adalah antara ungkapan ikonik yang bergema dalam stesen televisyen tempatan kita. Menjadi salah satu jenama di bawah kendalian Matsushita Electric, 'National' merupakan jenama yang cukup sinonim dengan produk elektronik dan elektrik rumah. 

Barang berjenama 'National' memang cukup diyakini pengguna, khasnya suri-suri rumah kita. Siapa ada periuk nasi 'National' di rumah, ada kemungkinan barangan itu masih boleh digunakan jika dijaga baik.

Jenama 'National' dimulakan sebagai sebuah jenama ciptaan Konosuke Matsushita, pengasas syarikat itu untuk penamaan lampu basikal keluarannya. Istilah itu dipilih kerana Matsushita mempunyai harapan agar seluruh Jepun akan menggunakan produknya.

Bagaimanapun populariti jenama 'Panasonic' yang juga merupakan salah satu jenama di bawah syarikatnya mula menjadi fokus dunia, menenggelamkan jenama National. Sedikit demi sedikit nama 'National' mula dihentikan penggunaannya digantikan dengan 'Panasonic' sehinggalah kesemua produk elektrik dan elektronik di bawah keluaran Matsushita hanya menggunakan nama Panasonic.

3. Compaq

compaq pc lama clone ibm

Tiada siapa menyangka salah satu gergasi produk komputer Amerika Syarikat, iaitu Compaq pun boleh gulung tikar.

Apa yang menyedihkan, Compaq pada zaman kemuncaknya dapat bersaing dengan satu lagi jenama besar iaitu HP namun ekoran kegagalan menawarkan harga yang setara - HP menang dalam pertarungan itu, seterusnya membeli pesaing utamanya.

Dimulakan pada tahun 1982 oleh tiga orang usahawan semikonduktor, Compaq pada awalnya mengeluarkan komputer sebagai persaingan dengan jenama terunggul ketika itu IBM. Taktik agresif Compaq sebagai pengeluar komputer 'klon IBM' pertama serta mampu memberikan diskaun tinggi, mendorong jualannya.

Kesilapan Compaq membeli beberapa buah syarikat teknologi sekitar penghujung dekad 1990-an menyebabkan mereka perlu menanggung hutang besar. Kerugian-kerugian itu akhirnya memakan diri, memaksa Compaq membuka perbincangan untuk Compaq digabungkan dengan HP.

Walau bagaimanapun setelah dibeli HP, jenama Compaq mula disisihkan sehinggalah jenama itu ditamatkan terus penggunaannya pada tahun 2013.

4. RCA

rca jenama klasik radio

Bagi generasi yang lahir 50 atau lebih tahun terdahulu, jenama RCA sudah pastilah sangat sinonim dengan anda bukan? RCA cukup terkenal sebagai pengeluar radio dan pemain piring hitam, yang menjadi satu-satunya teman masyarakat kita tatkala sunyi.

RCA atau Radio Corporation of America bermula pada tahun 1919 sebagai sebuah syarikat media massa radio sebelum mula mengeluarkan fonograf pertama pada tahun 1929.

RCA berjaya mengeluarkan pemain piring hitam pertama pada tahun 1930,  teknologi yang berjaya dibangunkan dan diperbaiki RCA akhirnya menjadi standard utama semua pemain piring hitam antarabangsa.

Bagaimanapun persaingan dengan jenama-jenama dari Jepun mula memberikan kesan, khasnya ketika industri sedang berubah kepada penggunaan kaset untuk audio. RCA yang cukup terkenal dengan produk berkualiti tinggi, mula dipecahkan divisyen-divisyen pengeluarannya untuk diambil alih syarikat lain.

Kini RCA sebagai jenama dipegang oleh VOXX International (dulu Audiovox) yang meneruskan legasi jenama ini tanpa mengeluarkan produk-produk baru di bawah nama RCA. Barangan antik RCA terus menjadi buruan peminatnya, kekal dijual pada harga tinggi disebabkan permintaan yang ada.

5. Blackberry

blackberry perkhidmatan tamat jan 2022

Jenama ini merupakan salah satu lambang kemewahan seseorang tak lama dulu. Sekiranya seseorang itu merupakan pengguna peranti Blackberry, besar kemungkinan dia adalah seorang yang penting atau merasakan diri dia penting.

Pada era kemuncak Blackberry menguasai lebih 20% pasaran peranti telefon pintar, mengekalkan identiti peranti mereka yang terkenal dengan papan kekunci yang menjadi kegemaran utama penggunanya. Selain itu, Blackberry juga terkenal sebagai sebuah peranti yang selamat dalam aspek keselamatan.

Kegagalan untuk terus bersaing dengan Apple dan Samsung mengakibatkan Blackberry menjadi salah satu korban besar, dalam dunia telefon pintar yang cukup kuat.

Bagaimanapun semua itu menemui noktahnya pada 4 Januari 2022. Tarikh tersebut menjadi hari akhir di mana syarikat pengendali Blackberry menamatkan semua sistem sokongan ke atas aplikasi, fungsi panggilan, mesej dan sebagainya kepada semua peranti yang menggunakan perisian 'Blackberry OS' di bawah jenama itu.

Tarikh itu dipilih setelah beberapa kali pindaan dilakukan sejak 2016 bagi membolehkan pengguna Blackberry yang setia, masih terus mampu menggunakan peranti mereka. Gagal bergerak seiring dengan peredaran trend, Blackberry atau nama manjanya 'BB' tinggal kenangan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)