Walaupun teknologi tulisan dan lukisan digital semakin lama semakin menggantikan peralatan tradisional, alat tulis terus menjadi satu kemestian yang perlu kita miliki.

Masih ingat zaman sekolah anda, bagaimana beberapa jenama jadi idaman kita berikutan kualitinya yang jelas lebih tinggi, tidak mudah patah serta dikategorikan sebagai produk kelas atasan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada banyak jenama alat tulis dalam pasaran di Malaysia, tetapi ada lima nama paling kerap menjadi sebutan kita sehingga kini. Berikut adalah sejarah ringkas lima jenama yang cukup sinonim dengan rakyat Malaysia.

1. Staedtler

staedtler jenama peralatan sekolah

Mungkin majoriti antara kita tak dapat merasai kejuruteraan automotif Jerman tetapi kami yakin ramai dapat merasai kejuruteraan alat tulis keluaran negara itu, dengan jenama paling terkenal di kalangan pelajar sekolah adalah Staedtler.

Jenama Staedtler dikendalikan Staedtler Mars GmbH & Co. KG, sebuah syarikat dari Nuremberg, Jerman diasaskan oleh Johann Sebastian Staedtler pada tahun 1835, 186 tahun yang lalu.

Dia mewarisi perusahaan keluarganya yang dimulakan oleh Friedrich Staedtler hampir 2 abad sebelum itu, yang terkenal di Nuremberg sebagai seorang pembuat pensil berkualiti tinggi.

Pensil keluaran Staedtler dalam siri 'Noris' merupakan antara produk paling ikonik sehingga sekarang dengan warna kuning dan hitamnya serta kualiti grafitnya yang cukup gelap. Tahukah anda dari mana datangnya nama itu?

'Noris' diambil daripada nama lama bandar Nuremberg, satu ketika dulu dikenali dengan nama 'Norimberga' sebelum dipendekkan menjadi 'Norimberg.'

2. Faber Castell

faber castell jenama sejarah

Jenama 'Faber-Castell' merupakan perusahaan keluarga juga dari Jerman, kini diuruskan generasi ke-9 dalam salasilah keluarga von Faber-Castell.

Syarikat ini dimulakan seorang usahawan bernama Kaspar Faber yang mempunyai kemahiran tinggi sebagai seorang tukang kayu. Pada tahun 1761, Faber membuka sebuah bengkel pertukangan kayu di pekan kecil bernama Stein, juga di Nuremberg.

Cucu kepada Kaspar Faber, Lothar von Faber bertanggungjawab memperkembangkan perniagaan milik datuknya pada era penghujung abad ke 19.

Selepas kematian Lothar, cucu perempuannya bernama Ottilie von Faber mewarisi perniagaan datuknya sebelum mengahwini seorang lelaki bangsawan bernama Alexander Castell-Rudenhausen. Perkahwinan itu menyatukan dua keluarga yang mula menyatukan aset kendalian keluarga mereka.

Namun wasiat Lothar sebelum meninggal dunia telah mewajibkan pengekalan nama keluarga 'Faber' dalam penamaan syarikat keluarga mereka, menjadikan jenama itu kepada bertukar kepada 'Faber-Castell' walaupun Ottilie telah mengambil nama keluarga suaminya.

3. Schwan-Stabilo

sejarah alat tulis jenama schwan stabilo

Seringkali disebut sebagai Stabilo sahaja, Schwan-Stabilo adalah jenama alat tulis yang dikendalikan Schwan-Stabilo Group; berpengkalan di Heroldsberg, Jerman sejak tahun 1855.

Seperti dua pengusaha kontemporari mereka yang mengambil peluang bekalan mentah grafit untuk penghasilan pensil yang banyak di Nuremberg, Geoff Grossberger dan Hermann Kurz juga berpusat di sana menghasilkan produk pensil pada tahun 1855.

Syarikat itu kemudiannya dibeli Gustav Schwanhäusser, yang bertanggungjawab memperkenalkan logo ikonik 'angsa' diambil sempena nama keluarganya. Schwanhausser juga menukar nama syarikat itu kepada Schwan Bleistift Fabrik, mengeluarkan alat tulis serta alat solekan berasaskan pensil.

Nama 'Stabilo' datang daripada produk pensil keluaran syarikat itu yang dikatakan kukuh berbanding pensil pesaing, tidak mudah patah serta 'stabil.'

Oleh kerana populariti pensil siri 'Stabilo' sangat sinonim dengan identiti syarikat mereka, Schwan Bleistift Fabrik dijenamakan semula sebagai 'Schwan-Stabilo', mengekalkan elemen angsa yang digabung dengan nama produk paling popular keluaran mereka.

Anda tahu tak Schwann masih mengekalkan legasi lama, sehingga ke hari ini kekal mengeluarkan produk kosmetik di bawah jenama Schwan Cosmetics selain turut sama mengeluarkan beg tahan lasak di bawah jenama Deuter?

4. Artline

sejarah alat tulis jenama artline

Sebut pasal pen 'marker' atau pena penanda, jenama paling mudah kita ingati sudah pastilah jenama Artline kan, cukup terkenal dalam masyarakat kita kekal digunakan oleh guru dan pengajar di mana-mana saja.

'Artline' adalah sebuah jenama di bawah kendalian syarikat Shachihata Inc. dari Nagoya, Jepun.

Shachihata bermula sebagai sebuah syarikat pengeluar pad dakwat untuk digunakan sebagai pengecop dokumen, digelarkan 'Shachihata' yang membawa makna 'bendera ikan paus.'

Siri pen dakwat kekal 'Artline' mula diperkenalkan pada tahun 1954 hasil daripada teknologi yang telah mereka bangunkan dalam produk-produk sebelum itu, sebelum beberapa variasi saiz mata pena Artline diperkembangkan pada tahun 1964.

Siri 'Artline' ditambahbaik dengan pengeluaran produk pen mata halus 'Artline 200' pada tahun 1966 dan pena penanda boleh padam 'Artline 500' untuk kegunaan papan putih pada tahun 1972.

Bagi memperbesarkan operasi serta merendahkan kos pengeluaran - Shachihata membuka kilang pertama mereka di luar Jepun pada tahun 1993; memilih negara kita sebagai lokasi pertama di luar Jepun syarikat tersebut melabuhkan sayapnya.

5. Buncho

buncho krayon alat tulis

Mungkin pilihan untuk warna poster kini sudah semakin banyak, tetapi satu masa dahulu warna poster keluaran Buncho merupakan idaman setiap pelajar sekolah; mudah dibancuh serta berkualiti tinggi, produk Buncho memang menjadi antara produk paling kerap dicuri.

Perusahaan penghasilan alat tulis syarikat ini bermula pada tahun 1927, sebelum perang yang disertai kerajaan Jepun memaksa perusahaan ini ditutup buat seketika. 

Tamat zaman perang, perusahaan kecil itu dijenamakan kembali sebagai Akatsuki Stationery Works, mula mengeluarkan produk warna krayon dengan jenama 'Buncho' yang menjadi produk popular mereka.

Dinamakan sempena burung pipit atau 'buncho' dalam bahasa Jepun, warna krayon itu menjadi sangat popular sehingga akhirnya dipilih menjadi identiti utama syarikat itu.

Perubahan ini menukarkan nama Akatsuki Stationery Works kepada Buncho Crayon industry Co., Ltd. pada tahun 1951, simbol burung pipit mula digunakan sebagai logo rasmi syarikat mereka.

Seperti Shachihata, Buncho Crayon industry Co., Ltd. juga memilih negara kita sebagai lokasi pengemmbangan pertama perniagaan mereka di luar Jepun.

Buncho tiba lebih awal di Malaysia pada tahun 1980 dengan pembukaan sebuah kilang di bawah kendalian syarikat usahasama Buncho Crayon industry Co., Ltd. dengan Buncho (Malaysia) Sdn. Bhd.




Hakcipta iluminasi.com (2017)