Oleh pada 27 Aug 2022 kategori

Setiap kali mendengar ada individu akan dihumbankan ke dalam penjara, selain daripada mengucapkan selamat jalan dan selamat tinggal - ungkapan paling popular yang akan disebut adalah 'jangan jatuhkan sabun nanti.'

Pasti anda pernah mendengar atau membaca istilah itu atau variasinya digunakan, baik dalam media seperti filem dan drama, novel, cerpen mahupun komentar yang dikeluarkan oleh netizen-netizen dalam membincangkan sesuatu isu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dari mana datangnya ungkapan ini dan yang lebih penting untuk dibincangkan apakah maknanya dan adakah wujud kebenaran di sebalik ungkapan itu?

Apa makna "don't drop the soap!"?

dont drop the soap sejarah asal usul

Popular ungkapan ini telah menyebabkan sebutannya menjadi satu benda yang biasa disebut serta dilihat sebagai sesuatu yang lucu. 

Sekiranya anda amati dengan sejelas mungkin - ungkapan "don't drop the soap!" sebenarnya adalah lawak berkaitan jenayah rogol yang dijadikan bahan jenaka secara terbuka.

Kurangnya kesedaran dan tahap sensitiviti sesetengah individu terhadap konteks di sebalik frasa tersebut adalah penyumbang kepada popularitinya.

Bagi mereka yang belum tahu "don't drop the soap!" atau "sabun jatuh jangan kutip" adalah komentar atau peringat bersifat sinis yang disebut kepada individu ditahan, biasanya dituju kepada mereka yang telah dijatuhkan hukuman penjara.

Tujuan ayat itu adalah untuk menyindir pesalah yang dihukum, kerana kebiasaannya ungkapan ini hanya disebutkan oleh seseorang kepada orang lain yang kurang digemarinya.

Jarang penggunanya mensasarkannya kepada orang yang mereka sayangi atau kagumi, kerana dalam konteks sedemikian ramai pula yang ada sensitiviti mereka.

Mandi beramai-ramai tanpa boleh berselindung

tandas kongsi penjara

Di dalam penjara khususnya di negara barat seperti Amerika Syarikat di mana ungkapan ini mula popular, banduan dalam penjara mandi secara beramai-ramai pada waktu yang ditetapkan.

Semua banduan hanya dibenarkan membawa peralatan mandi seperti sabun dan berus gigi serta hanya dibenarkan memakai sehelai tuala yang akan digunakan bagi mengeringkan badan.

Oleh kerana tidak ada dinding yang menutupi mereka, majoriti banduan mandi tanpa tuala di badan, mempamerkan keseluruhan tubuh kepada orang lain walaupun banduan sendiri merasa kekok dengannya.

Mitos popular di kalangan masyarakat mempopularkan kejadian rogol sama jantina sebagai sesuatu yang kerap berlaku dalam penjara. Realitinya tidaklah sebegitu. Tak dapat kita nafi memang ada kes sebegini berlaku tetapi tidaklah sekerap yang cuba filem tonjolkan.

Mitos ini bagaimanapun mempopularkan satu pantang larang yang kita sangka perlu dituruti banduan.

Adalah menjadi tanggungjawab besar banduan memastikan sabun yang digunakan tidak jatuh ke lantai semasa mandi. Ini kerana apabila seseorang terjatuh sabunnya, dia perlu membongkokkan badan bagi mengutipnya lalu menampakkan bahagian dubur beliau kepada banduan lain...

Posisi itu memberikan ruang kepada banduan yang berkeinginan untuk merogol banduan tadi secara luar tabii. Adakah anda merasakan itu sesuatu yang patut dijadikan bahan ketawa? Mungkin ya pada anda tetapi kita di sini bukan untuk membincangkan isu itu sebaliknya mahu membincangkan adakah wujud kebenaran di sebalik mitos ini?

Ada...tetapi bukanlah seperti yang kita sangka.

Isyarat untuk menjemput yang sudi

adegan mandi dalam filem guna sabun

Jika anda membaca kisah berkenaan banduan, kebanyakan daripada mereka menyangkal akan berlakunya kejadian rogol sekiranya sabun dijatuhkan. Ini kerana peristiwa seperti itu lebih mirip dengan adegan dramatik dalam filem. 

Namun memang ada banduan dalam penjara yang memang mahu hubungan luar tabii berlaku, akan menggunakan taktik menjatuhkan sabun bagi memancing mata-mata yang sudi. 

Bila ada banduan sengaja menjatuhkan sabun, itu adalah petanda mereka sedang mencari teman kerana mereka sedang 'terbuka'.

Mana-mana banduan lain yang berminat dipersilakan bersua tetapi bukanlah terus di situ ketika banduan lain turut mandi bersama, sebaliknya di waktu lain bagi membincangkan bagaimana mahu ke 'peringkat seterusnya.'

Perkara sebegini harus diberitahu hanya melibatkan kumpulan banduan minoriti banduan.

Majoriti banduan biasanya adalah mereka yang masih waras enggan mendekati hubungan songsang walaupun kesunyian dalam penjara, rasa geli perlu mandi beramai-ramai sesama jantina, menutup mata tatkala terlihat sesuatu yang patut dilindungi dan memandang serong banduan yang sengaja curi-curi pandang kemaluan banduan lain semasa mandi.

Dari mana datangnya kelahiran istilah ini? 

american history x dont drop the soap

Kajian bahasa berkenaan asal-usul ungkapan ini belum dapat menemui dengan jelas dari manakah punca sebenarnya. Apa yang kita ada hanyalah beberapa teori ciptaannya yang berkait dengan filem. 

Satu pendapat utama menyebut konsep komedi yang menjadikan perbuatan rogol dalam penjara sebagai isi kandungan, bermula disebabkan populariti filem komedi berpengaruh 'Animal House' terbitan tahun 1978.

Filem yang dilakonkan mendiang John Belushi ini, memberi penamat gembira selepas watak penjahat utama filem tersebut berakhir sebagai seorang mangsa rogol penjara dalam adegan yang tidak dipaparkan.

Ekoran sambutan baik terhadap filem itu yang mempopularkan genre humor tanpa sempadan dan tidak peduli tentang sensitiviti dan perasaan penonton, penonton mula terikut-ikut menjadikan balasan dirogol dalam penjara melibatkan individu lelaki kurang digemari sebagai bahan ketawa, menghilangkan rasa takut orang ramai untuk berjenaka tentang topik tersebut.

Sementara ungkapan berkait dengan sabun itu pula dikatakan datang daripada adegan dalam filem 'Escape From Alcatraz' terbitan tahun 1979 lakonan Clint Eastwood, di mana Eastwood menggunakan ungkapan 'pick up the soap' dalam salah satu adegan filem tersebut.

Dua titik tolak di atas dikatakan bertanggungjawab mencetuskan populariti budaya ungkapan "don't drop the soap" sehingga sudah biasa diucap lebih ramai individu lain tanpa ragu. 

Populariti ini menyebabkan media, baik filem dan drama gemar menggunakan elemen rogol dan sabun dalam penjara sebagai berkait antara satu sama lain.

Sehinggakan ungkapan itu menjadi satu perkara yang membuatkan ramai ketawa apabila disebutkan, walaupun realitinya makna sebenar ungkapan itu sangat jijik untuk dijadikan sesuatu yang melucukan. 

Stereotaip filem menjadikan topik ini budaya popular

filem blood in blood out chon chon

Sehingga ke hari ini ungkapan ini kekal popular, digunakan baik golongan muda atau yang tua.

Mungkin kurangnya tahap kesedaran tentang sensitiviti ungkapan ini ini hadir daripada kesan pengaruh media sendiri, yang konsisten menjadikan ungkapan, elemen dan topik serangan rogol dalam penjara sebagai bahan tayangan norma.

Filem klasik seperti 'The Shawshank Redemption' dan 'American History X' memaparkan adegan rogol dalam penjara yang sangat menakutkan. Sementara filem seperti 'The Rock' dan 'There's Something About Mary' menjadikan topik rogol sebagai satu bahan komedi.

Filem komedi 'Let's Go to Prison' lakonan Dax Shepard dan Will Arnett pula secara terang-terangan memaparkan ungkapan ini dalam bentuk visual posternya, dengan cara yang berkias.

lets go to prison filem penjara

Kita sebagai sebuah masyarakat, setiap kali kita mendengar berita individu yang kurang kita sukai bakal berdepan hukuman penjara khususnya individu lelaki - ramai akan memainkan ungkapan ini secara spontan.

Kononnya kelakar. Tidak ramai mahu menyedarkan diri sendiri apa yang mereka guraukan dan ketawakan itu berkait dengan satu bentuk jenayah seksual. Bukankah sudah tiba masanya ungkapan kurang sensitif sebegini ditamatkan penggunaannya?

Atau kita masih mahu kekal dengan sikap hipokrit menjadi wira dalam kempen memerangi jenayah rogol terhadap wanita, tetapi bila bercakap tentang jenayah rogol lelaki sama lelaki dalam penjara - kita selesa mampu bergelak ketawa membayangkannya?




Hakcipta iluminasi.com (2017)