Oleh pada 04 Feb 2023 kategori

Setiap hari ramai ke tempat kerja menggunakan kenderaan masing-masing. Sama ada anda menggunakan kereta, motorsikal, bas, van, lori, keretapi atau mungkin helikopter jika mampu, adanya kenderaan memudahkan perjalanan kita.

Disebut kita hampir setiap hari istilah yang merujuk kepada jenis dan nama kenderaan ini, anehnya tak ramai di antara kita tahu KENAPA istilah itu digunakan sebagai namanya. Nak tahu kenapa?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jom belajar. Berikut adalah 5 jenis kenderaan yang biasa kita guna dan kenapa namanya terjadi sedemikian rupa.

1. Kereta/'Car'

asal usul perkataan kereta car

Dalam bahasa Inggeris, ramai dah tahu (kan?) sebuah kereta digelarkan 'car.' 

Istilah ini datangnya mula-mula sekali daripada istilah bahasa Hindu-Eropah Proto 'kers' yang membawa sesuatu yang bergerak, kemudiannya dicedok ke dalam bahasa Latin, membentuk istilah carrus, ketika itu merujuk jentera perang dua tayar yang ditarik kuda.

Orang Perancis yang pertama sekali memodenkan istilah ini. Mereka menukarkannya kepada 'carre' membawa makna 'kenderaan beroda' sebelum masyarakat sekitar Eropah meminjam dan mengubahnya mengikut telo bahasa masing-masing.

Masyarakat Portugis menukarkan ejaan dan sebutan Perancis itu kepada 'carreta' sebelum penjajahan mereka ke sini memperkenalkan perkataan itu kepada penduduk di Asia Tenggara.

Istilah Portugis itulah yang menjadi sumber bagaimana istilah bahasa Melayu 'kereta' tercipta.

2. Lori/'Lorry'

asal usul istilah lori lorry

Dari aspek asal-usul, istilah 'lori' layak dikatakan sebuah istilah moden tanpa berkait dengan bahasa-bahasa lama, berdasarkan kajian setakat ini. 

Diperkenalkan sekitar awal abad ke 19 ke dalam bahasa Inggeris, lorry mempunyai makna sebuah kenderaan yang mempunyai tempat letak barang rata yang panjang dan empat tayar.

Istilah ini hadir daripada kata kerja bahasa Inggeris 'lurry' yang membawa maksud perbuatan menarik atau mengheret sesuatu.

Terjemahannya ke dalam bahasa Melayu diambil secara terus dengan perbezaan ejaan sahaja yang membentuk istilah lori.

3. Van

asal usul perkataan van karavan caravan

Van sebenarnya adalah singkatan sebuah istilah lebih awal iaitu karavan/caravan, yang popular digunakan masyarakat terdahulu.

Berasal daripada istilah bahasa Sanskrit karabhah merujuk kepada haiwan unta, istilah ini dipinjam masyarakat Parsi dan Arab, yang menukarkannya menjadi karwan (Parsi) dan qairawan (Arab) merujuk kepada pedati yang ditarik.

Dari situlah terbentuk istilah caravana atau caravane dibentuk dalam istilah Latin zaman pertengahan Eropah, yang menjadi punca pengenalan istilah ini ke dalam bahasa Perancis carvane.

Istilah ini kekal walaupun dunia mula menggunakan jentera bermotor bagi menggantikan haiwan seperti kuda dan unta, sehinggakan nama bagi van bermotor ketika zaman pengenalannya dikenali dengan nama carry-van, yang akhirnya dipendekkan menjadi van.

4. Motorsikal/'Motorcycle'

asal usul perkataan motorsikal motorcycle

Istilah motorsikal adalah istilah yang dibentuk hasil gabungan dua istilah berbeza iaitu motor (motor) dan sikal (cycle).

Motor datang daripada istilah movere dalam bahasa Latin, membawa makna sesuatu yang menggerakkan. Sikal atau cycle pula diambil daripada istilah Yunani kyklos yang membawa makna perbuatan memusingkan sesuatu.

Istilah ini dipinjam ke bahasa Perancis lama, yang menukarkan ejaannya kepada cicle; menjadi asas kepada istilah bahasa Inggeris cycle.

Selain motorcycle, ada juga individu menggelarkan motorsikal sebagai bike.

Bike adalah singkatan kepada istilah bicycle, digunakan sekitar penghujung abad ke 19 oleh penutur bahasa Inggeris.

Apabila semakin ramai orang menggunakan istilah motorbike merujuk kepada basikal yang bermotor, bike mula sinonim untuk dilabelkan kepada basikal dan juga motorsikal.

Sehingga sekarang penggunaannya untuk kedua-dua jenis kenderaan adalah diterima.

5. Bas/'Bus'

asal usul perkataan bas bus

Seperti van, bas atau bus juga singkatan kepada satu istilah lain iaitu omnibus. Diambil daripada istilah Latin, omnibus bererti terbuka untuk semua atau meliputi semua pihak. 

Istilah omnibus pertama kali diguna bagi merujuk kepada jenis kenderaan selepas dipopularkan seorang tokoh di Paris, Perancis bernama Jacques Laffitte, gabenor kepada Bank Perancis sekitar awal abad ke 19.

Mempunyai pengaruh dalam politik negara dan pembangunan masyarakat, Laffitte berhasrat mahu mewujudkan sebuah sistem yang memudahkan pergerakan masyarakat awam.

Dia memperkenalkan sistem voiture omnibus atau 'gerabak untuk semua'; sebuah kereta kuda bersaiz besar yang boleh dinaiki penduduk Paris, mampu menempatkan lebih 8 orang penumpang dalam satu-satu masa.

Sistem ini mula popular di kalangan negara Eropah, dengan pengguna sistem kereta kuda ini mula merujuk apa yang mereka naiki itu hanya sebagai 'omnibus', walaupun pada asalnya makna perkataan ini mempunyai maksud berbeza.

Lama-kelamaan istilah omnibus ini disingkatkan, sehingga kita hanya memanggil koc atau gerabak mengangkut ramai penumpang hanya sebagai sebuah 'bus.'

Di negara kita legasi kepada sejarah istilah ini masih dapat kita lihat. Beberapa pengusaha bas awam di negara masih mengekalkan nama 'omnibus' sebagai nama syarikat mereka seperti Central Pahang Omnibus Sdn. Bhd. atau Red Omnibus Sdn Bhd di Perak.




Hakcipta iluminasi.com (2017)