Semasa Lisa Brennan-Jobs berusia tiga tahun, kedua-dua ibu bapanya perlu turun naik mahkamah atas keengganan si bapa, mendiang Steve Jobs, membayar nafkah untuk Lisa.
Ketika itu, Steve tidak mahu mengakui yang Lisa adalah anak kandungnya dan mendakwa yang dia mandul. Selepas ujian DNA mengesahkan yang mereka sememangnya mempunyai ikatan ayah dan anak, barulah Steve bersetuju membayar sebanyak $500 sebulan kepada ibu Lisa, Chrisann Brennan. Beberapa hari selepas itu, Apple menjadi sebuah syarikat awam dan kekayaan Steve melonjak dalam sekelip mata menjadi $200 juta.
BESARKAN TEKS A- A+
Mengulas kisah ini dalam buku biografinya, Lisa tidak pernah berasa marah atau memberikan alasan untuk ayahnya. Sebagai pengasas NeXT dan pengasas bersama Apple, Steve telah dikurniakan sebuah kekuasaan yang besar sepanjang kehidupannya berkerjaya. Namun, di rumah, Steve menunjukkan kuasanya dengan menidakkan pelbagai perkara termasuklah wang, perbualan mesra dan kasih sayang.
Sebagai orang luar, mungkin kita merasakan tindakan Steve adalah tidak wajar kerana dia seperti mendera emosi dan mental orang sekeliling tetapi bagi Lisa, ia adalah satu perkara normal bagi keluarga mereka.
Judul buku biografinya, "Small Fry", berasal daripada nama panggilan yang diberikan oleh Steve kepada Lisa. Ia juga membuktikan yang Steve sebenarnya mampu menonjolkan kasih sayang ketika anginnya baik.
Menurut Lisa, Steve jarang berada di sampingnya sehingga dia berusia lapan tahun. Selepas itu, Steve sering ke rumah ibunya di Palo Alto untuk menjemput Lisa keluar bermain kasut roda. Walaupun Lisa bersyukur kerana akhirnya diberikan perhatian, dia tetap berasa kekok dan sedikit janggal apabila Steve ada bersamanya. Lisa khuatir yang dia akan menyakitkan hati Steve atau melampaui batas.
Sepanjang penulisannya dalam "Small Fry", Lisa menggambarkan dirinya sebagai 'orang luar' yang mempunyai hubungan yang penuh kekeliruan dan rasa malu dengan bapanya. Bagi Steve, Lisa adalah batu penghalang terbesar dalam perjalanan kerjaya yang diidamkan dan kehadiran Lisa telah merosakkan segala-galanya.
Buku biografi yang ditulis Lisa bukanlah berniat meminta simpati atau membalas dendam. Sebaliknya dia cuba mendasari hubungan ayah-anak itu yang terperangkap dalam ketidakpastian dan kekekokan.
Bukunya adalah biografi kehidupannya sendiri, bukan biografi bapanya. Disebabkan itu hanya terdapat sebilangan sahaja rujukan mengenai kerjaya Steve dalam garapan Lisa. Selain membabadkan kisah kehidupannya semasa kecil, buku ini boleh dijadikan pengajaran bagaimana identiti dan harga diri dapat dibentuk oleh insan yang membesarkan kita.
Ibu Lisa digambarkan sebagai bersifat memupuk, kreatif dan berjiwa bebas namun pada masa yang sama terkesan dengan kepahitan yang dialami. Pernah suatu hari ibunya menjerit di dalam kereta dan berkata yang dia tidak mahukan kehidupan seperti itu serta mahu meninggalkan hidup tersebut.
Steve ternyata lebih bersifat kelakar dan bijak namun dia lebih kerap menonjolkan kekasaran dan suka merendahkan orang lain.
Setelah lama ujian DNA mengesahkan hubungan mereka, Steve masih memberitahu orang yang Lisa bukanlah anaknya dan kehadiran Steve dalam hidup Lisa hanyalah sekadar kerja amal. Adakalanya Steve membuat keputusan untuk tidak membayar apa-apa pada saat-saat akhir, berjalan keluar restoran tanpa menjelaskan bayaran dan pernah juga memberitahu Lisa yang berusia 9 tahun bahawa dia tidak akan mendapat sesen pun daripada Steve.
Semasa zaman remajanya, setelah hubungan Lisa bersama ibunya menjadi renggang, Steve menjemput Lisa untuk tinggal bersamanya dan isterinya, Laurene serta anak lelaki mereka yang masih bayi. Steve memberikan syarat yang Lisa boleh berpindah masuk namun perlu memutuskan hubungan dengan Chrisann sekurang-kurangnya selama enam bulan.
Lisa berharap agar dia boleh lebih mengenali Steve dengan lebih baik setelah tinggal bersama di bawah satu bumbung. Setelah bertahun-tahun diabaikan, Steve kini menjadi lebih mengawal dan biadap. Apabila Lisa terpaksa pulang lewat kerana terlibat dengan projek di sekolah, Steve mengatakan yang Lisa perlu meluangkan lebih masa jika dia ingin menjadi sebahagian daripada keluarga itu. Namun, Lisa pula yang diabaikan selepas itu kerana Steve tidak mengendahkannya selama beberapa hari.
Steve juga tanpa segan-silu meraba Laurene di hadapan Lisa sambil mengeluh tanpa malu. Apabila Lisa ingin berlalu meninggalkan mereka, Steve menghalangnya dengan berkata itu adalah saat indah bersama keluarga.
Apa yang pasti, kisah Lisa hanyalah luahan daripada sebelah pihak sahaja. Segala kenyataan Lisa disokong oleh ibunya namun dibangkang keras oleh ibu tirinya serta ibu saudara Lisa iaitu seorang penulis, Mona Simpson. Dalam biografi, fakta kisah hidup seseorang sering kali bertukar menjadi kisah fiksyen bagi orang lain.
Lisa sendiripun bukanlah insan yang sempurna. Dia adalah seorang yang sangat kejam terhadap ibunya, pernah mencuri wang $100 dari bilik Steve semasa zaman remaja dan mencuri pelbagai barangan dari rumah Steve semasa dia terbaring nazak akibat kanser. Malah, tidak lama sebelum Steve menghembuskan nafas terakhir, Steve bertanya pada Lisa sama ada dia akan menulis tentang Steve. Lisa dengan selamba menjawab "tidak".
Semasa hayatnya, Steve bukanlah dikenali umum sebagai seorang hartawan berjiwa besar ataupun dermawan yang banyak latar belakang dalam kerja kebajikan, akan tetapi "Small Fry" telah mendedahkannya sebagai seorang lelaki yang mementingkan diri sendiri dan bersikap kejam terhadap orang di sekelilingnya.
Apa-apapun, setiap orang ada kisah hidup masing-masing. Kita sebagai orang luar hanya boleh membaca dan menilai. Namun, yang benar-benar tahu cerita sebenar adalah tuan empunya badan sendiri. Selebihnya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Rujukan:
1. The Guardian
2. Vanity Fair