Melabur dalam sesuatu khasnya dalam pembelian saham memerlukan kesabaran tinggi - khasnya apabila melibatkan syarikat yang baru bermula atau baru dibuka jualan sahamnya. Kita berhadapan risiko tidak tahu apa akan jadi kepada pelaburan kita itu.
Samalah seperti pemilik-pemilik terawal matawang kripto pertama dunia, Bitcoin. Tidak ramai dapat menjangka sistem matawang yang pada awalnya popular di kalangan pengaturcara komputer dunia; kini sudah mencecah ratusan ribu ringgit satu unit.
BESARKAN TEKS A- A+
Di antara semua kisah berkenaan pemilik terawal Bitcoin, ada satu kisah legenda yang sering diceritakan mampu menjadi pengajaran kepada semua dalam menangani teknologi baru - bersabarlah kerana perkara baru kadangkala memerlukan masa untuk kelihatan nilainya.
Peminat teknologi Bitcoin kalangan terawal
Laszlo Hanyecz seorang pengaturcara komputer yang berkebolehan.
Ketika era permulaan pengenalan sistem matawang digital Bitcoin oleh individu yang hanya dikenali dengan alias 'Satoshi Nakamoto' - Hanyecz sudah merekabentuk sistem pengaturcaraan bagi 'melombong' matawang tersebut.
Bitcoin adalah sejenis sistem matawang yang memerlukan perkiraan kompleks dilakukan bagi menghasilkan blok-blok matawang digital, menggunakan tenaga elektrik yang tinggi, masa yang panjang dan juga tenaga komputer yang kuat untuk menghasilkannya.
Proses perkiraan itu digelarkan 'mining' membolehkan unit-unit matawang digital terhasil yang boleh digunakan untuk transaksi melalui internet. Semua urusan transaksi dikawal selia oleh buku rekod lejer digital yang dibuka aksesnya kepada umum.
Bagi kumpulan peminat awal Bitcoin seperti Hanyecz, sistem yang diperkenalkan Nakamoto itu dilihat mampu menterjemahkan semula apa yang kita tahu tentang sistem matawang, asalkan lebih banyak pihak mengiktiraf dan menerima transaksi berasaskan matawang itu dalam urusan jual beli atau pembayaran.
Pada fasa awal peringkat pengenalan Bitcoin yang berlaku sejak tahun 2008, penerimaan matawang tersebut sebagai satu bentuk nilai dan pemudahcara urusan transaksi jarang diterima pakai.
Latar belakang Hanyecz sebagai pengaturcara mendedahkan beliau kepada matawang tersebut sejak mula, membolehkan dia menjadi antara pelombong terawal Bitcoin yang cukup berjaya tanpa dia menyedari apa yang dimilikinya.
Kaya dengan Bitcoin ketika Bitcoin tiada nilai
Selain merekabentuk sistem 'mining' Bitcoin pertama berasaskan kad grafik yang mempercepatkan kiraan dilakukan, Hanyecz juga menjadi antara individu yang menyumbangkan tenaga menterjemahkan kod Bitcoin asal agar mesra dengan sistem pengoperasian milik Apple iaitu Mac OS.
Hasil kerja keras ini, Hanyecz berjaya menghasilkan lebih 10,000 Bitcoin secara peribadi namun pada waktu tersebut tidak ramai mahu menerima matawang tersebut untuk transaksi.
Apatah lagi pada era tersebut ada masanya nilai satu unit Bitcoin pernah jatuh ke paras sifar jika dibandingkan dengan nilai dollar Amerika Syarikat. Jarang Bitcoin diterima dan dibelanjakan walaupun secara asasnya matawang itu sudah wujud.
Hanyecz melihat isu ini sebagai satu rintangan besar.
Pada 18 Mac 2010, Hanyecz menulis di forum popular pengguna Bitcoin berbincang iaitu 'Bitcointalk'. Dalam tulisannya, Hanyecz mengemukakan idea kepada semua peserta forum untuk membekalkan dia dua keping pizza besar dan sebagai ganjaran, Hanyecz akan membayar upah 10,000 Bitcoin.
Pada ketika itu, 10,000 unit Bitcoin dianggap bersamaan dengan USD41 atau RM171.80. Memang berpadananlah dengan harga pizza yang diminta.
Dalam tulisannya, Hanyecz mengaku dia teruja serta berharap agar ada pihak menerima tawarannya kerana tiada siapa pun pernah menjalankan transaksi komersial seperti itu dengan matawang kripto.
Transaksi pertama Bitcoin berjaya dijalankan
Tawaran itu tidak mendapat sambutan untuk beberapa hari, sehinggalah pada 22 Mac 2010 Hanyecz mengemaskini forum mengumumkan dia telah berjaya membayar 10,000 Bitcoin untuk mendapatkan dua keping pizza.
Bagi membuktikannya Hanyecz memuatnaik pautan imej di mana dia dan keluarganya sedang menikmati pizza tersebut.
Tawaran Hanyecz disambut seorang lagi peminat Bitcoin bernama Jeremy Sturdivant (gambar bawah) yang ketika itu seorang pelajar di California baru berusia 19 tahun.
Ekoran tidak ada syarat ketat disebutkan Hanyecz dalam tawarannya, Sturdivant mengambil jalan mudah melakukan pesanan ke rangkaian restoran pizza Papa Johns, meminta agar pesanan itu dihantar ke kediaman Hanyecz.
Sturdivant membayar pesanan yang dibuat sebelum Hanyecz membayar semula Sturdivant dengan nilai yang dipersetujui iaitu 10,000 Bitcoin.
Itulah transaksi pertama bersifat komersial yang berlaku di dunia melibatkan matawang tersebut. Membaca kisah ini dalam tahun 2022, pasti membuatkan anda menepuk dahi bukan?
Tetapi cerita ini belum tamat lagi.
Tiada siapa mampu meramal masa depan
Tidak banyak perubahan kepada nilai Bitcoin berlaku selepas peristiwa itu. Untuk beberapa bulan berikutnya, Hanyecz meneruskan lagi pembelian dianggarkan berjumlah lebih 100,000 Bitcoin kesemuanya hanya untuk mendapatkan makanan.
Bagi dia semua makanan yang dia terima ketika itu bersifat percuma - kerana matawangnya dihasilkan sendiri oleh program yang dibinanya dan pembeli sanggup menerima matawang digital sebagai bayaran. Pada bulan Jun 2010 Hanyecz sekali lagi melakukan menawarkan 10,000 Bitcoin miliknya untuk dua keping pizza besar dalam forum sama.
Beberapa pihak menerima tawaran itu berikutan populariti kisah transaksi di antara Hanyecz dan Sturdivant yang tular di kalangan peminat Bitcoin era tersebut. Semuanya dibuat hanya atas dasar seronok suka sama suka.
Ketika itu seorang 'pelombong' mampu menghasilkan unit-unit Bitcoin pada kadar cepat disebabkan oleh ketiadaan jumlah pelombong yang ramai - membolehkan seseorang seperti Hanyecz memiliki ribuan unit Bitcoin dengan mudah.
Namun semua itu berubah beberapa bulan kemudian, bila nilai matawang itu mula meningkat. Pada bulan Ogos tahun sama, nilai 10,000 Bitcoin naik sehingga USD600. Pada bulan November - 10,000 Bitcoin mencecah USD2,600.
Ada peserta forum yang mula mentertawakan tindakan Hanyecz sebelum itu, yang jelas merugikan dirinya membeli 'pizza termahal di dunia.'
Populariti Bitcoin mula mendapat perhatian luas ekoran peningkatan nilai yang cukup ketara disebabkan oleh kadar transaksi yang semakin berkembang. Semakin banyak pihak terlibat dalam proses penghasilan Bitcoin menyebabkan pembahagian hasil Bitcoin yang diterima pelombong, menjadi lebih kecil.
Kiraan yang perlu diselesaikan juga semakin lama semakin rumit. Hanyecz walaupun menjadi antara individu terawal membangunkan sistem pelombongan Bitcoin, mula melihat 'pendapatannya' berkurangan.
Sementara Sturdivant pula selepas beberapa minggu gembira melihat 10,000 Bitcoin yang diterimanya naik nilainya mencecah USD400, bertindak menjualnya bagi mendapatkan dana melancong.
Bitcoin - unit pelaburan atau unit pertukaran?
Hanyecz ketika ditanya adakah beliau menyesal dengan tindakan menukarkan 10,000 Bitcoin untuk 2 keping pizza sekarang, tidak sama sekali menyesali kegopohannya.
Namun ramai peminat matawang kripto sering menjadikan kisah Hanyecz sebagai satu bahan ketawa, kerana tindakannya yang dibuat suka-suka sebenarnya sudah boleh menjadikan dia seorang hartawan, berdasarkan nilai Bitcoin sekarang.
Bagi Hanyecz serta ramai lagi penggiat awal Bitcoin, mereka melihat Bitcoin bukanlah sebagai satu bentuk pelaburan cepat kaya seperti sekarang sebaliknya melihat potensi Bitcoin untuk menjadi pemudahcara transaksi kewangan yang tidak memerlukan campurtangan badan pusat atau bank negara, seperti matawang-matawang dunia lain.
Berbeza dengan tanggapan popular sekarang di mana Bitcoin perlu disimpan bagi menaikkan lagi nilainya, visi sebenar Bitcoin adalah sebagai medium yang akan dibelanjakan dan diterima dalam transaksi elektronik.
Namun 'pelabur-pelabur' Bitcoin baru mula menjadikan Bitcoin sebagai 'emas' yang perlu disimpan dan diperam, menenggelamkan fungsi sebenar matawang itu sehinggakan Bitcoin hilang fungsinya.
Hanyecz ketika ini terus dikenali orang malang yang membelanjakan 10,000 Bitcoin untuk membeli dua keping pizza. Tetapi bagi Hanyecz, apa yang beliau lakukan walaupun merugikan (kini) menepati apa yang diwartakan dalam kertas putih Bitcoin berkenaan tujuan sebenar Bitcoin diwujudkan.
Jasa Hanyecz sebagai pereka pertama sistem pelombong Bitcoin berasaskan cip grafik komputer ditenggelamkan dakwaan-dakwaan negatif hasil tindakannya itu.
Tiada siapa mampu menjangka satu unit Bitcoin yang hanya menjadi hobi di kalangan peminat komputer boleh meningkat sehingga ratusan ribu harganya, termasuklah Hanyecz sendiri.
Untuk terus menggelarkan Hanyecz seorang gagal kerana tindakannya sanggup membayar 10,000 Bitcoin untuk 2 keping pizza, hanya membuktikan pengkritiknya tidak memahami kenapa matawang kripto pada visi asalnya mampu mengubah sistem ekonomi dan kewangan dunia.
Rujukan