Oleh pada 28 Feb 2021 kategori

Pada musim panas tahun 1959, wabak Polio telah tersebar ke seluruh Kanada. Wilayah Quebec mencatatkan kes tertinggi pada tahun itu dengan akhbar tempatan melaporkan lebih daripada 1000 mangsa dijangkiti dengan 88 orang kehilangan jiwa.

Credit : Malay Mail

Walaupun pihak berkuasa kesihatan di Montreal (bandar terbesar di Quebac) memberi amaran kepada orang ramai tentang betapa seriusnya wabak itu, mereka juga meminta agar penduduk tidak panik dan kekal tenang. Namun, keresahan ibu bapa yang risaukan anak-anak mereka tidak sedikit pun berkurangan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Virus Polio biasanya menjangkiti kanak-kanak dan boleh menyebabkan mangsa mengalami kelumpuhan kekal. Sekitar lima peratus jangkitan Polio membawa kepada kematian.

Ketakutan telah menyebabkan ribuan penduduk Montreal berpusu-pusu pergi ke klinik untuk mendapatkan suntikan vaksin dan sanggup menunggu berjam-jam lamanya walaupun dalam hujan.

Pengeluaran vaksin di Kanada pada waktu itu hanya terhad kepada dua makmal sahaja dengan sebahagian besarnya dihasilkan oleh Makmal Connaught di University of Toronto.

vaksin polio kanada

Keadaan ini memberi tekanan yang kuat terhadap pembekal vaksin dan penduduk Quebec. Ketika kemuncak wabak Polio melanda, seluruh benua Amerika Utara sebenarnya menghadapi masalah kekurangan vaksin.

Menjelang bulan Ogos, keresahan penduduk Montreal terubat apabila vaksin dari Makmal Connaught dikhabarkan akan tiba pada hujung bulan. Bekalan vaksin itu mencukupi untuk seluruh Montreal dan lebihannya akan diedarkan ke seluruh wilayah.

Namun, sesuatu yang tidak diduga bakal terjadi. Seorang pekerja sementara program pengagihan vaksin bernama Jean Paul Robinson melihat keadaan terdesak ketika itu sebagai satu peluang. 

Robinson yang ditugaskan untuk mengagihkan bekalan vaksin ke klinik-klinik di sekitar Montreal tahu bahawa penduduk bandar itu terdesak untuk mendapatkan vaksin. Dia juga tahu di mana bekalan vaksin itu disimpan iaitu di Institut Mikrobiologi di University of Montreal.

Pada jam 3 pagi 31 Ogos 1959, Robinson dan dua rakan subahatnya telah memecah masuk universiti dengan bersenjatakan senapang. Mereka terlebih dahulu menangkap dan mengunci pengawal keselamatan dalam sebuah sangkar bersama dengan 500 monyet makmal yang lain.

Mereka kemudian memecah peti simpanan vaksin, mencuri semua bekalan dan melarikan kereta pengawal keselamatan. Mereka berjaya membawa lari sebanyak 75,000 botol vaksin bernilai $50,000 (bersamaan $500,000 atau RM 2 juta pada hari ini). Robinson kemudian menyimpan semua hasil curi itu di sebuah pangsapuri kosong yang disewanya.

penyelidik di makmal connaught

Penyelidik mengkaji vaksin Polio di Makmal Connaugh di University of Toronto

Kejadian itu menggemparkan seluruh negara. Keesokan harinya, pihak penguasa mengumumkan bahawa mereka kehabisan bekalan vaksin. Ibu bapa yang terdesak pula kelihatan beredar dari klinik vaksin dengan perasaan kecewa.

Satu pasukan khas polis telah ditubuhkan bagi menangani kes itu. Mereka menyoal pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu. Pengawal itu tidak dapat mengecam para penjenayah kerana mereka memakai sarung di kepala. Namun, dia terdengar perompak itu berbual dan salah seorang daripada mereka "mahir dengan istilah perubatan".

Pada keesokan harinya, pihak polis berjaya merampas sejumlah vaksin di sebuah kedai ubat di Pont-Viau. Botol vaksin yang dirampas itu mempunyai nombor siri yang sama dengan bekalan yang dicuri.

Polis menyiasat penjual ubat tetapi menemui jalan buntu beberapa hari kemudian. Keadaan semakin buruk apabila semakin ramai mangsa virus Polio dimasukkan ke hospital.

mangsa polio kanada

Mangsa wabak Polio di Kanada

Sementara itu, Robinson pula sibuk memikirkan apa yang harus dilakukan dengan hasil curinya. Ini kerana vaksin perlu disimpan di tempat yang sejuk supaya tahan lebih lama. Jika tidak, vaksin boleh rosak dan tidak berharga lagi.

Dia menyimpan sebahagian kecil vaksin dalam sebuah peti sejuk dan selebihnya hanya dibiarkan di luar. Dia bernasib baik kerana sempat menjual 299 botol vaksin dengan harga $500 kepada penjual ubat di Pont-Viau sebelum diserbu polis.

Keadaan terdesak menyebabkan pihak polis lebih berminat untuk menemui semula bekalan vaksin daripada menangkap penjenayah yang mencurinya. Melihat peluang itu, Robinson membuat panggilan ke balai polis dan berpura-pura sebagai warga yang prihatin. Dia mendakwa terlihat sejumlah besar bungkusan mencurigakan dengan label "Connaught Laboratories" dimuat keluar dari sebuah kereta di St. Hubert Street di East End.

Hasil maklumat itu, polis berjaya menemui semula vaksin yang hilang. Namun, semua bekalan vaksin itu harus diuji terlebih dahulu sebelum diedarkan kepada umum. Proses ini boleh memakan masa sehingga dua bulan sementara penghantaran baru pula memakan masa yang lebih lama.

akhbar rompakan vaksin polio 44

Orang ramai menjadi marah kerana perlu menunggu lebih lama. Akhirnya, bekalan vaksin yang dicuri itu diluluskan untuk kegunaan awam pada bulan Oktober.

Bagi pihak polis pula, mereka masih belum selesai melakukan siasatan. Mereka memberi tumpuan untuk mengenal pasti dalang di sebalik rompakan itu. Hasil siasatan, mereka mendapati bahawa pemberi maklumat sebelum ini adalah salah seorang suspek rompakan.

Pihak polis juga mendapat maklumat bahawa suspek juga adalah lelaki yang sama menjual 299 botol vaksin  kepada kedai ubat di Pont-Viau. Bukti mereka menjadi lebih kukuh apabila Robinson dikenal pasti oleh tukang cuci pangsapuri tempat dia menyembunyikan hasil rompakannya itu.

Setelah menafikan semua tuduhan, Robinson telah melarikan diri. Dia ditemui pihak berkuasa tiga minggu kemudian ketika bersembunyi dalam sebuah gudang yang terletak di ladang terpencil.

Proses pendakwaan Robinson ternyata bukan tugas yang mudah dan perbicaraannya di mahkamah juga rumit. Walaupun salah seorang rakan subahatnya telah mengenal pasti Jean Paul Robinson sebagai dalang kes rompakan tetapi lelaki itu mengubah kenyataan asalnya dua tahun kemudian apabila perbicaraan bermula.

pencipta vaksin polio

Dr. Jonas Salk, pencipta vaksin Polio

Robinson kelihatan yakin semasa disoal siasat di mahkamah. Malah, dia cuba menggambarkan dirinya sebagai wira kerana berusaha untuk menemui semula vaksin yang dicuri daripada seorang lelaki misteri yang merupakan dalang sebenar bernama Bob.

Robinson cuba meyakinkan mahkamah bahawa Bob telah merancang segala-galanya sebelum menghilangkan diri dan terlepas daripada diadili. Walaupun mahkamah mendapati kisah Robinson "aneh dan tidak masuk akal" tetapi akhirnya hakim memutuskan bahawa Robinson dibebaskan kerana tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa lelaki itu.

Walaupun kisah ini berlaku lebih daripada 60 tahun yang lalu, ia patut menjadi ikhtibar kepada kita semua. Kes ini patut dijadikan teladan kerana hampir seluruh dunia pada hari ini menantikan bekalan vaksin untuk melindungi diri daripada wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia.

Mungkin ada segelintir individu yang tidak bertanggungjawab ingin mengaut keuntungan daripada keadaan semasa. Mereka akan menggunakan kesilapan, keadaan terdesak dan kekurangan vaksin sebagai peluang. Diharap pihak berwajib dapat memastikan kesilapan lampau seperti ini tidak lagi berulang. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)