Kita di Malaysia ketika ini sedang mengorak langkah berani, bakal memperkenalkan program pemvaksinan Covid-19 yang dijangka bermula tahun 2021.

Walaupun masih banyak tanda tanya berkaitan vaksin yang bakal digunakan itu sendiri, situasi yang mendesak seperti apa yang kita lalui sekarang berkemungkinan besar memaksa kerajaan Malaysia melakukan keputusan segera; bagi membolehkan hidup kita kembali seperti sedia kala secepat mungkin.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun dalam masa yang sama, kita perlulah mengingatkan diri kita serta mempelajari risiko yang wujud, dalam usaha menjalankan program pemvaksinan seluruh negara.

Negara jiran kita, Filipina telah membayar harga yang cukup tinggi angkara ketiadaan kajian yang lengkap berkaitan vaksin; sehinggakan ratusan nyawa hilang begitu saja.

Kontroversi yang cuba disenyapkan kerajaan Filipina

kontroversi dengvaxia filipina

Pada bulan Oktober tahun 2015, kerajaan Filipina yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Benigno Aquino III dengan bangga mengisytiharkan persetujuan yang telah mereka capai bersama syarikat pengeluar vaksin Sanofi dari Perancis; untuk menjalankan program pemvaksinan demam denggi di seluruh negara.

Mexico menjadi negara pertama memperkenalkan suntikan itu yang dikenali dengan nama Dengvaxia kepada orang ramai, dilancarkan pada Disember 2015.

Kerajaan Mexico melancarkan program suntikan kepada individu berusia 9 ke 45 tahun yang duduk di dalam kawasan-kawasan yang disahkan berlaku endemik denggi, memerlukan setiap individu yang terpilih mendapatkan 3 dos dalam tempoh 12 bulan.

Hasrat Filipina untuk menangani masalah denggi amat murni, jadi Aquino mencapai persetujuan untuk mendapatkan 3 juta dos Dengvaxia yang menjadi vaksin pertama dunia diluluskan untuk melawan penyakit denggi.

Selepas kerajaan Filipina melalui kementerian kesihatan mereka meluluskan penggunaaan Dengvaxia, kerajaan pusat Filipina meluluskan pembelian berjumlah P3.5 billion (sekitar RM297 juta) dan kelihatan tergesa-gesa memulakan program vaksinasi pada bulan April 2016.

Tindakan ini mendapat kritikan banyak pihak yang mahu kerajaan Filipina supaya menjalankan kajian lebih mendalam di peringkat kebangsaan, sebelum terus menyuntik vaksin kepada fokus sasaran program itu - pelajar-pelajar berusia 9 tahun ke atas.

Bagaimanapun kritikan serta pandangan ini tidak diendahkan dan program itu berjalan - sebelum satu pengumuman yang menggemparkan, dibuat oleh pengeluar vaksin itu sendiri.

Pengeluar vaksin sendiri mengaku produk mereka tak selamat!

dengue vaccination marikina 20160404 6

Dalam tempoh beberapa bulan daripada bulan April bermulanya program, sehinggalah ke bulan November tahun 2017- sudah hampir ratusan ribu pelajar di wilayah Luzon, Calabarzon dan NCR selamat disuntik dengan vaksin keluaran Sanofi.

Pada 29 November 2017, Sanofi mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan, mengakui bahawa vaksin yang telah disahkan selamat untuk kegunaan - rupa-rupanya membawa risiko besar kepada individu penerima vaksin! (pautan PDF)

Berdasarkan kepada rekod kajian yang diperolehi selama 6 tahun sebelum itu, Dengvaxia mampu memperkuatkan mereka yang pernah diserang denggi namun bagi mereka yang tidak pernah - sekiranya mereka diserang denggi, kesan jangkitan itu akan naik berlipat kali ganda disebabkan oleh vaksin itu sendiri.

Dengan kenyataan itu, Sanofi direkodkan mengemukakan perubahan pada tatacara penggunaan vaksin itu supaya hanya disuntik kepada mereka yang pernah menghidap demam denggi.

Ketika pengumuman itu dibuat, Filipina menjadi negara Asia pertama melulus dan menjalankan program berasaskan Dengvaxia. Kerajaan negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia, Thailand dan Singapura pula hanya bertindak meluluskan jualan di farmasi.

Kita pula tidak mengambil sebarang tindakan ketika itu.

Pengumuman Sanofi itu memberi tamparan besar kepada kerajaan Filipina memaksa kedua-dua pihak kembali berbincang bagi menangani ketelanjuran yang telah berlaku.

Bagi pihak yang sebelum itu mendesak supaya kerajaan Filipina menangguhkan terlebih dahulu rancangan itu, mereka hanya boleh katakan 'I told you so.'

Atas pengumuman Sanofi, kerajaan Filipina menggantung program pemvaksinan itu.

Bagaimana nasib pelajar sekolah yang telah divaksin?

dengvaxia mangsa kematian

Kerajaan Filipina membeli 3 juta dos membolehkan lebih 1 juta pelajar berusia 9 tahun ke atas disuntik dan jumlah itu membawa risiko yang sangat besar, sekiranya ada di antara mereka dijangkiti denggi.

Kematian pertama dikaitkan dengan Dengvaxia melibatkan seorang pelajar berusia 11 tahun, yang meninggal dunia pada 11 April 2016 selepas disuntik pada 31 Mac. Bagaimanapun bedah siasat melaporkan punca kematian kanak-kanak itu adalah sakit jantung, bukan disebabkan suntikan vaksin tersebut.

Berlaku percanggahan antara laporan perubatan dengan kisah keluarga remaja itu.

Remaja itu, menurut keluarganya mula mengalami demam panas dan cirit-birit 3 hari selepas diimunisasi sebelum situasinya bertambah teruk. Dia mula sukar bernafas sebelum diagnosis mengenalpasti remaja itu mengalami pneumonia dan kegagalan fungsi jantung.

Walaupun laporan rasmi tidak menyalahkan vaksin itu sebagai penyebab kematian, apa yang jelas di seluruh negara Filipina ada sekitar 1 juta penerima vaksin, dengan anggaran 100,000 daripada kumpulan ini belum pernah diserang denggi.

Kisah-kisah kematian melibatkan pelajar sekolah yang telah menerima Dengvaxia mula kerap dilaporkan mengakibatkan pihak kerajaan Filipina serta Sanofi, terpaksa berhadapan dengan bermacam persoalan.

Apa yang menyebabkan situasi jadi hangat - kedua-dua pihak tidak mengakui kematian yang berlaku ada kaitan dengan suntikan yang pelajar-pelajar ini telah terima.

Simptom kematian serupa akibat reaksi vaksin

erwin erfe kematian vaksin

Hasil autopsi yang dilakukan oleh Ketua Makmal Bahagian Peguam Awam Filipina, Dr. Erwin Erfe ke atas 156 orang (setakat artikel ini ditulis) kanak-kanak dan remaja yang disuntik dengan Dengvaxia menemui bukti kukuh bahawa vaksin itu adalah penyebab kematian mereka.

Erfe mendapati wujud persamaan simptom kematian melibatkan kesemua subjek - pendarahan dalaman khasnya pada bahagian otak dan paru-paru serta majoriti organ mengalami radang.

Tempoh kematian setiap mangsa pula berbeza-beza, bergantung kepada tahap imunisasi remaja itu sendiri; ada yang meninggal tidak lama selepas disuntik dan ada juga yang hanya mula menampakkan simptom selepas beberapa bulan atau setahun lamanya.

Apa yang menakutkan bagi mereka yang disuntik, Erfe berdasarkan kajiannya menganggarkan mangsa yang disuntik akan meninggal dunia paling lewat 3 tahun daripada tarikh akhir dia disuntik.

Dianggarkan lebih 600 orang pelajar, majoritinya datang dari keluarga susah yang tiada akses mudah kepada sistem kesihatan selepas jangkitan telah meninggal dunia. Angka sebenarnya masih belum kita tahu kerana kes ini masih dalam siasatan.

Pada 16 Oktober 2020, mahkamah tinggi Filipina mengeluarkan keputusan membenarkan petisyen pihak Badan Guaman Awam untuk menyatukan semua kes berkaitan Dengvaxia.

dengvaxia hearing perbicaraan filipina

Mereka yang terlibat antaranya bekas Presiden Filipina, Benigno Aquino III, beberapa orang bekas pegawai kerajaan serta wakil syarikat Sanofi sedang didakwa di mahkamah akibat tindakan tergesa-gesa mereka mewujudkan kerjasama serta beberapa tuduhan pecah amanah yang berlaku, semasa transaksi dijalankan.

Bagi mereka, mereka percaya masalah denggi di Filipina adalah sangat membimbangkan jadi keputusan mereka untuk mempercepatkan urusniaga itu adalah demi keselamatan orang ramai juga.

Apa yang jelas, disebabkan oleh kontroversi ini golongan ibu bapa yang memvaksinkan anak mereka di Filipina semakin menurun, atas kebimbangan yang melanda. Peratusan kanak-kanak yang di vaksinasi menurun hanya kepada 66% daripada jumlah keseluruhan yang ada.

Lebih membimbangkan, sentimen kurang percaya kepada langkah kerajaan ini bakal menghantui masyarakat Filipina sekali lagi - apabila program vaksinasi Covid-19 di negara mereka bakal bermula.

Rujukan

A Crisis of Confidence: The Case of Dengvaxia in the Philippines

WHO - Dengue Vaccines




Hakcipta iluminasi.com (2017)