Berdepan bencana pandemik yang belum pernah berlaku, memerlukan masyarakat dunia mula menjalankan kajian dalam mengenalpasti kaedah terbaik dalam menangani virus atau kuman yang merebak.

Itulah yang sedang giat dilakukan ketika ini dibanyak negara, melalui makmal-makmal perubatan yang berlumba mempersiapkan vaksin bagi mencegah Covid-19. Ada beberapa jenis vaksin yang ketika ini sedang melalui fasa percubaan klinikal, diuji kepada peserta ujian melibatkan orang ramai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malangnya laporan berkenaan reaksi ganjil vaksin yang telah disuntik semakin kedengaran, sehingga ada yang melibatkan kematian. Tahukah anda apa yang sedang berlaku dalam bidang kajian ini?

Kes 'kematian' pertama melibatkan peserta ujian vaksin

kes kematian vaksin covid19 brazil

Dalam kes kematian yang paling awal, seorang peserta ujian klinikal vaksin yang dibangunkan syarikat pengeluar AstraZeneca dengan kerjasama Universiti Oxford dilaporkan meninggal dunia selepas mendapat suntikan vaksin.

Kes kematian itu yang dilaporkan pada 22 Oktober 2020, melibatkan seorang doktor di Brazil yang baru berusia 28 tahun serta pada ketika kejadian - merupakan salah seorang petugas barisan hadapan negara tersebut.

Kekeliruan berlaku dalam laporan melibatkan kematian doktor ini, disebabkan oleh status beliau.

Doktor itu yang masih bertugas dalam masa yang sama turut menawarkan diri menjadi peserta ujian klinikal vaksin tersebut, namun malangnya selepas dia disuntik vaksin percubaan - dia meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan Covid-19.

Situasi itu mengundang spekulasi dahsyat media yang mula mendesak agar siasatan mendalam dilakukan. Ada juga pihak mula menyuarakan pendapat agar ujian vaksin itu dihentikan sebelum lebih ramai pihak terkorban.

Tidak lama selepas insiden ini didedahkan, siasatan berjaya menjelaskan bahawa doktor malang itu tidak mendapat suntikan vaksin sebaliknya diletakkan dalam kumpulan kawalan; hanya menerima suntikan olok-olok di luar pengetahuan mereka.

Ini bermakna, doktor malang itu meninggal dunia disebabkan faktor lain bukanlah disebabkan suntikan yang beliau terima. Itu penjelasan rasmi setakat ini.

Rakyat Brazil menjadi antara negara paling awal menyertai ujian klinikal ke atas manusia.

Ujian vaksin AstraZeneca ini telah pun berjalan sejak September 2020 dengan penyertaan hampir 5,000 orang sukarelawan bagi menilai tahap keupayaan vaksin yang mengandungi virus jenis adenovirus lemah, diambil daripada haiwan chimpanzee sebelum disuntik kepada manusia.

Ujian besar-besaran Sinovac - vaksin keluaran China

petugas beri suntikan vaksin covid 19

Sebelum AstraZeneca melancarkan fasa ujian klinikal, Sinovac dari China menjadi antara pengeluar paling awal mengumumkan kejayaan mereka membangunkan vaksin Covid-19.

Sejak bulan Jun tahun 2020, Sinovac telah mengumumkan kejayaan fasa kedua ujian vaksin yang mereka namakan sebagai CoronaVac, melibatkan 600 peserta ujian dengan 90% tahap keberkesanan selepas 14 hari.

Kejayaan ini membuka pintu Sinovac untuk memulakan fasa ujian seterusnya secara lebih besar, bekerjasama dengan badan perubatan Instituto Butantan yang bertapak di Sao Paolo, Brazil - bagi membolehkan sukarelawan Brazil dijadikan ujian sebelum Indonesia dan Turki turut sama terpilih.

kematian covid kerana vaksin debunk hoax 496

Berbeza dengan teknik penghasilan vaksin badan lain, Sinovac menggunakan teknik tradisional dalam penghasilan virus di mana vaksin yang dihasilkan mengandungi virus dalam bentuk penuh, tetapi telah dinyahaktifkan.

Dengan penyertaan 10,000 sukarelawan Brazil dipantau oleh badan bebas Anvisa yang akan menyemak kredibiliti ujian, Sinovac dan Butantan memulakan ujian sekitar bulan Julai tahun 2020, selepas mendapat kelulusan kerajaan Brazil.

Semuanya berjalan lancar.

Sehinggalah pada 10 November 2020 seorang peserta ujian dilaporkan meninggal dunia dan ujian yang sedang berjalan melibatkan ribuan peserta, terpaksa dihentikan.

Kematian kerana vaksin percubaan atau...

sinovac pejabat china vaksin covid 19

Kematian pertama ujian ini sebenarnya telah berlaku pada 29 Oktober 2020, namun hanya didedahkan kepada orang ramai pada 10 November 2020 selepas Anvisa mengeluarkan pengumuman penggantungan ujian.

Sehingga kini belum ada kenyataan rasmi daripada semua pihak terlibat, untuk menjelaskan apa yang telah berlaku dan kenapa kematian itu baru dilaporkan.

Kenyataan ringkas jurucakap Butantan mengesahkan penggantungan ujian yang sedang rancak berjalan ada kaitan dengan kes kematian, tetapi menidakkan kematian itu berlaku disebabkan vaksin yang disuntik peserta.

Seandainya kes kematian yang berlaku ini disebabkan oleh sampel vaksin, ini sudah tentulah memberikan risiko besar ke atas mereka yang terlibat dalam kajian ini.

Gabenor Sao Paolo, Joao Doria pada 9 November 2020 baru saja mengumumkan kerjasama antara negeri itu dengan Sinovac, di mana Sinovac akan membuka fasiliti pengeluaran vaksin di situ yang dijangka mula beroperasi pada September 2021.

Dengan pembukaan fasiliti itu, Brazil dirancang untuk mempunyai keupayaan sebagai pengeksport, tidak lagi perlu mengimport masuk vaksin keluaran Sinovac sebaliknya boleh mengeluarkan sendiri vaksin dalam jumlah besar berlandaskan kajian tersebut.

Itu adalah matlamat jangka panjangnya.

“When elephant fight the grass will suffer”

tunjuk perasaan bantah vaksin mandatori brazil

Rancangan Joao Doria menjadikan Sao Paolo pusat vaksinasi Covid-19 di Brazil mendapat tentangan orang ramai serta kerajaan pusat Brazil sendiri.

Rancangan Joao Doria yang mahu mewajibkan pemvaksinan secara mandatori dikritik, menyaksikan penolakan secara terbuka mendesak beliau meletak jawatan berlaku secara besar-besaran.

Apa yang agak melucukan, kempen ini dikepalai Presiden Brazil sendiri yang sejak mula memandang rendah risiko sebenar Covid-19, Jair Bolsonaro.

Presiden Bolsonaro sejak beberapa bulan lalu sudah memulakan kempen mengkritik kerjasama Sao Paolo dengan syarikat China tersebut.

Beliau menyifatkan masyarakat Brazil sepatutnya menolak sekeras-kerasnya tindakan menjadikan diri mereka bahan ujian vaksin buatan China serta menghentam Doria kerana ingin menyekat kebebasan rakyat Brazil untuk memilih.




Hakcipta iluminasi.com (2017)