Sehingga artikel ini ditulis, semakin banyak negara telah mula menjalankan program vaksinasi peringkat kebangsaan bagi melawan jangkitan Covid-19.

United Kingdom menjadi negara pertama dunia melancarkan program vaksinasi, dengan suntikan pertama vaksin di negara tersebut selamat dibuat kepada Margaret Keenan, seorang warga emas berusia 90 tahun.

Suntikan pertama yang dibuat pada 9 Disember 2020 itu disiarkan secara langsung dalam televisyen sana, menggunakan vaksin keluaran syarikat Pfizer/BioNTech. Selepas itu negara seperti Bahrain, Amerika Syarikat, Jerman, Itali dan Mexico mula mengorak langkah serupa memulakan program mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun khabar angin yang mengatakan keberkesanan vaksin yang disuntik berada pada tahap rendah mula tersebar, khasnya melibatkan beberapa jenis vaksin tertentu. Benarkah dakwaan ini?

Negara paling cekap menjalankan program vaksinasi

keluarga putera bahrain terima suntikan vaksin covid

3 negara yang setakat ini paling cemerlang dalam menjalankan program vaksinasi kebangsaan adalah Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan juga Israel.

Kesemuanya memiliki beberapa kelebihan yang menyebabkan mereka mampu mendahului negara-negara lain. Saiz populasi yang kecil serta keluasan tanah yang terhad membolehkan pergerakan logistik pergerakan vaksin dipermudahkan.

Apatah lagi sesetengah jenis vaksin memerlukan simpanan jauh di bawah tahap beku sekitar -70 darjah celcius, yang menyukarkan lagi proses.

Ketika artikel ini ditulis, Israel mendahului semua negara lain dari segi jumlah suntikan, mencecah 25.34 orang sudah selamat divaksinasi dalam kadar 100 orang. UAE ditempat kedua dengan 16.84 dan Bahrain pula 6.44.

Ketiga-tiga ini dibantu dengan kecepatan mereka meluluskan vaksin yang sedang dibangunkan, membolehkan bekalan disalurkan kepada 3 negara ini lebih pantas.

Israel jauh mendahului

israel program vaksinasi covid

Israel misalnya sudah pun memulakan ujian ke atas sistem vaksinasi yang bakal dijalankan sejak awal bulan Disember tahun 2020 bagi membolehkan mereka mengenalpasti apa saja masalah yang bakal timbul.

Ketiga-tiga negara kecil ini mempunyai kemampuan yang mencukupi bagi menjalankan program serta mendapatkan bekalan. Israel mampu mendapatkan vaksin dari ketiga-tiga pengeluar utama vaksin Covid-19 setakat ini, iaitu Pfizer/BioNTech, Moderna dan AstraZeneca.

Sayangnya - bekalan vaksin yang banyak itu tidak disalurkan untuk kegunaan warga Palestin yang tinggal dalam kawalan tentera mereka, sekitar Tebing Barat dan Gaza. Penduduk di situ yang hidup dalam sekatan ekonomi yang dikenakan Israel, masih belum jelas apa nasib mereka berdepan pandemik ini.

Kontroversi keberkesanan vaksin yang menimbulkan keraguan

penerima suntikan vaksin di indonesia

Sesuatu yang perlu kita tahu, keberkesanan suntikan vaksin bagi mencegah Covid-19 sangat bergantung kepada jumlah dos yang telah kita terima.

Ini kerana bagi kebanyakan vaksin yang sudah mula digunakan secara besar-besaran, majoritinya memerlukan penerima menerima 2 suntikan, dos pertama dan kedua. Oleh sebab itulah akan wujud kontroversi berkaitan keberkesanan vaksinasi yang telah dijalankan - kerana tahap keberkesanan vaksin itu belum benar-benar lengkap.

Sebagai contoh, vaksin keluaran Pfizer/BioNTech yang juga menjadi pilihan negara kita hanya mempunyai tahap keberkesanan setinggi 52% dalam dos pertama dan hanya akan mula efektif selepas 12 hari suntikan. Dos kedua pula meningkatkan tahap keberkesanannya kepada 95% selepas 7 hari suntikan.

Inilah punca bagaimana wujudnya kekeliruan orang ramai terhadap kadar sebenar keberkesanan vaksin yang bakal kita terima, kerana ramai tersalah anggap satu dos awal sudah memadai untuk melawan jangkitan.

Vaksin keluaran AstraZeneca pula memerlukan masa lebih panjang bagi bertindak, berbanding vaksin keluaran Pfizer/BioNTech, namun memberikan perlindungan lebih baik.

Dalam suntikan dos pertama, kadar keberkesanannya berada pada paras 64.1% dan meningkat kepada 70% selepas tempoh 3 minggu suntikan.

CoronaVac keluaran syarikat SinoVac dari China pula melaporkan kadar keberkesanan yang agak berbeza-beza mengikut laporan negara pengguna. Brazil melaporkan kadar keberkesanan 50.38% dalam ujian di negara mereka, hampir seiring dengan laporan di Indonesia yang mencatatkan kadar 65.3%.

Namun di UAE yang menjadi negara pertama melaporkan tahap keberkesanan vaksin itu, kadarnya tinggi mencecah 86% sementara di Turki pula melaporkan 91.25%.

Jangan terkejut ada individu dijangkiti selepas divaksin

warga emas meninggal dunia jangkitan covid

Disebabkan oleh perbezaan keperluan suntikan mengikut dos, tahap keberkesanan dan tempoh masa diperlukan bagi vaksin mula berkesan - janganlah terkejut pula akan wujud kes-kes kematian melibatkan individu yang baru saja divaksin.

Salah satu kisah yang menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap vaksinasi Covid-19 serta mampu menjadi peluru golongan anti-vaksin, adalah kes kematian melibatkan seorang warga emas berusia 85 tahun di Doncaster, United Kingdom bernama Colin Horseman (gambar atas).

Mendiang Colin merupakan antara individu paling awal menerima suntikan vaksin Covid-19 di United Kingdom, ekoran tahap kesihatannya yang semakin menurun. Beliau menerima suntikan dos vaksinasi Covid-19 pertama pada 16 Disember 2020.

Tahap kesihatan yang bertambah buruk memaksa Colin dibawa ke hospital semula sebelum disahkan dijangkiti virus Covid-19 pada 2 Januari 2021. 4 hari bertarung nyawa, Colin meninggal dunia pada 6 Januari 2021.

Dia dijadualkan menerima suntikan tambahan vaksin pada 4 Januari 2021.

Apa yang penulis cuba sampaikan berdasarkan insiden di atas - jangan terlalu yakin dengan keberkesanan dos pertama yang bakal anda terima, kerana peluang untuk anda masih dijangkiti virus corona penyebab Covid-19 masih tinggi.

Seperti yang kami sudah jelaskan di atas, kadar keberkesanan vaksin amat bergantung kepada jumlah suntikan yang telah anda terima serta tempoh masa untuk vaksin benar-benar memberikan kesan.

Sekiranya ada individu berdekatan anda masih lagi dijangkiti Covid-19 walaupun selepas menerima suntikan vaksin kelak, anda tidak perlu terkejut kerana perkara itu memang boleh berlaku.

Jadi terus amalkan 'norma baru' yang disarankan kepada kita - walaupun anda adalah antara kumpulan terawal penerima vaksin Covid-19 di Malaysia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)