Pada bulan Disember 2014, sekumpulan pengunjung yang mengunjungi Taman Tema Disneyland, California bukan sahaja mendapat pengalaman berseronok di taman tema tersebut, tetapi juga turut dijangkiti dengan penyakit measles.

Dalam beberapa minggu kemudian, 125 kes jangkitan measles dilaporkan di seluruh Amerika Syarikat. Daripada kesemua pesakit dewasa dan kanak-kanak yang dijangkiti, 110 daripada pesakit tersebut tinggal di California. Kajian yang dilakukan juga menunjukkan hampir separuh daripadanya tidak pernah divaksinkan untuk penyakit mumps, measles dan rubella (MMR).

BESARKAN TEKS     A-  A+

sejarah anti vaksin

Agensi Centers for Disease Control and Prevention(CDC) kemudian melaporkan kes ini secara keseluruhannya menyebabkan 147 kes penyakit measles di seluruh Amerika Syarikat. Menurut analisis yang dibuat, penyebaran penyakit ini secara "mengejut" adalah kerana makin ramai yang tidak mendapat vaksin sepenuhnya ketika mereka kecil.

Perkara ini seperti sudah dijangka memandangkan gerakan anti-vaksin di Amerika Syarikat pada ketika itu yang semakin hebat.

Apa itu penyakit measles?

measles

Measles adalah sejenis penyakit yang sangat mudah berjangkit dan mempunyai simptom seperti demam panas dan juga ruam pada kulit. Ada sesetengah kes juga, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti ensefalitis, iaitu keradangan akut otak. Dianggarkan 90% manusia yang terdedah kepada virus ini akan berisiko untuk dijangkiti kecuali jika mereka pernah divaksin atau pernah dijangkiti penyakit measles sebelum itu.

Pada pertengahan abad ke 20, 4 juta orang rakyat Amerika Syarikat dijangkiti measles setiap tahun dan ratusan mati kerana penyakit ini. Namun dua abad selepas kemunculan vaksin dan pelbagai kaedah rawatan pencegahan, organisasi Centers for Disease Control and Prevention (CDC) mengumumkan pada tahun 2000 bahawa penyakit measles telah pupus di Amerika Syarikat.

Malangnya, kes measles dilaporkan tiba-tiba muncul kembali di bandar-bandar besar di Amerika Syarikat seperti Seattle, Portland, Phoenix, Austin dan Kansas City. Wabak ini dikatakan berpunca daripada tindakan ibu bapa orang kulit putih golongan pertengahan dan atasan yang memilih untuk tidak memvaksinkan anak-anak mereka.

Menurut statistik, di Texas misalnya 57,000 kanak-kanak tidak divaksinkan pada tahun 2018. Jumlah ini merupakan dua kali ganda jumlah kanak-kanak yang tidak divaksinkan 5 tahun sebelum itu. Negeri seperti Texas mempunyai undang-undang yang memberikan hak kepada ibu bapa untuk menghalang anak mereka daripada diberikan vaksin atas alasan agama, falsafah atau kepercayaan peribadi.

Tindakan ibu bapa tidak memberikan vaksin kepada anak-anak mereka bukanlah sesuatu yang baru di Amerika Syarikat. Ianya dikatakan bermula sejak abad ke 19 lagi. Seperti pada hari ini, kebanyakan daripada golongan ini adalah mereka yang tinggal di bandar-bandar besar dimana mereka adalah golongan berpendapatan tinggi dan berpelajaran.

Penciptaan vaksin untuk penyakit smallpox

vaksin smallpox 217

Pada abad ke 19, penyakit smallpox telah membunuh ramai manusia selama berabad lamanya. Seseorang yang dijangkiti penyakit ini hanya mempunyai tempoh 3 hingga 10 hari sebelum mati.

Pada 1796, seorang doktor British, Edward Jenner akhirnya berjaya mencipta vaksin untuk penyakit ini. Vaksin ciptaannya adalah berdasarkan konsep memberikan seseorang itu dengan sedikit dos virus cowpox yang berperanan untuk mengaktifkan sistem imunisasi badan terhadap penyakit smallpox.

Apabila semakin ramai manusia yang divaksinkan, ianya berjaya mencipta kekebalan kawanan (herd immunity) yang akan menyebabkan virus smallpox sukar disebarkan kerana ia tidak lagi mampu menjangkiti daripada seorang manusia kepada manusia yang lain. Lama-kelamaan, maka pupuslah wabak smallpox ini.

Vaksin ini tiba di New England pada tahun 1800 dan Thomas Jefferson iaitu Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu mula menggalakkan pengambilannya. Bermula daripada Massachusetts pada tahun 1809, kira-kira beberapa tahun kemudian negeri-negeri seperti Minnesota, West Virginia dan California telah memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin.

Walau bagaimanapun, tentangan terhadap pengambilan vaksin telah mula wujud, terutamanya daripada golongan kelas pertengahan dan atasan yang tidak mempercayai kerajaan, sains atau perubatan.

Penentangan awal terhadap vaksin

anti vaccination society of america

Pada ketika itu, terdapat seorang doktor dari Boston, Immanuel Pfeiffer mengisytiharkan bahawa orang yang sihat tidak mempunyai risiko untuk mendapat penyakit smallpox. Untuk membuktikan teorinya itu, beliau melawat sebuah hospital di Boston dimana para pesakit smallpox dikuarantinkan.

Malangnya, beliau terkena jangkitan penyakit ini dan hampir mati disebabkannya. Peliknya, setelah sembuh daripada penyakit ini beliau terus lantang menentang usaha penggunaan vaksin.

Gerakan anti-vaksin ini turut dipelopori oleh Lora Little, seseorang yang menentang keras sebarang bentuk perubatan moden dan vaksin kerana lebih mempercayai perubatan tradisional. Malah, beliau mengatakan undang-undang yang mewajibkan vaksin adalah tidak adil dan mencabuli hak ibu bapa terhadap anak-anak.

Gerakan anti-vaksin ini terus rancak dengan penubuhan sebuah persatuan anti-vaksin yang diberi nama Anti-Vaccination Society of America. Persatuan ini diasaskan oleh seorang jutawan perniagaan bernama William Tebb pada tahun 1879. Cawangan pertamanya adalah di New York sebelum berkembang ke bandar-bandar besar lain seperti Pennsylvania, Maryland dan Massachusetts.

Keputusan mahkamah tinggi tentang kewajipan mengambil vaksin

anti vaksin amerika syarikat

Sehingga awal abad ke 20, hampir separuh daripada negeri-negeri Amerika Syarikat telah mewajibkan pengambilan vaksin. Walau bagaiamanpun, keputusan mahkamah ini tetap di protes di beberapa kawasan dan ada juga yang penguatkuasaannya tidak begitu ketat.

Titik perubahan kewajipan vaksin di Amerika Syarikat bermula pada tahun 1902. Penyebaran wabak smallpox di Cambridge telah menyebabkan pihak kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin. Malangnya, terdapat seorang individu bernama Henning Jacobson yang menentang keras tindakan mewajibkan vaksin ke atas semua penduduk.

Menurut beliau, sewaktu kecil beliau jatuh sakit setelah pengambilan vaksin. Selain itu, beliau juga turut mengatakan anaknya pernah jatuh sakit selepas mengambil vaksin. Pihak kerajaan terpaksa bertindak keras mengenakan dakwaan ke atasnya kerana kedegilannya itu.

Kes ini akhirnya dibicarakan di Mahkamah Agung Amerika Syarikat. AKhirnya pada tahun 1905, pihak mahkamah mengatakan bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh untuk mencipta undang-undang bagi mewajibkan pengambilan vaksin. Dengan keputusan mahkamah itu, akhirnya gerakan penentangan terhadap vaksin mulai berkurangan buat seketika.

Kemunculan semula gerakan anti-vaksin

gerakan anti vaksin

Sehinggalah pada tahun 1982 apabila sebuah dokumentari di televisyen bertajuk DPT: Vaccine Roulette mengenai vaksin difteria, pertussis dan tetanus disiarkan. Malangnya, dokumentari tersebut lebih memaparkan mengenai risiko pengambilan vaksin berbanding manfaatnya. Perkara ini telah kembali menimbulkan ketakutan kepada mereka yang menontonnya.

15 tahun kemudian, vaksin MMR pula muncul. Seorang doktor Andrew Wakefield dan beberapa orang doktor yang lain telah menerbitkan sebuah jurnal pada tahun 1998 yang mendakwa kemungkinan terdapat kaitan antara MMR dan dan permulaan gangguan spektrum autisme.

Jurnal itu telah dikritik hebat sehingga menyebabkan 10 daripada 12 orang penulisnya telah menarik balik penerbitan jurnal tersebut. Namun, ianya seolah-olah sudah terlambat. Jurnal tersebut telah mewujudkan perasaan skeptikal sesetengah rakyat Amerika Syarikat untuk kembali bangkit menentang pengambilan vaksin.

Amerika Syarikat pada masa kini

undang undang vaksin amerika syarikat

Kini, wabak penyakit seperti measles, smallpox, mumps, polio dan beberapa penyakit lain boleh dikatakan sudah pupus hasil daripada undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin. Walau bagaimanapun, perkara ini menyebabkan orang ramai mulai lupa betapa bahanya penyebaran penyakit-penyakit ini suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan gerakan anti-vaksin semakin lantang kembali.

Walaupun kesemua 50 negeri menyatakan pengambilan vaksin adalah mandatori, kebanyakannya memberikan kelonggaran untuk tidak mengambil vaksin atas alasan agama. Selain itu, 18 negeri memberikan kelonggaran kepada penduduknya untuk tidak mengambil vaksin atas kepercayaan falsafah individu tersebut.

Setelah penularan kembali wabak smallpox di Disneyland pada tahun 2014, negeri California telah memperketatkan undang-undang mengenai pengambilan vaksin dengan melupuskan alasan "kepercayaan peribadi" sebagai alasan untuk tidak mengambil suntikan vaksin.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. The Guardian
  3. History of Vaccines
  4. Science Direct



Hakcipta iluminasi.com (2017)