Oleh pada 27 Dec 2018 kategori

Popia adalah sejenis kuih yang lazat dan senang didapati. Ia dihidangkan dalam pelbagai cara daripada mentah, digoreng, disira, dan terdapat juga popia mini.

Popia mengandungi tiga bahagian iaitu kulit, isi dan kuah. Bahagian kulitnya diperbuat daripada tepung gandum, tepung ubi kayu dan garam sehingga menjadi doh yang kenyal.

Seterusnya, doh akan diregangkan dan dijadikan satu lapisan nipis yang bulat di atas kuali leper, seolah seperti lempeng. Sekarang, kulit popia ada dijual di kebanyakan pasaraya.

Untuk ramuan kuah atau sos, selain memasukkan garam sebagai perasa, gula dan limau nipis turut boleh dimasukkan untuk memberikan rasa yang lebih lazat.

Terdapat tiga cara penggunaan kuah atau sos untuk menikmati popia iaitu dengan cara mencicah, memasukkan ke dalam popiah ketika menikmatinya atau memasukkan ke dalam popia sebelum digoreng.

Bagi penduduk Bukit Baru Kampungku Sayang, mereka mempunyai istilah lain bagi popia iaitu piakau.

Terdapat tiga variasi Inti yang digunakan. Pertamanya, sayur. Bahagian isinya pula mengandungi sayur-sayuran seperti timun, lobak merah, tauhu, taugeh dan sengkuang yang dihiris-hiris.

Keduanya ialah serunding. Serunding yang selalu digunakan adalah dari daging ikan tenggiri dan ikan bilis. Selain itu, udang kering juga digunakan. Malah, ia boleh juga dibuat dari daging lembu dan ayam.

Terakhir sekali ialah ikan. Ikan sardin dalam tin sering menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai inti popia. Sementara itu, industri makanan beku di Malaysia telah memperkenalkan popia berinti otak-otak.

Terdapat dua jenis popia iaitu bergoreng dan tidak bergoreng. Bagi jenis bergoreng ,  ia terdiri daripada popia goreng, popia bersira, popia mini, simpul kasih dan popia otak-otak.

Manakala popia basah merupakan satu-satunya popia yang tergolong dalam kategori popia yang tidak bergoreng.

Kini, harga popia basah di luar boleh mencecah RM1 seketul. Jika buat sendiri, tentunya lebih jimat dan puas dimakan.

Popia Basah Homemade

Bahan-bahan kulit popia:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 biji telur putih
  • 3/4 cawan air
  • 2 sudu makan cuka
  • Secubit garam

Cara membuat kulit popia:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul sebati menggunakan tangan atau sudu. Jika adunan kelihatan pekat, boleh tambah air sedikit.

2. Tutup dan perap selama 30 minit.

3. Selepas 30 minit, panaskan kuali leper atau non stick, ambil sejemput adunan dan lengserkan di atas kuali nipis-nipis.

4. Biar sebentar. Kemudian angkat perlahan dengan menarik kulit popia dari tepi. Ulang proses ini sehingga habis.

Tips: Kulit popia ini boleh diletak bertindan kerana ia tidak melekat.

Bahan sos popia:

  • 12 atau 14 cili kering (dibuang biji, direbus dan ditoskan lalu dikisar halus dengan 1 cawan air)
  • 1 biji bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 2-3 sudu gula perang
  • 1 sudu gula pasir
  • 1 sudu kicap manis
  • Minyak untuk menumis

Cara-cara membuat sos:

1. Kisar bawang besar dn bawang putih sehingga halus.

2. Panaskan minyak dalam periuk.

3. Tumis bahan kisar sehingga wangi.

4. Masukkan cili dan masak sehingga pecah minyak.

5. Masukkan gula perang, gula pasir dan juga kicap manis.

6. Masak sehingga pekat menggunakan api perlahan.

7. Tambah garam secukupnya.

Bahan-bahan inti popiah:

  • Sengkuang (jika suka dihiris nipis atau memanjang)
  • Taugeh (dibersihkan)
  • 1/2 biji kubis (diracik halus)
  • 1 batang lobak merah (dihiris memanjang)
  • Segenggam udang (dibuang kepala dan ekor serta dipotong kecil)
  • 1/2 labu bawang besar (dicincang halus)
  • 2 ulas bawang putih (dicincang halus)
  • Udang kering (ditumbuk halus) - ditambah sendiri oleh pemilik resepi, tiada dalam resepi asal
  • Garam dan minyak untuk menumis

Cara-cara menyediakan inti:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis udang, bawang besar dan bawang putih sehingga wangi menggunakan api sederhana. Masukkan kubis dan lobak merah. Kacau sehingga layu.

2. Masukkan tauge, sengkuang, udang kering dan garam. Kacau sebati dan rasa garamnya.

Nota: Bahan inti ini dimasak sebentar sahaja.

Bahan tabur:

  • Kacang tanah disangai, dibuang kulit dan ditumbuk
  • Udang geragau kering, disangai dan ditumbuk halus
  • Bawang goreng

Sediakan kulit popia dan sapukan sedikit sos dan masukkan inti. Gulung kemas. Buat sehingga habis. Curahkan sos di atas popia tadi dan tabur dengan bahan tabur. Siap.

resepi popia basah homemade 2

Sumber:

1. Ziela Lewis [1, 2]

2. Wikipedia Popia




Hakcipta iluminasi.com (2017)