hh

Oleh pada 19 Jul 2020 kategori

Untuk lebih mudah serta mendapatkan hasil pai kotej (shepherd's pie) yang menarik, gunakan loyang loose base. Untuk lapisan paling bawah, letakkan sahaja kentang tanpa perlu disapu apa-apa.

Sebagai cadangan, anda boleh letakkan keju parmesan ketika dipotong. Untuk sosej yang sedap dan berpatutan, gunakan jenama Ayamas.

Pai Kotej (Shepherd's Pie) Versi Citarasa Melayu 

Bahan-bahan:

  • Sos spageti - jenama Kimball atau Prego (pemilik resepi gunakan Kimball tradisional)
  • Ayam cincang atau daging cincang 
  • Sos cili (3 sudu besar)
  • Serbuk lada sulah
  • Lada hitam (black pepper)
  • Bawang putih, bawang besar dan cili - dipotong dadu (tidak wajib)
  • Straw mushroom - dipotong kecil
  • Tomato (sebiji) - dipotong dadu
  • Sosej
  • Mentega (3 sudu besar)
  • Susu segar (1/4 cawan)
  • Kentang (lebih kurang 5 biji besar) - tiada dalam gambar

shepherd s pie 1

Cara-cara penyediaan bergambar:

shepherd s pie 1 default

1. Kupas kentang dan basuhkan sehingga bersih. Potong seperti dalam gambar dan masukkan dalam periuk. Masukkan air dan sedikit garam. Rebus sehingga betul-betul empuk supaya kemudian nanti mudah untuk lenyek sehingga hancur. 

2. Sementara tunggu kentang tersebut masak, buat perkara berikut dahulu. Masukkan sedikit minyak (agak-agak, tidak terlalu banyak). Kemudian, masukkan bawang putih, bawang besar dan cili yang telah dipotong dadu tadi. Goreng sehingga garing dan sedikit kuning.

3. Masukkan ayam cincang dan pastikan ayam tersebut telah lembut dan tidak keras seperti dalam gambar. Jika tidak, sukar untuk jadikan ayam tersebut lembut dan berkecai.

4. Setelah ayam tersebut kelihatan masak, masukkan sos spageti, sedikit air dan sos cili. 

5. Gaul. 

6. Masukkan cendawan dan tomato. 

7. Masukkan sosej dan gaul. Masukkan pula garam dan gula. Gaul lagi sehingga kelihatan sedikit pekat. Tutup api.

shepherd s pie 2 default

8. Lenyek kentang yang telah masak sehingga lunyai. Mengikuti tradisi ibu pemilik resepi, beliau lenyek menggunakan gelas. Jika tidak, anda boleh menggunakan pengadun (mixer).

9. Kentang yang telah lunyai. 

10. Masukkan mentega, lada sulah dan lada hitam. Teruskan lenyek.

11. Masukkan susu segar.

12. Siap.

shepherd s pie 3 default

13. Sediakan loyang sebarang bentuk. Untuk lapisan pertama, letakkan kentang (tiada dalam gambar). Untuk lapisan kedua pula, letakkan bahan dalam kuali tadi. Mendapkan betul-betul supaya cantik.

14. Untuk lapisan terakhir, letakkan lagi kentang.

15. Untuk kelihatan sedikit kreatif, ambil kuning telur dan sapukan dengan cantik pada lapisan atas sekali.

16. Ambil garfu dan gariskan. 

17. Masukkan dalam ketuhar (api atas bawah) menggunakan suhu 180 selama 25-30 minit.  

Resepi ini diambil dengan kebenaran dari 'group' masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.

Kredit resepi: Fatihah Nordin O'clan [12]

Sumber informasi: Asra Aini [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)