Oleh pada 09 Feb 2019 kategori

Ayam ungkep merupakan sebuah hidangan yang ringkas namun enak. Ia adalah sebuah masakan tradisi masyarakat Jawa di Kampung Bukit Hijau, Jeram, Selangor.

'Ungkep' bermakna semua bahan termasuk garam dan perasa perlu dimasukkan bersama menjadi satu supaya mesra dalam keadaan 'diungkep nang njero wajan (tutup rapat-rapat dalam kuali) dan dimasak menggunakan api sederhana. 

Selain itu, hidangan ini diberi nama 'ungkep' kerana setelah dibumbui dengan rempah-rempahan sehingga rata di dalam kuali, ia kemudian ditutup rapat sampai masak.

Tetapi, apinya jangan terlalu besar dan jangan sesekali dibiarkan terus tertutup tanpa dijenguk supaya tidak hangus. Balik-balikkan sedikit kemudian tutup semula.

Jika masukkan rempah, jangan terlalu banyak dan cukup sedikit sahaja. Ambil sejemput-sejemput hanya untuk rasa.

Jika orang dahulu masak ungkep memang kelihatan rempahnya yang agak kasar kerana ditumbuk atau digiling. Namun, kini ia kelihatan halus kerana dikisar.

Jika anda mahu benar-benar menikmati keenakan ayam ungkep, ia boleh dimakan dengan nasi panas tanpa lauk-pauk yang lain.

 

Ayam Ungkep Versi Jawa Johor

 

Kredit foto: Siti Nur Sahida Ibrahim & Atier Syah (Gambar kedua bukan menggunakan resepi dibawah)

 

Bahan-bahan utama:

  • Ayam (ayam bandar/kampung/tua)
  • Serai (2 batang) - diketuk/dititik
  • Bawang merah (sebiji) - dipotong 4
  • Bawang putih (7 ulas)
  • Kunyit hidup (sebesar ibu jari)
  • Lada kecil (jumlah ikut citarasa) - pemilik resepi suka pedas sedikit
  • Ketumbar (paket kecil) - direndam dahulu supaya senang untuk ditumbuk dan tidak terkeluar dari lesung
  • Kunyit serbuk (1 sudu) - optional
  • Asam jawa (1 sudu makan)
  • Gula (1 sudu makan)
  • Garam (1 sudu setengah)
  • Ajinomoto (setengah) - optional kerana ada orang tidak makan

 

Cara penyediaan:

1. Mula-mula tumbuk ketumbar dahulu. Setelah agak sudah lumat sedikit, baru masukkan bawang putih, kunyit, lada dan akhir sekali bawang merah kerana ia berair.

Tips: Jika mahu keasliannya terasa, bahan-bahan tadi perlu ditumbuk dan jangan dikisar.

2. Apabila telah sebati, cedok menggunakan tangan.

3. Panaskan 3 sudu minyak dan tumis sehingga naik bau dan agak garing sedikit. Perlu sabar.

4. Masukkan sekali serai yang telah dititik.

5. Masukkan ayam dan air masak sama paras ayam. Jangan terlalu banyak.

Tips: Jika masak ayam kampung tidak mengapa air perlu banyak kerana mahu tunggu empuk.

6. Tutup dan biarkan selama 10 minit sehingga kelihatan mendidih.

7. Buka tutup dan masukkan asam jawa, gula, kunyit serbuk, garam atau ajinomoto secukupnya dan tutup balik.

8. Setelah kuah kelihatan hampir mahu kering seperti gambar di bawah, biarkan dan jangan tambah air. Godak-godak supaya bawahnya tidak hangus dan mengelakkan baunya tidak menarik.

ayam ungkep versi jawa johor 2

9. Masak sehingga ayam empuk dan kuah kering sedkit.

Tips: Jika menggunakan ayam kampung atau ayam tua, masak lama sedikit.

10. Rasa sedikit kuahnya samaada cukup rasa masam, manis, masin dan pedas. Jika yakin cukup, tutup api. Masak pekat-pekat.

 

Nota:

➡ Menurut pemilik resepi, setahu beliau ungkep tidak menggunakan serbuk kari.

➡ Lauk ini jika diletak di peti ais dan keesokannya dipanaskan, rasanya akan menjadi bertambah menarik.

➡ Lain orang lain cara masak dan lain cara penyediaan bahan-bahannya. Jika ada yang gemar cara ini, boleh cuba ikut selera masing-masing.

 

Sumber:

1. Siti Nur Sahida Ibrahim [1, 2]

2. Amie's Little Kitchen (salamisimon1.blogspot.com) [1, 2, 3]




Hakcipta iluminasi.com (2017)