Kuih biji ketapang merupakan sejenis snek popular di Indonesia ketika Hari Raya Aidilfitri. Biarpun rupanya kurang menarik, tetapi kesedapan rasa kuih ini sememangnya tidak dapat disangkal.

Untuk resepi bonus pula iaitu air limau kasturi asam boi, ia mempunyai rasa masam-masam manis. Sebagai cadangan, anda juga boleh cuba untuk menggunakan gula kabung.

Kuih Biji Ketapang

kuih biji ketapang

Bahan-bahan:

  • Tepung gandum (400 gr)  
  • Gula kisar halus (150 gr)  
  • Serbuk penaik (1/2 sudu kecil)  
  • Telur (1 biji)
  • Marjerin (100 gr)
  • Santan kotak (1/2 sahaja)

Cara-cara penyediaan:

  1. Gaul semua. 
  2. Kemudian, masukkan telur, marjerin dan santan kotak. 
  3. Campur adunan sehingga tidak lekat di tangan. 
  4. Kemudian, leper-leperkan. Bahagi 5 bahagian panjang-panjang. 
  5. Kemudian, gunting kecil-kecil. Tabur dengan tepung atasnya agar tidak lekat.  
  6. Goreng sehingga kekuningan. 

Nota: Ketika panas, ia tidak terlalu rangup. Setelah sejuk, barulah rangup dan keras sedikit. 

Resepi Bonus: Air Limau Kasturi Asam Boi

jus limau kasturi asam boi 2

Bahan-bahan:

  • Limau kasturi
  • Asam boi
  • Gula perang (brown sugar)

Tips: Cari limau kasturi yang bersaiz besar supaya anda berpuas hati dengan jusnya yang banyak dan boleh sumbat asam yang bersaiz besar juga.

Cara-cara penyediaan:

  1. Limau kasturi dibasuh bersih sambil masak air sehingga mendidih.
  2. Setelah siap bersih limau, terus masukkan dalam air yang mendidih tersebut. Rebus sehingga lebam. Jangan terlalu terlembik. Tujuannya untuk hilangkan rasa pedar (rasa pahit dan pedas) kulit limau. Angkat toskan limau sehingga sejuk.
  3. Apabila sudah sejuk, belah limau tetapi jangan putus. Kemudian, perah jusnya. Pastikan ditapis supaya biji-biji limau tidak termasuk dalam jus.
  4. Apabila sudah perah, sumbatkan asam boi dalam kulit limau yang sudah kepet. Buat sehingga habis semua sudah bersumbat, susun limau dalam balang kaca (mengikut resepi asal). Pemilik resepi menggunakan balang plastik sahaja.
  5. Setiap lapisan limau tersebut, taburkan gula perang (brown sugar) (resepi asal menggunakan gula perang keping). Letak lebih pun tidak mengapa kerana nanti apabila gula mencair, air rendaman tersebut dapat lebih. Bermaksud, limau tersebut tenggelam dalam air gula.
  6. Apabila sudah siap susun selapis demi selapis gula, masukkan jus limau yang anda perah tadi.
  7. Sudah siap. Tutup rapat botol tersebut, biarkan selama 3 bulan jika mengikut resepi asal dan barulah boleh diambil buat air. Untuk pemilik resepi, 2 minggu sahaja. Tidak perlu simpan di peti sejuk kerana gula tersebut sudah menjadi pemangkin. Insya-Allah menjadi.

Nota: Candy brown sugar dikatakan ada di jual di kedai bakeri atau kedai sengseh (kedai ubat cina). Tetapi untuk pemilik resepi, gula perang biasa juga boleh digunakan. Selain itu, gula pasir juga boleh tetapi cuma ia lebih manis.

jus limau kasturi asam boi 1

Resepi asal menggunakan gula perang keping

jus limau kasturi asam boi default 1

Resepi ini diambil dengan kebenaran dari 'group' masakan paling popular di Facebook, Masak Apa Hari Ni.

Kredit resepi:

1. Mbak Dina Manjakani [12]

2. Sue Bertley & Jamilahnurr Ramly [123]



Hakcipta iluminasi.com (2017)