Kacang pool merupakan sebuah hidangan istimewa yang lazimnya hanya ada di Johor dan Singapura.

Perkataan "pool" di sini bukan bererti "kolam". Ia diadaptasi dari perkataan Arab "fhoul" iaitu kacang parang yang merupakan ramuan utama hidangan ini.

Hidangan ini sememangnya berasal dari makanan orang Arab. Tetapi, ia telah disesuaikan dengan citarasa penduduk tempatan.

Disajikan bersama roti bakar tebal yang lembut, kuah kacang pool turut mengandungi daging kisar, bawang potong, cili potong dan telur goyang mata kerbau.

Bagi lebih menambahkan selera, boleh juga perah limau nipis, menjadikan ia lebih terangkat.

Kacang Pool

kacang pool

Bahan-bahan:

  • 2 tin kacang pool (foul medames) - dibuang air dan dilenyek
  • Daging kisar
  • 3/4 cawan minyak
  • 1 sudu makan serbuk jintan manis
  • 2 sudu besar rempah kari daging
  • 1 tin tomato puri (guna 1/2 dahulu kemudian adjust ikut citarasa)
  • 1 1/2 biji bawang besar (dicincang)
  • 1 1/2 cawan air (bergantung kepekatan kacang pool)
  • Garam secukup rasa
  • Hirisan lada hijau
  • Bawang besar (dipotong dadu)
  • Limau kasturi
  • Telur mata
  • Roti

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar cincang sehingga layu.

2. Masukkan serbuk jintan manis dan rempah kari daging (tumiskan). Masukkan daging kisar.

3. Masukkan tomato puri dan kacang pool. Gaul rata.

4. Masukkan air.

5. Biarkan mendidih dan masukkan garam secukup rasa.

6. Hidangkan dengan taburan bawang besar didadu, cili hiris, limau kasturi dan telur mata.

Kacang Pool Versi Pedas Sedikit

kacang pool versi pedas sedikit

Bahan-bahan:

  • 4 biji bawang merah 
  • 4 biji bawang putih 
  • Halia 

Kisar ketiga-tiga bahan di atas.

  • 3 sudu besar cili boh (jika mahu lebih pedas, letak lebih banyak)
  • 2 sudu besar serbuk kari
  • Daging cincang (pemilik resepi guna 7 keping daging burger Ramly)
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Kacang foul (dikisar separa hancur)
  • 1 cawan air (mahu cair, boleh tambah lagi)
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara penyediaan:

1. Tumis bahan kisar dan cili boh.

2. Masukkan serbuk kari. Tumis sehingga pecah minyak.

3. Masukkan daging kisar dan serbuk lada hitam.

4. Apabila daging telah masak, masukkan kacang foul yang sudah dikisar separa lumat.

5. Masukkan air. Masak lama sedikit dengan api perlahan.

6. Perasakan dengan garam dan gula. Siap.

Bahan sampingan:

  • Cili hijau (dihiris)
  • Bawang holland (dipotong dadu)
  • Limau kasturi (optional)
  • Telur mata kerbau
  • Roti bakar

Sumber:

1. Ieyla Saziela [12]

2. Razila Razak [12]

3. Asri Al-Baker [1, 2]


tags : , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)